Jumaat, Julai 06, 2007

Poster BKA 'beranak" tiga! Dan pengembaraan tetap diteruskan jua!

Lihat ini... Apakah yang telah terjadi?



Perhatikan betul-betul. Poster atau bunting untuk promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" didapati telah beranak tiga! Kenapa? Tak percaya ke?


Salah satu 'anak' poster ditinggalkan di kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit. Untuk sedikit maklumat tentang kedai ini dan bagaimana hendak ke sana, sila klik Confirm! Pelancaran BKA di Khazanah Fathaniyah .

-----------------------------

OK.... Baru boleh dimulakan cerita.

Adapun saya kini sedang berada di sebuah restoran di Plaza Damansara menunggu masuk waktu untuk bersolat Jumaat di masjid besar berdekatan. Kebetulan di sini ada signal wi-fi free, maka saya rasa elok juga membuat sebuah posting baru sementara ada masa dan peluang... Lagipun selepas ini saya akan memulakan sesi perantauan baru yang rasanya akan memakan masa tidak kurang seminggu, sebelum masuk bulan Rejab di mana saya merancang untuk menumpukan perhatian demi menyiapkan buku ketiga saya, "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" ataupun BKA 3.

Tiga hari lepas, seorang kenalan di Central Market telah mencadangkan agar saya membuat mini versi poster atau bunting untuk promosi buku yang boleh ditinggalkan di tempatnya. Ini kerana dia tertarik dengan poster besar bersaiz 3 x 4 kaki yang saya gunakan untuk membuat promosi secara 'guerilla' jalanan. Maka setelah memikirkannya dan bertanya seraya beristikharah melalui hati, saya pun membuat poster kecil dengan rekabentuk sama tetapi bersaiz 1.5 x 2 kaki atau satu perempat saiz poster asal. Dan gerak hati ini menyuruh membuat 3 salinan kesemuanya untuk ditinggalkan di tempat-tempat tertentu.

Maka jadilah seperti yang ditonjolkan dalam gambar-gambar di atas. Satu poster ditinggalkan di kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit, satu di kedai Pustaka Rezeki Harapan di hadapan Masjid India dan satu lagi di sudut pelukis Iedet di Central Market. Ketiga-tiga tempat ada menjual siri buku BKA. Nah... Lihatlah gambar-gambar ini!


Poster mini digantung di hadapan kedai Pustaka Rezeki Harapan di Masjid India.


Ini pula di sudut pelukis Iedet di Central Market...

--------------------------

OK... Sejak 2 minggu lepas, gerak hati saya sudah menyuruh untuk bersedia berjalan jauh sambil membawa kit promosi buku demi memperkenalkan siri buku "Berpetualang ke Aceh" secara jalanan ke khalayak yang lebih luas. Samada ia akan mendatangkan apa-apa hasil, itu semua atas kuasa dan ketentuan Allah. Saya cuma menurut gerak hati yang terbetik, sekurang-kurangnya untuk kepuasan jiwa sendiri.

Insyaallah, perjalanan akan dimulakan petang ini bermula di Kampung Janda Baik, Pahang. Berehat semalam dua kemudian naik ke Raub, seterusnya ke Kuala Lipis sebelum ke Kelantan... Mungkin singgah di Bukit Panau dan Tok Uban sebelum ke Kota Bahru?

Apapun, saya dapat merasakan, kali ini saya terpanggil untuk menurut jalan ini demi menyambung pengembaraan ke Pantai Timur Disember lepas yang terpaksa dipendekkan akibat kurang sihat serta 'panggilan' baru kembali ke Kuala Lumpur. Insyaallah, daripada Kelantan, saya akan masuk ke Kedah seterusnya Perak sebelum turun kembali ke KL.

Oleh itu, jika terlihat poster atau bunting besar "Berpetualang ke Aceh" tergantung di mana-mana seperti dalam gambar-gambar di bawah, carilah di sekeliling. Kemungkinan besar, saya sedang bertandang ke tempat anda. Wassalam!


Poster digantung di pejabat pos Ampang Point sementara menyiapkan satu urusan.


Depan Masjid Jamek Kuala Lumpur pun sempat tayang poster woo! :]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan