Ahad, Mei 27, 2007

Tahlil 44 hari almarhum Ustaz Wan Saghir

Murid tua almarhum Ustaz Wan Muhammad Saghir, Haji Hamdan Bokhari daripada Kalimantan memberikan sedikit kata-kata tentang hubungan beliau dengan almarhum pada majlis tahlil 44 hari kembalinya ke rahmatullah Ustaz Wan Saghir yang diadakan di Dewan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Taman Melewar, Kuala Lumpur malam tadi.

Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan... Malam semalam 26 Mei 2007 bersamaan 10 Rabiulawal 1428 Hijriah (ingat... Hari baru Hijriah bermula selepas masuk waktu Maghrib) selesailah majlis tahlil 44 hari setelah kembalinya almarhum Ustaz Wan Muhammad Saghir ke rahmatullah. Almarhum ialah seorang pengkaji sejarah Islam terutama tentang peranan para ulamak dahulukala mendaulatkan syiar yang syumul di bumi Melayu dan karya-karyanya sudah mendapat tempat di hati umum apabila ia sering menghiasi laman-laman agama di akhbar harian utama seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Majlis tahlil yang diadakan di Dewan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Taman Melewar, Kuala Lumpur itu dihadiri lebih kurang 100 orang, terdiri daripada wakil-wakil NGO, persatuan agama, pengkaji sejarah, pelajar universiti malah pendokong Silat Cekak dan Silat Abjad. Antara tetamu kehormat ialah Ustaz Subky Haji Latif yang menulis di akhbar Harakah milik PAS.

Disebabkan beberapa hal lain, saya sampai agak lambat iaitu jam 9.30 malam sedangkan majlis bermula jam 9. Apapun, kedatangan saya disambut baik oleh para hadirin terutama salah seorang pembantu kanan almarhum Ustaz Wan Saghir iaitu Ustaz Azrul yang kebetulan duduk di tepi pintu masuk dewan.

Oh... Teringat pula. Siang tadi saya ada menalifon seorang lagi pembantu kanan almarhum iaitu Ustaz Halim untuk bertanyakan arah ke dewan itu. Maklumlah, baru ini saya mendengar tentang kewujudan Dewan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Taman Melewar, setelah mendapat SMS jemputan untuk menghadiri majlis. Apakah ia terletak berhampiran markas PAS? Apakah ia sebuah bangunan yang baru dibina? Rupa-rupanya dewan yang dimaksudkan adalah rumah milik Ustaz Wan Saghir yang juga berperanan sebagai pusat utama Khazanah Fathaniyah sejak mula almarhum menerbitkan hasil penulisan beliau.

Kali terakhir saya sampai ke sana adalah lebih 2 tahun lalu. Ketika itu, artikel-artikel tulisan Ustaz Wan Saghir belum mendapat tempat di akhbar utama tempatan. Dewan (atau rumah?) yang dimaksudkan kelihatan agak dhaif dengan berkotak-kotak hasil penulisan terletak di atas lantai... Seolah berada di dalam gudang rasanya. Tetapi sekarang ia memang layak dipanggil dewan. Kalau tak percaya, cuba lihat gambar-gambar di bawah... Perhatikan sesetengah hasil kerja Ustaz Wan Saghir telah diatur dengan elok... Kelihatan tempat ini layak menjadi sebuah muzium untuk tatapan para pengkaji serta peminat sejarah Islam pula!







Terus-terang saya katakan, saya agak terperanjat melihat perubahan yang ketara pada tempat ini. Malah rumah bersebelahan telah dibeli oleh keluarga Ustaz Wan Saghir, maka jadilah tempat kediaman mereka terletak bersebelahan dengan Dewan Sheikh Daud al-Fathani.

Kata Ustaz Azrul, dewan ini baru siap dibina sebegini rupa kira-kira 4 atau 5 bulan lepas. Melihatkan suasana dan aturan di dalam yang agak menarik, saya rasa tempat ini mampu menarik ramai para pengunjung terutama mereka yang berminat tentang sejarah juga perjuangan Islam di Nusantara.

Bila disebut tentang ini, Ustaz Azrul menjawab, insyaallah ini akan diatur nanti. "Buat masa ini, dewan ini cuma dibuka pada masa tertentu. Belum ada tenaga kakitangan yang dapat memantau sehingga ia dapat dibuka setiap hari," katanya.

Tak mengapa. Moga-moga Allah memberkati segala usaha almarhum Ustaz Wan Saghir dalam memperjuangkan Islam dengan mengenengahkan hasil sumbangan ulamak-ulamak terdahulu. Dengan itu juga diharap Yang Maha Kuasa akan membuka jalan supaya Khazanah Fathaniyah dapat berkembang lebih pesat sebagai wadah keilmuan untuk para pengkaji sejagat berbakti kepada masyarakat selain menanamkan minat agar lebih ramai umat Islam menyedari dan mengambil iktibar akan perjuangan Islam yang sebenar. Yang pasti, ada banyak koleksi bacaan yang elok untuk dikongsi bersama terutama kitab-kitab berkaitan Tasawuf yang telah dibuat transliterasi oleh almarhum Ustaz.

Oh... Waris lelaki tua almarhum Ustaz Wan Saghir iaitu anaknya Wan Autad telah menyatakan persetujuan agar diadakan majlis pelancaran buku "Berpetualang ke Aceh" di kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit, Kuala Lumpur selepas Zuhur 9 Jun hari Sabtu. Apa yang tinggal sekarang adalah bagaimana majlis ini hendak diatur dengan kerjasama Ustaz Halim dan Ustaz Azrul.

Majlis itu juga akan digunakan untuk memperingati perjuangan almarhum selain turut mempromosikan buku-buku, kitab dan hasil penulisan Khazanah Fathaniyah. Insyallah saya akan berikan berita terkini sedikit hari nanti. Teruskan membaca blogspot ini dan doakan kejayaan kami dan kelancaran majlis ini ya! Wassalam... :]

p/s: Hampir terlupa pula... Untuk sesiapa yang berminat untuk melawat Dewan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, alamatnya ialah:

38, Jalan Batu Geliga 1,
Taman Melewar,
68100 Batu Caves, Kuala Lumpur.

Sila talifon para pembantu atau ahli keluarga Ustaz Wan Saghir di 03-61897231 untuk sebarang pertanyaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan