Ahad, November 11, 2007

Susah senang 'mencari' diri...

Semalam, Sabtu 10 November 2007 bersamaan 29 Syawal 1428 Hijriah di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, saya sedang duduk minum di sebuah warung di tepian sungai lalu terlihat sebuah artikel yang tiba-tiba membuka mata yang sedikit keletihan petang itu. Awal sebelum itu, pada waktu pagi juga tengahari, saya sempat membaca akhbar harian berbahasa Malaysia itu sebanyak 2 kali di 2 buah kedai makan yang berlainan di kampung ini tetapi baru petangnya tersedar akan suatu perkara... Sebuah artikel yang terasa rapat di hati...

Adapun, kebetulan juga artikel tersebut yang merupakan sebuah tulisan pujuk pengarang dalam seksyen I-Kon di dalam sisipan kecil akhbar terletak pada mukasurat 10 dengan nombor mukasurat itu tertera dekat pada tarikh 10 November... Apakah ada makna tersirat di sebalik ini? Maklumlah, saya kan ada sedikit gila-gila nombor?

Pada mulanya, saya membiarkan sahaja laman itu yang kebetulan terbuka di hadapan mata di atas meja terus terbiar tanpa terusik. Entah siapa yang membaca dan meninggalkannya di situ pada halaman tersebut sedangkan saya cuma mahu minum sahaja. Tetapi gerak hati ini pula boleh berkata bacalah dahulu... Walaupun telah menatap akhbar Berita Harian 2 kali hari itu, mungkin sahaja telah tertinggal suatu perkara yang boleh memberikan petunjuk?

Saya pun meletakkan gelas minuman ke tepi lalu mengambil laman yang terbuka itu... Terus tertarik pada suatu tajuk yang menerpa jiwa. Bila dibaca dengan teliti, ternyata ia sebuah tulisan oleh seorang rakan akhbar yang sangat bermakna, cukup bermakna sehingga malam ini setelah kembali ke Kuala Lumpur, tergerak untuk mencari artikel ini kembali dalam laman Berita Harian on-line...

Nasib baik artikel ini masih wujud, dalam bahagian "Arkib seminggu" untuk hari Sabtu, diletakkan di bawah tajuk Mencari diri sendiri bukan mudah . Di sini, saya tergerak untuk memaparkannya kembali buat tatapan semua juga para pembaca siri buku "Berpetualang ke Aceh" terutama buku pertama saya dengan tajuk kecil "Mencari Diri dan Erti".

Oh... Untuk Salina yang menulis artikel tersebut, terimakasih atas keprihatinan saudari. Insyaallah ada rezeki nanti kita akan berkongsi lebih banyak pengalaman dan cerita... Ini tulisannya...


------------------------ 


 Mencari diri sendiri bukan mudah 

Oleh Salina Abdullah

JIKA ada yang berani mendakwa kenal akan diri sendiri sepenuhnya, itu semua karut. Kaji betul-betul, benarkah kita kenal diri kita sendiri jauh sekali untuk mengenali dan menilai orang lain. Siapa saya? Siapa anda? Siapa dia? Setakat tahu nama, kesukaan, kebencian dan beberapa perkara peribadi, belum cukup untuk mengeluarkan dakwaan sedemikian. Jika anda mendakwa anda penyabar, benarkah begitu?

Letakkan diri dalam keadaan yang cukup tertekan, berapa peratus golongan penyabar itu akan kekal sabar? Cerdikkah anda, ada ketikanya anda akan berasa diri begitu `bodoh’ dan kerdil. Baikkah anda? Percayalah, ada masanya anda akan berubah menjadi jahat dan kejam.

Manusia boleh berubah-ubah. Sifat, emosi yang terlalu bergantung kepada persekitaran. Hari ini, begini; esok lusa begitu pula; jangan kata orang lain, turun-naik `cuaca’, cerah, mendung, hujan, ribut, taufan kita sendiri pun tidak dapat jangka, jauh sekali memahaminya. Tetapi, berapa ramai antara kita yang mempunyai keberanian untuk mengenali diri sendiri? Berapa ramai yang ada kemampuan dan keupayaan untuk `mencari’ diri? Soalan pertama, wajarkah? Perlukah? Soalan kedua, takkan tak kenal diri sendiri dan diikutilah pelbagai soalan dan kenyataan yang kesudahannya, tak payahlah susah-susah.

Kita mungkin akur tidak begitu mengenali diri sendiri tetapi kita juga akur, kita tidak mahu `mengenali diri’ jauh sekali mencarinya. Apatah lagi jika pencarian itu menuntut banyak pengorbanan. Korbankan masa, tenaga, kerjaya juga keluarga seperti yang dilakukan seorang rakan. Berkerjaya bagus, graduan Matematik dari luar negara tetapi segalanya ditinggalkan kerana ingin mengenali dan mencari diri. Mengapa? Apakah kurang dirinya dulu hingga segala-galanya sanggup dilepaskan untuk pencarian yang mungkin tidak berkesudahan?

Jika ada rezeki, mungkin kita akan berkongsi pengalaman dan kisah pencarian rakan saya ini. Apapun, ketika tulisan ini dihasilkan, dia berkata, pencariannya belum selesai. Semakin dicari, semakin banyak yang perlu dicari lagi.

Saya pun tak tahu apakah yang dicari itu, cuma berharap pencariannya berhasil. Pencarian bukan sesuatu yang mudah, adakalanya begitu sukar hingga mampu `menyesatkan’. Sama seperti menuntut ilmu. Sememangnya kita didorong mencari ilmu tetapi haruslah berguru. Pencarian yang melampaui batasan akal fikiran manusia boleh membuatkan kita `gila’. Kepada rakan tadi, semoga berjumpa apa yang dicari dan kepada anda semua, selamat membaca...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan