Ahad, November 12, 2006

Kenapa beriya-iya sangat?



Di atas adalah lambang berdasarkan sebuah logo yang ditemui di alam cyber kemudian dikarang kembali demi menyerlahkan dengan cara tersendiri nama Allah ditengah diikuti nama junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga atau Ahlul Bait terdekat baginda, Saidina Ali, Sayiditina Fatimah, Saidina Hassan dan Saidina Hussein. Lambang ini telah digunakan sebagai penghias muka depan buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti".

Soalnya kenapa? Apa kena-mengena buku ini dengan keluarga Nabi? Buku setebal 300 mukasurat ini cuba mengaitkan sejarah awal Islam di Timur Tengah dengan 1,200 sejarah keSultanan-keSultanan Melayu Islam di Nusantara terutama di sekitar Aceh, bumi Serambi Mekah. Apakah makna semua ini?

Buku "Berpetualang ke Aceh" digarap dalam bentuk novel Islam Melayu secara travel-log beserta flash-back pengalaman hidup watak seorang pengembara bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid yang sanggup kehilangan kerja, kesenangan hidup dan berpisah dengan keluarga untuk merantau jauh mencari jawaban kepada beberapa persoalan yang menghantui jiwa sejak kecil lagi. Persoalan apakah itu? Mengapa Rasyid beriya-iya sangat? Kenapa sanggup "Berpetualang ke Aceh" ketika wilayah itu sedang sengsara dilanda perang? Lihatlah lagi sedutan daripada mukadimah buku ini:




Rasyid memang begitu bersemangat bercerita tentang Aceh, juga hal-hal berkaitan. Sebab itu dia beriya-iya sangat mahu menulis buku, terutama untuk mengenengahkan kaitan mendalam yang dilihatnya wujud di antara perjuangan Islam Aceh dengan keSultanan-keSultanan Melayu di Semenanjung. Lulusan Bachelor of Science in Mathematics, University College of London ini percaya bumi Aceh pernah menjadi payung Islam seNusantara, bermula sejak penubuhan keSultanan Islam Perlak 1200 tahun dahulu, diikuti zaman kegemilangan kerajaan berkembar Samudera Pasai 400 tahun kemudian. Maka itu dia terasa wajib untuk menukilkan ini semua...

KeSultanan Aceh yang mengandungi bekas wilayah Perlak dan Samudera Pasai pula mewarisi keagungan keSultanan Melaka juga kebesaran kerajaan-kerajaan lama itu setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis tahun 1511. Lalu anak muda ini yakin memang wujud satu kelangsungan untuk menjaga kesejahteraan Islam di rantau ini oleh Perlak, Samudera Pasai, Melaka seterusnya Aceh, satu kelangsungan perjuangan yang disokong titisan darah berkaitan yang mengalir dalam tubuh-badan para pemerintah kerajaan-kerajaan Melayu ini.
Malangnya, kaitan ini sengaja digelapkan penjajah Barat apabila mereka memfaraidkan bumi Timur kepada dua bahagian yang akhirnya mewujudkan Indonesia dan Malaysia, melalui Perjanjian Inggeris-Belanda tahun 1824. Ini boleh dibuktikan dengan kewujudan lebih 300 makam kerabat diraja, ulamak dan bangsawan di Semenanjung Tanah Melayu yang memakai batu nesan Aceh, sejenis batu nesan unik menandakan pemiliknya mempunyai titisan darah bangsawan bumi Serambi Mekah. Termasuk dalam lingkungan makam-makam sebegini ialah Makam Bendahara Padang Saujana di Kota Tinggi, Bendahara Johor yang menurunkan Raja-raja Johor, Pahang dan Terengganu sehingga sekarang.

Lebih penting lagi, Rasyid percaya sejarah bumi Aceh dan perjuangannya sebenarnya adalah sejarah perjuangan Islam dan bangsa Melayu sendiri. Tetapi ramai yang tidak menyedarinya kerana permainan licik penjajah yang berjaya melaga-lagakan keSultanan-keSultanan dahulu demi mengekalkan dan meluaskan lagi kekuasaan mereka di rantau ini, juga untuk memadamkan syiar Islam dari muka bumi. Lalu kesatuan bangsa Melayu bertunjangkan semangat persaudaraan Islam yang pernah wujud suatu masa dahulu digantikan pula oleh semangat assobiyah kenegerian yang menyaksikan orang Melayu mula berpecah-belah.

