Salam semua. Ada satu cerita tak dijangka...
Merujuk pada artikel Daripada ilmu pengetahuan kepada hikmah - Falsafah Islam dan pembuatan keseluruhan manusia yang dipersembahkan tengah malam semalam. Adapun sebaik sahaja selesai majlis ilmu berkenaan terus menuju ke sebuah hotel di Selayang untuk bersama isteri.
Kami menginap di hotel supaya tidak perlu berulang alik jauh ke rumah. Kami mahu menghadiri satu majlis kebudayaan di Muzium Negara siang Sabtu.
Maka selamatlah kami menyertai majlis, cuma sampai lewat sedikit iaitu tengah hari. Lihat artikel Pesona destar - Warisan, identiti, gaya di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Dah alang-alang sampai masuklah melihat pameran dalam bangunan utama. Lihat artikel 2026 visit to Muzium Negara diikuti 2026 visit to Muzium Negara - Part II di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Itu cerita semalam. Hari ini Ahad 19 Julai 2026 pergi ke Gedung Raja Abdullah di Klang bersama anak cucu almarhum, satu perjalanan dan persinggahan tak dijangka.
Apa yang berlaku adalah ketika berada di hotel di Selayang isteri mendapat pesanan melalui Tiktok mengundang untuk hadir ke Gedung Raja Abdullah pagi Ahad.
Kami diajak bersama anak cucu melihat gedung buat kali terakhir di lokasi asalnya dekat Balai Polis, Klang. Ini kerana bangunan mahu dialih ke lokasi lain.
Gambar-gambar dalam artikel menunjukkan apa yang berlaku hari ini termasuk perjalanan dari Petaling Jaya. Menurut ceritanya, gedung tempat menyimpan hasil bijih timah dari Lembah Klang abad ke-19 ini tidak lagi sesuai di lokasi asal disebabkan persekitaran semakin sesak sementara tanah ada masalah serapan air.
Katanya ditakuti boleh roboh ditelan tanah. Gedung pernah dijadikan balai polis kemudian muzium. Tetapi masalah melibatkan cuaca dan usia (ia sudah berumur sekitar 170 tahun) menyebabkan ia perlu dibaik pulih.
Gedung pun ditutup entah berapa lama. Seingat saya yang akan sesekali singgah ke Klang dalam perjalanan pergi balik ke kampung isteri sejak berkahwin tahun 2008 memang tidak pernah dibuka. Cuma dapat melihat dari luar sahaja.
Tiba-tiba mendapat undangan untuk melihat ke dalam bersama anak cucu. Tak perlu berfikir panjang untuk memberikan komitmen hadir.
Rancangan asal kami untuk hari Ahad adalah selepas bermalam di rumah ibu saudara di Petaling Jaya menghantar isteri bertemu kawan-kawan di Keramat kemudian kami kembali ke rumah sendiri.
Sebaliknya dari Petaling Jaya terus ke Klang disebabkan undangan tak dijangka.
Entah kenapa timbul rasa sayu apabila bertemu anak cucu Raja Abdullah di tempat ini. Mungkin disebabkan ada memiliki darah Daeng Parani di sebelah ibu.
Untuk pengetahuan Raja Abdullah adalah anakanda kepada Raja Jaafar bin Raja Ali (Yamtuan Muda Riau ke-5) ibni Daeng Kemboja (Yamtuan Riau ke-3) ibni Daeng Parani. Sila tonton rakaman daripada siaran langsung Tiktok yang dibuat di gedung...























