Khamis, Jun 07, 2007

Pelancaran BKA di Khazanah Fathaniyah Sabtu ini. Full steam ahead!

Gambar burung hud-hud (bahasa Inggeris dipanggil Hoopoe)


Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa pula diletakkan gambar burung hud-hud di sini. Bukankah tajuk artikelnya ialah "Pelancaran BKA di Khazanah Fathaniyah Sabtu ini. Full steam ahead!"?... Di manakah letaknya kaitan antara burung yang masyhur dalam kisah Nabi Sulaiman bertemu Ratu Balqis ini dengan proses pelancaran siri buku "Berpetualang ke Aceh"? Apakah ada yang tersirat di sebalik keputusan untuk menghiasi artikel ini dengan gambar burung tersebut?

Sebenarnya, tujuan utama diletakkan gambar ini adalah sekadar untuk berkongsi dengan pembaca. Adapun gambar ini asalnya adalah gambar burung hud-hud Afrika yang dikutip daripada Internet lalu diedit dan diberi sentuhan artistik menggunakan program Photoshop untuk menghiasi posting terbaru di dalam blogspot Inggeris saya iaitu www.berpetualangkeaceh.blogspot.com. Posting terbaru itu adalah sedutan daripada tulisan Wali Allah terkenal Sheikh Fariduddin Attar tentang pengembaraan sekumpulan burung mencari "Raja Burung" (ada sebab yang mendalam kenapa diletakkan tanda quote unquote). Tulisan berbentuk cerita puisi itu dikenali sebagai Mantiq at Thair atau dalam bahasa Inggeris (menurut terjemahan Edward FitzGerald) bertajuk "Parliament of the Birds".

Memandangkan blogspot bahasa Inggeris itu kurang dikunjungi orang, tidak seperti blogspot berbahasa Melayu ini yang ramai peminatnya, saya rasa rugi pula gambar yang telah dibuat dengan gerak-hati dan sentuhan yang tiba-tiba muncul suatu hari itu tidak dapat dilihat lebih ramai orang. Rasanya (rasa saya le, mungkin orang lain rasa lain pula), gambar yang telah diberikan sentuhan artistik itu agak cantik dan menarik. Maka itulah sebab sebenarnya ia digunakan untuk menghiasi artikel ini.

Kalau difikirkan sekali lagi, mungkin juga Allah sengaja memberi gerak meletakkannya di sini kerana memang ada makna yang tersirat. Adapun mengikut cerita daripada Mantiq At Thair, burung hud-hud lah yang bertanggungjawab mengajak burung-burung lain supaya keluar mengembara sehingga sanggup mengorbankan jiwa-raga demi mencari si "Raja Burung", satu kias Tasawuf yang membawa maksud perjalanan kerohanian "mencari" Allah Al-Haq!

Menurut cerita Nabi Sulaiman yang disebut dalam Surah Saba' pula, burung hud-hud lah yang bertanggungjawab memberitahu Nabi Allah yang memiliki kerajaan besar merangkumi manusia, jin, malah binatang, angin dan syaitan itu tentang kewujudan sebuah kerajaan lain bernama Saba'. Kerajaan ini diperintah seorang raja perempuan bernama Ratu Balqis (nama ini tidak disebut di dalam Quran tetapi diriwayatkan para ulamak). Cerita ini berakhir dengan Ratu Balqis memeluk Islam di tangan Nabi Sulaiman malah menurut sesetengah riwayat mereka pun berkahwin dan menerbitkan zuriat...

OK... Oleh kerana bab gambar ini telah berjaya dilepaskan daripada dada, boleh le kita beralih kepada cerita sebenar iaitu pelancaran siri buku "Berpetualang ke Aceh" di kedai Khazanah Fathaniyah 9 Jun Sabtu ini jam 2.30 petang. Memang cara saya begitu, perlu melepaskan apa yang terbuku (yang mana boleh diceritakan le... yang rahsia tetap rahsia!) dalam kalbu sebelum dapat meneruskan penceritaan mengikut gerak-hati yang muncul pada sesuatu ketika.

Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan, persediaan untuk pelancaran siri buku BKA berjalan lancar setakat ini. Semalam, saya telah menghubungi beberapa pihak media dan mereka telah menyatakan kesediaan untuk menyerikan lagi majlis. Samada mereka betul-betul akan muncul (atau mereka sekadar berkata akan datang demi menjaga hati saya?), itu saya serahkan kepada Allah yang mengatur segala sesuatu. Saya sudah jalankan usaha yang mampu. Sekarang, sampailah masanya untuk bertawakal sepenuhnya. Niat saya agar liputan yang diberi akan turut mengenalkan Khazanah Fathaniyah yang diasaskan almarhum Ustaz Wan Muhammad Saghir kepada khalayak yang lebih ramai.

Sebagai seorang bekas wartawan akhbar terkemuka yang masih mempunyai sedikit pengaruh dalam dunia penulisan, itulah janji saya kepada diri sendiri suatu masa dahulu. Pembantu Ustaz iaitu saudara Azrul pernah meminta saya agar berbuat sesuatu yang dapat menolong Khazanah Fathaniyah yang kekurangan dana dan sokongan untuk meneruskan pengkajian demi memartabatkan ulamak Islam seNusantara dahulukala dan ajaran syumul Islam yang dibawa mereka.

Sebagai seorang Islam yang juga percaya kepada perjuangan memartabatkan agama, saya rasa terpanggil untuk berbuat sesuatu. Sayangnya, semasa almarhum Ustaz Wan Saghir masih hidup, saya sedang dalam keadaan buntu akibat berbagai masalah peribadi. Baru kini Allah melapangkan dada dan memberi ilham, gerak serta sokongan daripada arah yang tak disangka (baca balik Ayat Seribu Dinar atau Surah At-Thalaq ayat 2-3) sehingga tekad dan kekuatan dapat dikumpul untuk memungkinkan pelancaran buku BKA diadakan di samping memperingati sumbangan almarhum terutama hasil kerja beliau di bawah kelolaan Khazanah Fathaniyah.

Harapan saya, kehadiran media akan memberi insentif kepada Khazanah Fathaniyah serta badan yang berkaitan (dikenali sebagai Pengkaji) untuk terus giat berusaha dan berjuang menaikkan bahan-bahan penulisan kerohanian seperti kitab-kitab lama Tasawuf karangan ulamak terdahulu agar dapat dijadikan pegangan masyarakat sekarang yang nampaknya semakin hanyut dilanda gelombang dakyah hiburan Barat. Dengan liputan yang positif, saya juga berharap agar akan tampil badan-badan yang memiliki dana (mungkin Yayasan Al-Bukhari dan sebagainya) agar menyokong usaha-usaha sebegini atas nama Islam dan kesejahteraan Ummah sejagat, Insyaallah!

Hmm.... Rasanya cukuplah kata-kata yang terbit daripada kalbu saya buat masa ini. Diharap para pembaca sudi untuk memeriahkan lagi majlis ini. Untuk makluman lanjut, sila baca artikel terdahulu atau klik sahaja di sini... Confirm! Pelancaran BKA di Khazanah Fathaniyah Sab... Wassalam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan