Rabu, Jun 27, 2007

Kemalangan yang pelik!

Lihat gambar di atas... Sebuah kereta mewah BMW 3 series terperesok di dalam sebuah longkang yang agak sempit siang tadi... Perhatikan dengan teliti. Lebar longkang ini sebenarnya tidak cukup untuk menampung ketinggian kereta, lalu bagaimana kereta ini boleh terperesok sebegitu rupa? Kenapa tidak tersangkut di tepi tebing longkang?
Lebih pelik lagi, longkang ini terletak bersebelahan jalan kecil di sebuah kawasan perumahan di Ampang... Jalan besar iaitu Jalan Ampang terletak di sebalik penghadang dan para pemerhati serta hadirin di dalam gambar.
Daripada segi logik akal, mungkin kita senang menerima kemalangan ini jika longkang itu terletak terus bersebelahan jalan besar tanpa penghadang... Atau penghadang itu telah dilanggar sehingga pecah menyebabkan kereta masuk ke dalam longkang kerana kereta telah dipandu laju lalu hilang kawalan.
Ini boleh dikira perkara biasa di jalan-jalan besar di mana ramai orang sering memandu laju. Bagaimanakah perkara ini boleh terjadi di sebuah jalan kecil yang saya tahu ada banyak bump? Jalan di mana orang selalunya memandu di bawah kelajuan 30km/h?


Kemalangan yang agak pelik ini menyebabkan ramai orang berhenti untuk memerhati dalam keadaan terpinga-pinga. Memang ramai yang hairan bagaimana kereta sebesar ini boleh masuk betul-betul muat ke dalam sebuah longkang yang tidak sebesar mana pun...
Keadaan ini menyebabkan saya terasa patut mengambil beberapa gambar sebagai rekod. Malah saya terasa wajib menceritakannya di dalam ketiga-tiga blogspot saya sebelum dapat menyambung apa- apa penulisan lain!
Itupun belum cukup rupanya... Saya ingat apa yang diceritakan di atas sudah cukup pelik. Rupanya, ada lagi satu fakta kejadian yang jauh lebih pelik!
Saya diberitahu, kereta ini datang daripada arah bertentangan sebelum mengalami kemalangan lalu terperesok di dalam longkang. Kalau dari arah bertentangan, bukankah bahagian belakang kereta yang patut kelihatan daripada tempat saya sedang berdiri lalu mengambil gambar ini? Kenapa pula kelihatan bahagian hadapan kereta?
Menurut seorang hadirin, kereta itu telah berpusing sekurang-kurangnya sekali pusing sebelum terperesok dalam kedudukan yang dilihat ini. Ait? Berpusing lepas itu dapat pula masuk cukup-cukup ke dalam parit yang agak sempit ini? Aduh... Pening memikirkan bagaimana kejadian ini berlaku!

Lihat lagi, daripada sudut yang lain pula. Pelik bukan kedudukan kereta ini?
Apapun, saya diberitahu pemandunya selamat, mungkin luka-luka sedikit walaupun dia dikatakan memandu agak laju ketika mengambil selekoh di taman perumahan sehingga terjadinya kemalangan ini.
Yang pasti, tidak terdapat apa-apa kesan darah kelihatan seperti yang sering berlaku dalam pengalaman ngeri yang menyebabkan maut atau mereka yang terlibat cedera parah. Cermin tingkap di sisi bahagian pemandu yang terbuka tanpa ada kesan cermin pecah menunjukkan, sekurang-kurang pemandu dapat keluar menyelamatkan diri dalam keadaan yang agak selesa.
Bayangkan jika cermin itu tertutup dan pemandu terperangkap di dalamnya. Bagaimanakah agaknya keadaan?
Bayangkan pula kalau cermin tidak dapat dibuka dan kemalangan ini berlaku ketika hujan lebat yang sering menyebabkan banjir kilat. Silap-silap ada yang nahas!


Kereta ditarik keluar menggunakan lori pick-up... Seperti biasa, rakyat Malaysia agak 'prihatin' apabila berlaku apa-apa kemalangan jalanraya. Ramai yang sedia menyumbangkan 'kepakaran' dengan duduk atau diri memerhati sambil ternganga... Atau sibuk mengemukakan 'teori' bagaimanakah sesuatu kemalangan itu boleh berlaku, hehe!

Apapun, Alhamdulillah, kereta BMW 3 series ini berjaya dibawa keluar. Sekarang bolehlah saya menyambung penulisan lain ya... Teruskan membaca!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan