Jumaat, November 17, 2006

Susah-payah satu perjuangan

Ramai orang beranggapan apabila sudah berjaya menerbitkan buku maka hidup akan jadi senang kerana tidak perlu lagi bersusah-payah, boleh setakat duduk goyang kaki di rumah menunggu wang royalti masuk. Ini mungkin benar jika anda menulis sebuah novel popular berdasarkan citarasa ramai seperti banyak terdapat di pasaran... Walaupun Malaysia bukan seperti Amerika ataupun Britain di mana seorang penulis boleh menjadi jutawan segera jika bukunya dapat menarik perhatian umum, seseorang itu masih lagi mampu hidup selesa di bumi Melayu dengan menghasilkan novel-novel cinta, misteri atau tema seumpamanya kerana selera masyarakat kita secara rata sudah cukup untuk menjamin sebuah tajuk berkaitan mampu dijual dalam 10,000 hingga 30,000 naskah.
Apapun, prinsip di atas boleh dipakai jika bercakap tentang penulis yang kerjanya setakat menulis sahaja... Tidak perlu memikirkan hal lain seperti rupa-bentuk kulit buku, aktiviti promosi, pengedaran dan sebagainya. Tulislah mengikut selera pembaca seperti diarahkan syarikat penerbitan terkemuka yang mampu mewar-warkan buku anda ke seantero dunia, kemudian biarkan mereka menguruskan segalanya. Bagaimana pula keadaan penulis yang terpaksa berhempas-pulas membuat segala-galanya daripada menulis, editting, lay-out, graphic design sampai ke penerbitan dan pemasaran? Bagaimanakah keadaan sebenar seorang penulis jika dia terpaksa berbuat semua ini tanpa sokongan orang lain?
Memang ada penulis yang menerbitkan buku sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana syarikat penerbitan yang dikenali ramai, terutama dalam bidang penulisan politik tetapi mereka selalunya mampu mengupah orang untuk menyiapkan buku itu bagi pihak mereka. Kenapa? Sebab banyak di antara mereka sebenarnya "diupah" untuk menaikkan pihak tertentu dan menjatuhkan pihak yang lain... Maka pencarian hidup mereka terjamin bukan kerana jualan buku tetapi tajaan pihak tertentu yang mahu buku yang ditulis memenuhi agenda serta mengikut hala-tuju mereka... Dan pihak yang menaja penulis sebegini secara semulajadi memang sedia memasarkan buku penulis tersebut melalui segala alat kuasa yang dimiliki kerana memang mahu isinya ditatap seramai mungkin untuk memastikan agenda mereka membentuk persepsi masyarakat umum mencapai matlamat.
Sekarang, bagaimana pula keadaan penulis yang tidak mahu langsung bersekongkol dengan pihak-pihak yang berkepentingan? Bagaimana jika anda betul-betul mahu memperjuangkan sesuatu yang anda percayai sepenuh jiwa-raga, sesuatu yang bukannya popular, menongkah arus zaman malah boleh menggugat kestabilan mereka yang berkepentingan sedangkan pihak lain mungkin tidak nampak niat baik anda malah ramai pula yang menuduh bukan-bukan? Belum dikira lagi pihak lain yang memang tidak mahu anda berjaya malah cuba menghalang usaha anda selagi boleh!
Para pembaca sekalian, siang tadi, saya digerakkan Allah SWT untuk menulis sebuah surat permohonan kepada Perpustakaan Negara tentang satu skim yang sudah sebulan saya ketahui wujud tetapi baru sekarang saya mendapat sedikit kekuatan semangat untuk cuba terlibat sama. Maka saya pun pergi ke sana untuk berjumpa dengan Ketua Pengarahnya. Sayangnya, beliau sudah keluar dari pejabat kerana ada hal lain... Nasib baiklah Personal Assistant nya sudi melayan dan memberi jaminan surat ini akan mendapat perhatian sewajarnya.
Petang itu, dalam perjalanan kembali ke rumah makcik di Ampang, hati saya tergerak pula untuk berkongsi surat ini dengan para pembaca... Niat saya, supaya semua orang boleh nampak, bukan senang mahu menjadi penulis yang betul-betul ada pegangan dan perjuangan. Sila... Baca... Fahamilah susah-payah satu perjuangan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya...
Hmm... Ada sedikit masalah... Saya tidak tahu cara untuk attach file ke blogspot ini dan ini perlu jika saya mahu mengekalkan format surat itu seperti asalnya... Tidak mengapalah... Saya copy sahaja isi surat itu di sini. Pedulikan format, yang penting pembaca faham maksud isi... Ini dia...



Mohd Fahrulradzi b. Mohamad Sapiee,
Lot 646, Jalan 9,
Taman Ampang Utama,
68000 Ampang.


Puan Siti Zakiah Aman,
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia,
232, Jalan Tun Razak,
50532 Kuala Lumpur ..................... 17 November 2006



Puan,

Mohon dimasukkan ke dalam skim pembelian terus buku daripada penulis

Saya Mohd Fahrulradzi b. Mohamad Sapiee atau Radzi Sapiee difahamkan pihak Perpustakaan Negara Malaysia mempunyai skim untuk menolong penulis bebas di Malaysia supaya mampu terus berkarya dengan membuat pembelian terus buku daripada penulis. Untuk makluman, saya telah menerbitkan sebuah novel karya sendiri bertajuk “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” dengan nombor ISBN 983-42031-0-1 pada bulan Jun. Buku ini boleh didapati di kedai-kedai buku terpilih termasuk rangkaian kedai buku MPH dan Popular Bookshops. Masalahnya, saya adalah seorang penulis baru dan novel ini sedikit melawan arus kerana cuba mengenengahkan 1,200 tahun sejarah Melayu Islam yang jarang disentuh mana-mana pihak. Sedangkan pasaran lebih meminati novel-novel ringan berunsur cinta dan sebagainya.

