Sabtu, Jun 30, 2007

"Berpetualang ke Aceh" tour run 2

OK... Tanpa membuang masa, kita terus menyambung cerita...

Tengahari Sabtu 22 Jun, sementara menunggu perkhidmatan bas 1.30 petang Raub ke Bukit Fraser, saya pun menggunakan masa yang terluang untuk menggantung bunting di stesyen bas. Untuk makluman, perkhidmatan bas ke Bukit Fraser diadakan dua kali sehari dengan perkhidmatan awal bermula jam 8.30 pagi gitu. Nasib baiklah, ada... Kalau tak terlepaslah hajat awal untuk membuat promosi di Bukit Fraser.
Semasa menggantungkan bunting ini, ada juga beberapa orang bertanya, untuk apa saya menggantungnya... Saya jawab direct je... Nak promote buku. Tapi saya tak cakap buku siapa...
Lalu ada yang bertanya jika saya ini orang Aceh, apabila terlihat tajuk besar "Berpetualang ke Aceh" pada poster. Malah terdengar sup-sap orang bercakap di belakang: "Orang Aceh ini...". Mungkin melihatkan penampilan saya yang sedikit pelik semasa itu, memakai seluar petak-petak seperti kain pelikat dengan t-shirt kolar bulat?
Jawab saya, memang tok nenek-moyang saya berketurunan Aceh tetapi mereka telah meninggalkan bumi Serambi Mekah 300 tahun lalu... Dan saya adalah rakyat Malaysia. Itu sahaja...


Selepas menggantung bunting di tempat tadi, saya pun berjalan-jalan di sekitar stesyen bas Raub. Terlihat pula tempat yang dirasakan lebih menarik untuk membuat promosi, pada bangunan MARA berhadapan stesyen bas... Apalagi, saya pun mengalihkan bunting ke sini pula!


Lihat daripada jauh... Rasanya kedudukan bunting yang ini lebih strategik untuk dilihat semua.
Tidak lama kemudian, bas Raub ke Bukit Fraser pun sampai. Sayangnya, saya yang baru keluar daripada tandas di restoran berdekatan terkejar-kejar sehingga tidak sempat mengambil gambar bas kecil buruk yang pernah menjadi bas mini wilayah di Kuala Lumpur 10 tahun lalu. Kalau tidak, tentu menarik untuk dilihat oleh semua... Kira klasik ni...
Apapun, setelah lebih 1 jam melalui jalan sempit pergunungan yang berliku-liku dalam bas buruk yang asyik terhenjut-henjut, saya pun sampai ke bukit peranginan itu. Tanpa membuang masa, saya pun terus mencari tempat yang dirasakan sesuai untuk mendirikan kit promosi.


Setelah meneliti suasa sekeliling di kawasan 'pusat bandar' Bukit Fraser, saya merasakan kawasan di sisi pohon berhadapan Kelab Golf adalah yang paling sesuai ketika itu lebih-lebih lagi kerana ada bayangan pokok memberi lindungan daripada silauan terik matahari.
Sampai sahaja di pohon itu, saya terus ternampak satu spesis kumbang besar dengan sesungut panjang yang rasanya pernah dilihat cuma sekali-dua sahaja dalam hidup ini. Maaf, terlupa pula hendak mengambil gambarnya. Saya menganggap ini sebagai tanda tempat itu memang sesuai didirikan kit promosi. Maka jadilah seperti dalam gambar di atas ini...


Tidak lama kemudian, datang sebuah kereta lalu berhenti di tempat tadi sehingga menghadang penglihatan orang ramai daripada bunting promosi. Timbul pula sedikit rasa marah... Apakah pemandu kereta ini tidak ada tempat lain untuk meletakkan kereta? Lebih-lebih lagi tempat kereta itu diletak adalah di luar kotak kawasan meletak kereta yang bertanda.
Nasib baik hati ini mengingatkan bahawa semuanya berlaku kerana af'al perbuatan Allah jua. Maka anggaplah ia sebagai isyarat untuk mengalih kedudukan kit promosi saya... Lagipun bukannya susah... Angkat sahaja dan alihkan ke tempat yang baru...
Itulah yang dapat dilihat dalam gambar di atas. Tengok... Terus ada orang berminat untuk membelek dan membaca buku "Berpetualang ke Aceh"!

Oh... Nak tahu bagaimana rupa sebenar kit promosi ciptaan saya, lihatlah gambar di atas...
Perhatikan, tongkat besi yang boleh dipanjang-pendekkan diikat pada luggage carrier murah kemudian digantung bunting di atas dan diikat ke semuanya dengan dua set tali untuk mengukuhkan kedudukan.
Perhatikan juga, tikar mengkuang buruk yang mengandungi 10 naskah BKA I dan 10 BKA II untuk mengimbangi bunting pada tongkat. Apabila perlu, tikar ini boleh dibuka unuk mempamirkan buku di samping menjadi tempat saya duduk berehat lalu bunting diimbangi dengan rucksack pula!

Lihat daripada hadapan pula... Nampak agak kemas sehingga beberapa orang datang lalu menyatakan rasa kagum melihat kit promosi ini kerana nampak agak professional... Bila ternampak luggage carrier, tongkat serta tikar mengkuang di belakang, kata mereka ringkas... "Sungguh kreatif!"
Itulah harga dan usaha untuk membuat promosi jalanan ini... Maklumlah penulis bebas lagi sengkek seperti saya, mana ada budget berpuluh ribu untuk buat promosi macam orang lain?
Itupun alhamdulillah, Allah telah memberikan saya ilham, kekuatan dengan Qudrat dan Iradat nya jua untuk melakukan ini... Kita sambung cerita sebentar lagi ya... Insyaallah! :]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan