Jumaat, Disember 08, 2006

Lagi mengenai Tok Kenali

Almarhum Tok Kenali (1868-1933)

Diambil daripada mukasurat 170 dan 171 buku "Berpetualang ke Aceh" jilid 2 yang sedang dalam proses editing dan lay-out... Iqra' ! :]

Almarhum Tok Kenali dilahirkan pada tahun 1868 di Kampung Kenali, Kubang Kerian daerah Kota Bahru, dalam sebuah keluarga petani yang saleh. Ketika itu, Kelantan berada di bawah pemerintahan Sultan Muhammad kedua, juga dikenali sebagai "Sultan Mulut Merah". Anak ini diberi nama Muhammad Yusuf bin Ahmad tetapi selalu dipanggil sebagai "Awang". Sejak kecil beliau menunjukkan tanda-tanda kecerdasan luar-biasa serta kecenderungan mempelajari ilmu pengetahuan yang tidak kunjung putus... Muhammad Yusuf pun memulakan pengajian Al-Quran dan ilmu agama serta belajar membaca dan menulis dengan datuknya sendiri, Che Salleh atau Tok Leh, seorang lelaki alim lagi warak. Di samping itu, nenek tirinya mengajar peri-pentingnya memerhatikan halal-haram makan-minum kerana ini boleh menentukan kebahagian dunia dan akhirat.
Masuk umur 8 atau 9 tahun, beliau selalu berjalan kaki berulang-alik empat batu ke Masjid Muhammadiah, masjid utama negeri Kelantan yang terletak di pusat bandar Kota Bahru. Di sana, Muhammad Yusuf berguru kepada beberapa orang ulamak terkenal zaman itu, antaranya Encik Ismail, ayah kepada Dato’ Perdana Menteri Haji Nik Mahmud, Tuan Guru Muhammad Ali bin Abdul Rahman atau Wan Ali Kutan, Tuan Guru Haji Taib atau Tuan Padang dan Tuan Guru Haji Ibrahim Sungai Budor. Tidak lama kemudian, beliau berjaya menguasai semua ilmu yang dipelajari termasuk nahu dan saraf dan pada umur 18 tahun, Muhammad Yusuf pun memulakan perjalanan menaiki kapal selama 6 bulan untuk menyambung pengajian di Mekah.
Di Masjidil Haram Mekah, beliau berguru kepada beberapa orang ulamak besar lagi masyhur terutama Tuan Guru Wan Ahmad atau Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa Al-Fatani. Ulamak yang sangat terkenal di kalangan penuntut Tanah Melayu ini amat mempengaruhi peribadi Muhammad Yusuf sehingga beliau sanggup menghabis separuh umur bersama dengan ulamak itu. Muhammad Yusuf cuma kembali ke Kelantan pada umur 40 tahun, itupun dua tahun setelah kemangkatan gurunya pada 11 Zulhijjah 1325 (14 Januari 1908). Tanpa membuang masa, beliau pun mendirikan sebuah sekolah pondok di kampungnya yang dikenali sebagai Pondok Kenali selain mengajar agama di Masjid Muhammadiah.
Persahabatannya sejak kecil dengan Dato’ Perdana Menteri Haji Nik Mahmud bin Ismail menyebabkan pandangan Muhammad Yusuf dalam mengembangkan pengajian Islam di Kelantan sering diminta lalu dilaksanakan serta-merta. Ini termasuk menerbitkan sebuah majalah bernama "Pengasuh" dengan dirinya sendiri sebagai pengarang yang pertama serta menubuhkan lebih banyak sekolah pondok di seluruh negeri. Dipendekkan cerita, melalui usaha yang dipelopori beliau, Kota Bahru mula menjadi tumpuan penuntut agama seluruh Nusantara lalu ada mengatakan sejak itulah Kelantan dikenali sebagai Serambi Mekah. Masjid Muhammadiah pula menjadi seperti madrasah antarabangsa dengan pesekitarannya sentiasa hidup dengan pelbagai perbincangan serta ceramah agama.
Muhammad Yusuf lebih banyak menghabiskan sisa umurnya mengajar, menulis rencana serta memperjuangkan kebesaran Islam daripada tempat asalnya iaitu Kampung Kenali. Sebab itulah beliau lebih dikenali sebagai Tok Kenali dan nama itulah yang diingati sampai ke hari ini. Walaupun beliau diiktiraf sebagai ulamak besar yang banyak berjasa mengembangkan ajaran Islam malah mengarang pula sebuah majalah, masyarakat umum lebih mengenalinya sebagai seorang wali dan pengamal tariqat yang sukakan kehidupan ringkas lagi zuhud. Maka itu Tok Kenali lebih diingati disebabkan peristiwa-peristiwa karamah atau mencarik adat yang sering berlaku padanya.

3 ulasan:

  1. Assalamualaikum saudara Radzi...kenape susah nak jumpa buku tu? saya dah cari kat MPH book store tapi x de pun ...ermm frust sungguh..macamana saya nak dapat buku Berpetualang ke Aceh tu ?

    BalasPadam
  2. oh ya lupa nak bagi tahu ... saya suraya .. say atinggal kat area taman shamelin , hometown Kelantan... kalau kat Kelantan kat mana saya boleh dapatkan buku tu ?

    BalasPadam
  3. Le... Baru saya perasan pertanyaan ini, itupun setelah tergerak nak tengok balik archives.
    Kalau di Kelantan insyaallah ada di Pustaka Intan. Last sekali saya berada di Kota Baru 2 bulan lepas, rasanya Pustaka Intan dekat area Kubang Kerian (dekat ngan kampung Tok Kenali) masih ada stok.
    Kalau di KL, ada banyak gak MPH dan Popular Bookstores yang ada tapi tak pasti ada stok lagi ke tak. Hari tu saya round kat Minerva Jalan Tuanku Abdul Rahman nampak cam dah habis tapi saya tak tanya. Kat Pustaka Pertama (kat dalam Pertama Kompleks) nampak ada lagi... Cuba le...

    BalasPadam