Biar saya berterus-terang. Saya adalah seorang lulusan B.Sc Mathematics daripada University of London (1991-1995) dan pernah menjadi wartawan akhbar The New Straits Times (1996-2001), tetapi disebabkan satu pencarian peribadi untuk memahami salasilah keluarga, saya telah meninggalkan kerjaya dan berbagai kesenangan hidup lalu keluar merantau ke merata tempat mencari jawaban. Setelah lebih 4 tahun berbuat begitu, saya mengambil keputusan untuk menceritakan pengalaman itu dalam bentuk novel fiksyen yang membuka sejarah lama kaitan kerajaan-kerajaan lama Islam seperti keSultanan Perlak, Samudera-Pasai, Melaka, Aceh juga keSultanan Perak sampai sekarang dengan keKhalifahan Islam di Timur Tengah. Beberapa syarikat penerbitan buku telah menunjukkan minat tetapi meminta isinya dipinda menurut selera pasaran, dan tajuk buku yang didapati melalui ilham juga disuruh tukar.

Sebagai seorang yang percaya banyak sejarah Melayu sebenar telah digelapkan melalui proses social engineering serta dakyah ciptaan Barat untuk melemahkan jatidiri bangsa, saya tetap bertegas mahu mengeluarkan isi yang ditulis seadanya dan dalam bentuk yang telah dirangka. Maka itu saya mengambil keputusan mendaftarkan syarikat kecil bernama Wasilah Merah Silu Enterprise lalu membuat pinjaman wang daripada keluarga sebanyak RM18,000 untuk menerbitkan 3,000 naskah permulaan. Buku setebal 300 mukasurat dengan saiz kertas A5 ini dicetak dengan harga RM6 sebuah dan dijual dengan harga RM24.90. Pengedar pula bersetuju untuk bekerjasama dengan perjanjian akan membayar 50 peratus sahaja harga pasaran dan saya terpaksa akur.

Sekarang, terdapat 1,600 buku dalam edaran tetapi saya masih belum mendapat gambaran sebenar berapa naskahkah telah terjual, apatah lagi untuk mendapat sedikit wang hasil jualan. Cuma saya diberitahu, jualan telah bergerak elok berbanding semasa awal buku dikeluarkan tetapi tidaklah selancar jualan novel biasa di pasaran. Sebagai seorang penerbit dan penulis bebas yang kekurangan dana dan khidmat sokongan, saya tidak mampu membuat promosi selayaknya walaupun telah diberitahu melalui rangkaian Internet bahawa buku ini telah berjaya meraih golongan peminat tersendiri.

Puan, masih terdapat 1,200 naskah buku ini yang disimpan di gudang percetakan sedangkan saya telah menjual sendiri 123 naskah setakat ini secara direct-selling dan menghadiahkan 55 buah buku kepada pelbagai pihak termasuk 5 yang wajib diserahkan kepada Perpustakaan Negara. Buku ini sebenarnya adalah Jilid 1 daripada 3 bahagian “Berpetualang ke Aceh”. Buku 2 dan 3 sudah siap ditulis, buku 2 sudah 30 peratus siap diedit sendiri selain dalam proses lay-out dan masing-masing menunggu dana hasil jualan buku 1 sebelum ia dapat diterbitkan sedangkan hakikatnya, modal percetakan hasil pinjaman wang daripada keluarga pun belum dapat diperolehi balik. Oleh itu saya meminta jasa baik pihak puan supaya dapat memasukkan buku ini di bawah skim tersebut supaya saya mampu terus berkarya atau paling kurang pun dapat menyampaikan sedikit ilmu tentang sejarah kegemilangan Melayu Islam yang diperolehi melalui pelbagai siri pengembaraan serta pengalaman hidup yang ingin diturunkan melalui ketiga-tiga buku sebagai sumbangan tersendiri terhadap khazanah sastera keilmuan Melayu.

Di sini, saya hadiahkan senaskah buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” untuk tatapan puan. Untuk makluman, lebih kurang sebulan lepas, saya telah berjumpa Puan Musalmah di Bahagian Teknik, Tingkat 16 Perpustakaan Wisma Selborn dan beliau juga telah menerima senaskah buku supaya penilaian awal dapat dibuat.
Diharap pihak puan dapat menunaikan harapan saya ini.


Yang benar,



(Mohd. Fahrulradzi b. Mohamad Sapiee @ Radzi Sapiee)



2 ulasan:

  1. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan pihak perpustakaan negara telah menghubungi saya 3 hari lepas untuk membeli secara direct 850 naskah buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti.". Dengan pertolongan seorang ibu saudara sebagai driver (sebab saya kereta pun takda!), saya telah mengambil dan mengangkut sendiri buku-buku itu daripada gudang percetakan di Batu Caves dan menyerahkannya kepada Perpustakaan Negara hari Khamis.
    Maka itu dimaklumkan, jilid 2 buku yang akan bertajuk "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang asal" kira dah ada budget. Kalau tidak ada aral melintang, bolehlah muncul di pasaran awal tahun 2007. Doakan usaha ini berjaya.... Terimakasih! :]

    BalasPadam
  2. hi every person,

    I identified merahsilu.blogspot.com after previous months and I'm very excited much to commence participating. I are basically lurking for the last month but figured I would be joining and sign up.

    I am from Spain so please forgave my speaking english[url=http://submityournewsht.info/forum].[/url][url=http://inspiringthoughtsgi.info/forum].[/url][url=http://inspiringthoughtsnt.info/].[/url]

    BalasPadam