“Malah Aceh telah beberapa kali melawan Portugis dan Belanda untuk memerdekakan Kota Melaka daripada cengkaman penjajah di kala Johor yang kononnya mewarisi perjuangan keSultanan Melaka sanggup bersekongkol dengan Barat,” Rasyid menyatakan penuh semangat di hadapan seorang ahli akademik yang juga meminati cerita-cerita lama.

“Tetapi perjuangan Aceh ini jarang disebut di Malaysia apalagi hendak diakui dalam teks-teks rasmi seperti buku-buku sejarah di sekolah semata-mata kerana kerajaan bumi Serambi Mekah itu berada di dalam kekuasaan Indonesia sekarang. Lalu bagaimana masyarakat negara ini, khususnya bangsa Melayu dapat melihat kelangsungan perjuangan yang dipikul keSultanan Perlak, kemudian Samudera-Pasai, seterusnya Melaka dan akhirnya Aceh sebelum bumi Timur ini dikuasai, difaraidkan dan dicorak penjajah? Sebelum rantau ini diratah dan dipecah-belah?”

Maka itu, demi memahami sejarah perjuangan Melayu dan jihad untuk menegakkan syiar Islam di bumi Timur ini lebih menyeluruh, pemuda itu percaya sempadan pemisah negara hasil permainan penjajah yang juga merupakan sempadan pemisah sejarah harus dilupakan walaupun seketika. Maka itu juga, cerita-cerita dan sejarah lama Aceh serta kisah-kisah berkaitan perlu dikongsi bersama, lebih-lebih lagi selepas peristiwa Tsunami 26 Disember 2004...

“Semua ini perlu dirungkai dan dihuraikan supaya dapat mengisi kelopongan yang pada saya wujud dalam sejarah rasmi Nusantara. Sekaligus untuk menambah kekuatan jati-diri bangsa Melayu yang sudah hilang hala-tuju akibat termakan dakyah Barat yang sering memperkecilkan kebolehan dan peribadi orang Melayu,” dia menambah.

“Ingat! Sejarah dunia yang diterima umum sebagai kenyataan mutlak, sebagai hasil kajian ilmiah para ilmuwan yang tidak boleh dipertikaikan kesahihannya adalah sejarah yang rata-rata ditulis dan diolah Barat, mengikut pandangan dan kacamata serta selera mereka sesedap rasa... Begitu juga sejarah bumi Melayu yang dikarang para sarjana Orientalis seperti Stamford Raffles, orang yang dikatakan pengasas Singapura, sehingga pandangan mereka turut dijadikan bahan rujukan utama para sejarawan tempatan termasuk orang Melayu juga! Apakah pulau itu tidak pernah dibuka orang sebelum itu? Apakah Singapura tidak pernah dihuni manusia sebelum kedatangan Mat Saleh ini? Habis Sang Nila Utama itu siapa? Monyet? Keldai? Sampai bila kita harus diperbodohkan Barat?”

Rasyid juga menulis supaya rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu sedar apa yang berlaku di Aceh, supaya mereka lebih prihatin terhadap nasib saudara sebangsa dan seIslam mereka di sana.

“Mereka perlu tahu bahawa Aceh telah begitu lama ditekan malah masih lagi tertekan. Sejak ratusan tahun, rakyat bumi itu terlibat dengan jihad melawan penjajah Barat. Dan dari tahun 1873 sampai ke abad ke 20 Masihi, mereka sengsara diserang Belanda pula,” pemuda itu meneruskan.

“Tidak cukup itu, apabila penjajah Barat itu meninggalkan Nusantara, rakyat Aceh diganyang oleh para pemerintah Republik Indonesia yang mahu mereka tunduk berkiblatkan Jakarta di samping menyerahkan segala hasil bumi Serambi Mekah yang kaya-raya dengan anugerah semulajadi Tuhan seperti simpanan minyak dan balak. Di samping itu wujud juga usaha untuk menjatuhkan martabat keIslamannya seperti yang berlaku di Pattani, (sekarang dalam Thailand) hingga ke hari ini! Mereka turut tertekan akibat peristiwa Tsunami yang meragut begitu ramai jiwa yang tidak berdosa serta menghancurkan segala macam infrastruktur dan harta benda yang ada,” dia menyambung, kali ini dengan nada kesal bercampur marah.

