Tadi semasa membuat penyuntingan terakhir buku "Berpetualang ke Aceh: Membela syiar yang asal" atau BKA II dalam bab bertajuk "Munawar ke Mughayat: Kemunculan Aceh sebagai kuasa besar", saya telah sampai kepada ayat yang menyentuh satu perjalanan mengikut gerak hati sehingga sampai ke masjid lama pekan Kuala Lipis, Pahang... Tergerak pula untuk memeriksa koleksi gambar perjalanan lepas, sekadar untuk memastikan bilakah masjid lama itu didirikan (gambar diambil Disember 2006).
Sebaik sahaja melihat gambar yang menunjukkan masjid itu telah wujud sejak tahun 1888, timbul pula gerak hati untuk meletakkannya ke dalam thread perbincangan "Berpetualang ke Aceh" dalam Forum CVT. Tetapi sebelum itu, gambar ini mestilah di down-load ke Internet melalui hosting website dan biasanya saya menggunakan Photobucket. Malangnya ada masalah untuk memasuki lawan web tersebut, maka timbul ilham, lebih baik gambar itu dimasukkan ke dalam blogspot kerana prosesnya lebih mudah dan laman web ini lebih senang untuk dibuka...
Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Biar cerita yang menimbulkan gerak ini turut dipaparkan bersama. Maka terimalah mukasurat 169 daripada buku BKA II...
--------------------------------------
Dua minggu kemudian,Rasyid tergerak untuk menziarahi rumah almarhum nenek di Raub, Pahang... Setelah hampir setengah tahun tidak bertandang. Selepas beberapa malam berehat di sana, ibu saudara yang menjaga rumah itu pula harus pergi ke Kuala Terengganu untuk menghadiri kursus. Seorang anak angkatnya bersedia menghantar dengan kereta sampai ke Temerloh. Di sana, barulah ibu saudara ini mengambil bas ekspress ke Kuala Terengganu.
Rasyid tidak mempunyai apa-apa rancangan tetapi ingin berjalan. Dia pun menumpang sama, ikut sahaja ke mana kereta itu pergi... Sampai ke bandar di tepi Sungai Pahang itu, timbul pula keinginan untuk melawat Gua Kota Gelanggi yang terletak di sekitar Jengka. Selepas menaiki bas sampai ke Jerantut, pemuda itu terus memeriksa jadual bas ke sana. Perkhidmatan seterusnya cuma akan bergerak sejam lagi, maka dia pun cuba mengisi masa dengan berjalan-jalan di sekitar pekan. Sedar tak sedar, sampai pula ke stesyen keretapi...
Kebetulan keretapi ke utara pantai timur yang cuma berkhidmat sehari dua kali sampai ke stesyen waktu itu. Serta-merta timbul gerak spontan untuk menaikinya hingga ke Kuala Lipis. Di bandar yang diapit tebing Sungai Jelai serta kuala Sungai Lipis itu pula, anak muda itu tergerak untuk pergi ke masjid lama pekan yang didirikan awal tahun 1888... Letaknya bersebelahan stesyen bas dan mengikut ceritanya masjid ini tidak pernah disentuh banjir walaupun air naik melimpah sampai ke stesyen yang terletak 10 kaki lebih tinggi daripada kawasan masjid. Niat awalnya mahu bermalam di masjid tetapi selepas solat Asar, tergerak pula untuk ke stesyen keretapi melihat jadual perjalanan seterusnya.
Kebetulan lagi, keretapi ke utara pantai timur sampai ke stesyen sebaik sahaja Rasyid menjejakkan kaki. Tanpa berfikir panjang, hamba Allah yang suka berjalan "mengikut arah angin" inipun naik sampai ke destinasi terakhir keretapi di Gua Musang, Kelantan. Niat untuk bermalam di masjid lama Kuala Lipis pun bertukar menjadi sesi bermalam di surau KTM (Keretapi Tanah Melayu) tidak jauh daripada stesyen. Muncul pula beberapa orang musafir menumpang sama termasuk sepasang suami isteri dan dua orang lelaki anak jati Kelantan.
Entah kenapa, mereka mula bercerita tentang bermacam perkara pelik yang pernah berlaku di Kelantan. Terkeluarlah nama Tok Kenali sehingga Rasyid teruja untuk bertanya tentangnya... Barulah dapat tahu makam dan masjid Tok Kenali terletak di Kubang Kerian, Kota Bahru. Keesokan harinya dia terus ke sana. Di makam itulah Rasyid juga mendapat tahu wali Allah yang telah kembali ke Rahmatullah lebih 70 tahun lalu ini bernama Muhammad Yusuf, sama dengan nama orang tua misteri yang ditemui di Masjid India dua minggu lalu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan