Selasa, November 27, 2007

Lagi kaitan Daeng dengan Aceh...

Assalamualaikum semua. Tergerak saya membuka sesi bercerita malam ini dengan sambungan sedutan daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" atau BKA III yang dibuat dalam posting Kaitan para Daeng anak-anak Raja Bugis dengan Aceh, bumi Serambi Mekah... , daripada bab bertajuk "Dari Aceh ke Perak: Nakhoda Hitam Laksamana Tok Kuala Bidor".

-------------------------

Rasyid tidak pasti kenapa... Sejak kebelakangan ini dia sering bermalam di rumah ibu saudara yang suaminya berasal daripada keturunan Daeng Selili. Ada sesuatu yang terasa begitu serasi tentang keluarga ini. Mungkin kerana si suami adalah cucu Tok Jabor atau Ngah Jabor yang pernah disisihkan dari haknya? Sepertimana keluarga anak muda berketurunan Aceh itu sendiri pernah diketepikan oleh pihak yang pro-British?
Mengikut kata saudara-mara suami itu, Tok Jabor adalah saudara susuan seorang Sultan Perak, tidak ingat yang mana, kalau tak silap, Sultan ke 28, Sultan Idris Murshidul Azam yang membuka Bukit Chandan.
"Beliau pernah menjadi orang terkaya di Perak, lebih kaya daripada Sultan," seorang saudara sering memberitahu. Tetapi menurutnya, bangsawan yang amat berpengaruh di Kampung Gajah ini, salah seorang pejuang Melayu yang berperanan menentang Inggeris selepas Perjanjian Pangkor 1874 kemudian dipinggirkan daripada lipatan sejarah.
"Saudara-mara sendiri juga yang buat hal," kata seorang cucu Ngah Jabor, bekas seorang guru besar sekolah menengah. "Nama Tok Jabor terus disisih daripada sejarah Perak, kalau disebut pun cuma sepintas-lalu sedangkan jasa beliau mengatasi ramai nama yang dikenali sejarah."
Nasib baik ada saudara mereka giat menimbulkan kembali peranan Tok Jabor, sanggup menulis buku yang diterbitkan 2002 serta beberapa buah rencana untuk Journal of Malaysia Branch Royal Asiatic Society. Barulah Rasyid tahu, Tok Jabor atau Muhammad Jabor bin Bardot bin Haji Abdul Rahman juga dikenali sebagai Imam Perang Jabaranum yang membuka penempatan awal di Kampar (dahulunya dikenali sebagai Mambang diAwan) untuk mengusahakan lombong-lombong bijih timah di sana.
Mungkin benar Nakhoda Hitam dan Daeng Selili mempunyai kaitan yang sangat rapat. Mungkin pertalian peribadi inilah yang menyebabkan Rasyid terasa begitu selesa di rumah ibu saudara yang bersuamikan cucu Tok Jabor itu... Kalau penghujung 2004, setelah lebih seminggu tersangkut penulisan apabila sampai ke bab yang membincangkan keturunan anak cucu Sultan Malikul Mansur yang hilang, dia cuma dapat menyambung kerja kembali setelah bermalam di rumah ini, sekarang, ketika jari jemarinya menaipkan perenggan ini, anak muda itu juga berada di situ. Walaupun usaha menyajikan siri buku "Berpeteluang ke Aceh" ini berlaku di beberapa lokasi termasuk Janda Baik, ternyata kebanyakannya berjaya diselesaikan di rumah itu. Mungkin ini disebabkan pertalian peribadi tersebut?
Menurut satu cerita, Nakhoda Hitam meninggalkan Aceh kerana masalah perebutan takhta. Mungkin Daeng Selili adalah adik beradik gahara seibu sebapa yang telah lebih awal bertapak di Perak? Maka bermastautinlah dua orang besar yang dikenali sebagai bangsawan berketurunan Bugis, seorang menjadi Laksamana, seorang menjadi Maharajalela, dua gelaran bangsawan istana yang pernah dipegang oleh seorang Sultan Aceh, Sultan Alauddin Ahmad Shah dan nenek moyangnya turun-temurun.
Barangkali mereka sengaja menyembunyikan identiti sebenar untuk melupakan kisah lama. Yang pasti, Daeng Selili memang bertaraf raja. Kalau tidak, kenapa Sultan Muzaffar yang memerintah Perak boleh memberikan adindanya Raja Tengah untuk dijadikan isteri? Dan sebagai Orang Kaya-kaya Maharajalela, beliau diberi kuasa menjalankan hukuman bunuh seperti seorang raja yang berdaulat tanpa perlu meminta izin Sultan..
Nakhoda Hitam pula lebih selesa menjadi Laksamana yang mempunyai kuasa mutlak di laut. Kebetulan, Laksamana juga dikenali sebagai raja di laut! Lagipun gelaran Laksamana di Aceh selalunya dipegang oleh kerabat diraja yang rapat dengan istana, kerabat yang mempunyai hak untuk menaiki takhta... Sepertimana di Negeri Sembilan sehingga sekarang, bakal pengganti Yang di Pertuan akan memakai gelaran Tunku Laksamana...
Rasyid pasti taraf sebenar mereka diketahui Sultan Muzaffar Shah III atau Marhum Hajiullah. Baginda dikenali sebagai Marhum Hajiullah kerana mengikut ceritanya, baginda boleh pergi ke Mekah dalam sekelip mata. Lagipun berdasarkan pertalian darah keSultanan Samudera Pasai, Melaka, Aceh dan Perak mereka sebenarnya berkerabat. Dan Sultan-sultan Perak kemudian memiliki titisan darah Nakhoda Hitam melalui perkahwinan Sultan Perak ke 18, Sultan Ahmaduddin Shah (memerintah 1792-1806) dengan Che’ Pusa Puteh, sseorang cucu perempuan Nakhoda Hitam.

1 ulasan:

  1. Pretty nice post. Aku hanya tersandung pada blog Anda dan ingin mengatakan bahwa saya telah benar-benar menikmati browsing posting blog Anda. Dalam hal apapun saya akan berlangganan feed Anda dan saya harap Anda menulis lagi segera!.

    BalasPadam