Walau apapun, bekas wartawan sukan ini mengaku buku itu bukan buku sejarah, jauh sekali buku politik. Walaupun ia mengandungi fakta-fakta sejarah dan ulasan suasana politik setempat dahulu dan sekarang.

“Anggaplah ia sebuah buku cerita yang mengandungi kebenaran dan pengajaran. Atau satu pandangan tersendiri terhadap beberapa peristiwa berkaitan bumi Serambi Mekah,” katanya menyimpulkan pandangan.

Buku itu juga menceritakan pengalaman Rasyid mengembara seorang diri ke Aceh di samping menghuraikan sedikit pengalaman hidupnya dari kecil sampai dewasa yang menjadi sebab-musababnya melangkah ke bumi bertuah itu. Ini kerana pengalaman dan sebab-musabab itulah yang menyebabkan cerita-cerita dan kisah-kisah sejarah ini dapat dikumpul lalu disajikan untuk menerbitkan sebuah cerita yang unik dan tersendiri.

Perlu diingatkan, pengembaraan ini berlaku Januari 2004, semasa darurat akibat konfrontasi bersenjata berterusan di antara GAM dan TNI masih mencengkam dan selalu menumpahkan darah. Ketika itu, warga asing tidak dibenarkan langsung masuk ke Aceh tanpa keizinan bertulis daripada pihak pemerintah di Jakarta. Maka itu keadaan dan suasana yang diceritakan mungkin berbeza dengan apa yang diketahui sekarang, misalnya tidak wujud lagi rintangan hebat daripada mana-mana pihak...

Kawan-kawan Rasyid tidak hairan melihatnya begitu bersemangat menceritakan semua ini hampir setiap kali bertemu. Mereka tahu semenjak kolej lagi, pemuda ini amat passionate apabila dia mempercayai sesuatu, kenal dengan gelagatnya yang agak pelik... Maklumlah, berapa ramaikah orang mengaji Matematik sampai ke peringkat sarjana muda, boleh bertukar arah menjadi seorang wartawan kemudian mahu menulis buku pula? Graduan Matematik di Malaysia terutama anak Melayu pun boleh dikira dengan jari, inikan lagi yang jadi wartawan kemudian penulis buku...

Pertukarannya dahulu daripada meja berita dalam negara yang boleh dikira bersifat intelektual ke meja kewartawanan sukan yang menghampiri bidang hiburan juga tidaklah memeranjatkan. Rakan-rakan juga tidak janggal jika dahulu Rasyid asyik bercerita tentang teori-teori sains seperti Quantum Mechanics, Unified Field Theory dan Big Bang tetapi sekarang tidak sah kalau tidak menyebut sejarah raja-raja, para wali serta kedatangan Islam.

Apa yang membuat semua musykil, mengapa hamba Allah dari Muar, Johor ini bercakap membela Aceh seperti dia pula pejuang kemerdekaan bumi Serambi Mekah? Bila masa pula si Rasyid ni join GAM? Entah-entah dia dah masuk Jemaah Islamiyah tak? Mungkin pemuda ini mahu menggunakan kepakaran serta kepintaran semulajadi yang dimiliki untuk mengajar Barat, terutama Amerika Syarikat dan Britain yang dikatakannya biadab?

Radzi Sapiee
Janda Baik, Bentong, Pahang.
19 September 2005 (15 Sya’aban 1426)



p/s: Sejurus sebelum jam 9 pagi waktu tempatan 26 Disember 2004, sebuah gempa bumi bawah laut yang berpusat di Lautan Hindi, luar pantai barat Aceh dengan kekuatan hampir 9 skala Richter telah mengakibatkan ombak besar Tsunami melanda pesisiran pantai beberapa buah negara Asia sehingga ke Afrika. Peristiwa ini menyebabkan kemusnahan besar-besaran di setiap tempat terlibat terutama di Aceh dan Sri Lanka. Lebih 230,000 nyawa terkorban, sekitar 200,000 daripadanya rakyat Aceh sehingga melumpuhkan wilayah itu yang sudah lama sengsara dilanda perang.

Alfatihah untuk roh mereka yang terkorban. Diharap sedikit sebanyak buku ini dapat mengembalikan semangat orang Aceh yang tidak putus-putus dilanda dugaan, juga menghidupkan kembali sejarah kegemilangan bumi Serambi Mekah yang semakin luput ditelan zaman. Amin, ya Rabbul Alamin.... Insya’allah!





Tiada ulasan:

Catat Ulasan