Ahad, Julai 01, 2007

Sejarah berkaitan Muar dalam "Berpetualang ke Aceh"...

Tanpa membuang masa lagi, posting ke 131 saya dalam blogspot ini...
Tadi nyaris saya terkedu... Jam menunjukkan pukul 1.41 pagi, tiba-tiba ada gangguan signal wi-fi Internet, takut tak dapat buat posting ini... Sudahlah larut malam, pagi besok (sebenarnya pagi ini kerana sudah masuk hari Ahad) saya perlu pergi ke Bukit Damansara untuk menghadiri majlis perkahwinan keluarga.
OK... Ini dia, cebisan cerita berkaitan sejarah Muar dalam buku "Berpetualang ke Aceh", daripada bab bertajuk “KeSultanan Melaka: Kesinambungan Pasai ke Aceh”.

Mukasurat 108...


Kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang mencatatkan keSultanan Melaka bermula dengan kedatangan Raja Iskandar, seorang raja berketurunan raja besar Iskandar Zulkarnain, daripada zuriat baginda yang turun ke Bukit Siguntang, juga dikenali sebagai Bukit Siguntang Mahameru di Palembang. Raja ini pernah memerintah Singapura tetapi negeri itu dilanggar musuh. Lalu baginda pun melarikan diri ke utara dan cuba membuka negeri baru di Muar.
Atas sebab tertentu, usaha membuka negeri ini menemui kegagalan. Raja Iskandar naik lagi ke utara sehingga sampai ke Sungai Bertam lalu bersandar pada sepohon kayu. Di situ, anjing perburuan baginda terserempak seekor pelandok putih yang luar-biasa berani sehingga sanggup menerajang anjing itu jatuh masuk air. Peristiwa ini menyebabkan baginda merasakan tempat itu baik dibuat negeri, maka itu dinamakannya “Melaka” sempena nama pohon tempat baginda bersandar itu.
Sarjana Barat pula memanggilnya sebagai Parameswara, kononnya baginda adalah seorang anak raja Hindu yang lari dari Palembang ke Singapura lalu merampas pemerintahan negeri daripada seorang penguasa tempatan. Mengikut kata mereka, sebab itulah tidak lama kemudian, negeri itupun diserang lalu baginda lari ke utara dan mengasaskan Melaka...

Mukasurat 126...

Setelah Paduka Seri Maharaja mangkat, anakandanya Raja Iskandar yang menaiki takhta pula buat hal. Raja itu berkenan dengan anak Sang Rajuna Tapa, Bendahari Singapura kemudian menjadikannya sebagai gundik yang paling disayangi. Gundik-gundik lain irihati lalu memfitnahnya berbuat jahat. Baginda percaya kan fitnah tanpa usul periksa sehingga sanggup menyuruh anak Bendahari itu disula di hujung pasar. Maka wa’adat atau perjanjian asal antara Raja-raja Melayu dengan rakyat seperti dilafazkan Sang Si Perba dengan Demang Lebar Daun pun dilanggar... Kerana raja telah memalukan rakyat - Kalau betul pun gundik itu telah berlaku sumbang, mengapa perlu disula dan ditayangkan di khalayak orang?
Sang Rajuna Tapa berdendam lalu berkirim surat ke Jawa. Bunyinya: “Jikalau Betara Majapahit hendak menyerang Singapura, hendaklah segera datang, kerana hamba ada belot dari dalam kota.” Tidak lama kemudian, angkatan Majapahit datang menyerang. Rakyat Singapura dapat bertahan beberapa hari tetapi apabila Raja Iskandar menitahkan Bendahari mengeluarkan bekalan beras, beliau pula menipu dengan berkata beras sudah habis. walhal tidak! Pada malamnya, pembelot itu membuka pintu kota... Tentera Majapahit pun masuk menyerbu dan kalahlah Singapura.
Walaupun Bendahari berbuat begitu kerana marahkan raja, ia masih dikira perbuatan derhaka lebih-lebih lagi kerana menyebabkan seisi negeri menerima akibatnya. Dengan takdir Allah, rumah Sang Rajuna Tapah pun jatuh roboh... Beliau laki-bini bertukar menjadi batu, beras yang disorokkan pula menjadi tanah. Raja Iskandar melarikan diri ke utara bersama para pengikutnya... Sampai ke Muar hendak membuat negeri tetapi tempat itu selalu dinaiki biawak, setiap kali dibunuh esok datang lagi... Maka bertimbunlah bangkai biawak, dan tempat itu dipanggil Biawak Busuk. Sampai ke sebuah tempat lain di Muar, baginda cuba mendirikan sebuah kota tetapi apabila matahari naik keesokannya, kota itu menjadi buruk.
Baginda bergerak sampai ke sungai Bertam pula, dalam sempadan negeri Melaka sekarang. Di situlah anjing perburuan baginda diterajang seekor pelanduk putih ketika baginda bersandar pada sepohon kayu “Melaka”. Lalu tempat itu dibuat negeri dan dinamakan “Melaka”. Maka sampailah kita kepada beberapa khilaf tentang sejarah Raja-raja Melaka, salah satunya, siapakah yang mula-mula menganut Islam dan bagaimana...


Dan akhir sekali, mukasurat 128...

Rasyid mengangguk bersetuju. Kata-kata Azmil itu memang masuk akal. Agaknya sebab itu satu-satunya makam Sultan Melaka yang diketahui masih wujud di Malaysia, makam Sultan Alauddin Riayat Syah (memerintah 1477-1488) di Kampung Raja, Pagoh, Muar ditanda dengan batu nesan Aceh. Malah batu nesan berkepak itu hampir menyerupai batu nesan Sultan Malikus Salih, pengasas keSultanan berkembar Samudera Pasai yang dipercayai mangkat 1297 Masihi. Lagipun, bukankah batu nesan sebegini menandakan pemiliknya memang mempunyai titisan darah keSultanan dari bumi Aceh? Tidak semestinya daripada Aceh, mungkin daripada Samudera, mungkin Pasai, mungkin juga Perlak... Pendek kata mana-mana keSultanan yang pernah bertapak di bumi Serambi Mekah.
Malah batu nesan ayahanda kepada Sultan Alauddin iaitu Sultan Mansur Shah yang pernah disimpan Inggeris di Singapura juga adalah daripada jenis batu nesan Aceh walaupun ia tidak bersayap. Walaupun makam Sultan-sultan Melaka lain yang pernah berada di Kota Melaka sudah lama hilang dirombak penjajah selepas kota itu ditawan, cukuplah batu nesan dua orang Sultan itu sebagai bukti kaitan mereka dengan Aceh.
Azmil atau Raja Azmil kelihatan kesal menceritakan ini. Mungkin kerana beliau memiliki titisan darah Sultan-sultan tersebut? Azmil adalah seorang ahli kerabat diraja Perak dan keSultanan Perak memang berasal daripada keSultanan Melaka. Katanya pertalian darah antara keSultanan Melaka dengan keSultanan-keSultanan di Aceh nampaknya cuba hendak disembunyikan kitab Sejarah Melayu atas motif-motif tertentu.

--------------------

OK... Barulah saya boleh berehat dan tidur. 131, nombor home sweet home... Yahoo!!! (bukan Yahoo D yek, heh!) :]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan