Sabtu, Januari 17, 2026

Antara LGBT, babi dan 4B

Merujuk pada artikel  Bersama Sultan, Tengku Ampuan dan Tengku Mahkota Pahang di ISTAC yang dipersembahkan malam Jumaat. Sebenarnya ketika itu saya dan isteri sedang bermalam di rumah ibu saudara di Petaling Jaya. Ini supaya tidak perlu bergerak jauh kembali ke rumah sendiri di Bandar Sungai Buaya. Kerana lebih dekat untuk mengikuti aktiviti-aktiviti seterusnya. Ini ceritanya.



Pagi Jumaat 16 Januari 2026 kami ke Kompleks MAIS (Majlis Agama Islam Selangor) di Shah Alam.

Kami mahu menyokong bantahan rasmi yang dibuat oleh sekumpulan NGO Melayu Islam terhadap usaha normalisasi LGBT yang kelihatan semakin galak sejak kebelakangan.




Selepas solat Jumaat di masjid negeri bergerak pula ke bangunan SUK, Setiausaha Kerajaan negeri Selangor.



Kali ini untuk membantah usaha untuk membuat penternakan babi secara besar-besaran.


Cerita lanjut telah dibuat dalam artikel Di Shah Alam menyantuni bantahan terhadap usaha normalisasi LGBT dan penternakaan babi secara besar-besaran di Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Dibuat juga rakaman lalu dimuatnaik ke Tiktok. Lihat :-


1. Menjunjung titah Sultan membantah LGBT di Selangor 

2. Membantah penternakan babi secara besar2an di Selangor



Alhamdulillah di halaman luar bangunan SUK dapat mengkhatamkan bacaan Al-Quran bagi bulan Rejab. Kira clear system untuk menyambut malam Isra' Mi'raj 27 Rejab selepas Maghrib nanti.



Seterusnya mahu menghadiri majlis perkahwinan di suatu tempat di Klang keesokannya siang Ahad 17 Januari. Dapat menempah hotel murah berdekatan, dekat satu tempat yang ada cerita tersendiri.



Dalam perjalanan mencari tempat terlajak masuk jalan naik satu bukit. Terus naik hingga ke puncak. Lihat artikel The hill of Batu Belah di blogspot BERPETUALANG KE ACEH



Ternyata tempat yang dicari, sebuah sekolah dalam kawasan bernama Batu Belah terletak di pangkal utara bukit. Naik tadi dari sisi timur.



Sebetulnya kami mahu mencari Batu Belah Batu Bertangkup yang sangat terkenal dalam cerita-cerita lama Melayu. Tentang ceritanya boleh Google sendiri. Saya baru dalam sebulan dua kebelakangan tahu kawasan sekitar dipanggil Batu Belah kerana batu legenda tersebut terletak dekat sekolah ini.



Batu katanya besar, tinggi tak kurang 2 meter. Cuma telah diletupkan dalam 3 kali peristiwa.  Nasib baik pengawal keselamatan sekolah sudi menunjukkan di mana terdapat serpihan-serpihan batu. Untuk pengetahuan persekitaran yang terlibat telah diratakan untuk perumahan dan sekolah.




Penduduk Melayu tempatan kemudian memberitahu lokasi asal batu. Ia telah dijadikan tokong, dalam kawasan perumahan Cina. Lihat video-video Tiktok berikut :-









Bila melihat nama "Batu Belah Batu Bertangkup" terpapar dalam video baru tersedar. Semua perkataan bermula dengan huruf B. Ada 4B. Sedangkan sebelum itu ada pergi bantahan normalisasi LGBT diikuti bantahan penternakan babi. Mungkin messagenya adalah para pengamal LGBT juga para penternak babi dan penyokong patut ditelan oleh Batu Belah Batu Bertangkup. Agaknya le...

Khamis, Januari 15, 2026

Bersama Sultan, Tengku Ampuan dan Tengku Mahkota Pahang di ISTAC

Salam. Sesuatu yang istimewa untuk malam Jumaat.



Semalam telah dikongsikan dua buah artikel yang masing-masing sebenarnya ditulis dan dipersembahkan di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku iaitu Langkah 131 bagi tahun 2026 diikuti Barat dan 'selebihnya' - Satu kritikan ketamadunan. Tadi pagi Khamis 15 Januari 2026 pergi lagi ke ISTAC, kali ini membawa isteri bersama.






Ada majlis bernama Meet & Greet Session (Sesi Bertemu dan Bertegur) bersama Tunku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj. Ia diadakan khas untuk pelajar ISTAC memandangkan baginda sendiri adalah pelajar setelah mendaftar masuk hampir penghujung 2024.



Walhal Tunku Azizah juga adalah Canselor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), badan yang menaungi ISTAC. Kelihatan baginda sedang berbual tentang tesis yang diusahakan iaitu tentang Hukum Kanun Pahang bersama penyelia tesis, Profesor Dato' Ahmad Murad Merican, juga sejumlah hadirin.



Terlihat saya terus memberitahu, dia ini (sambil menunjuk pada saya) bercerita tentang Perjanjian Pangkor. Saya (Tuanku membahasakan diri) tentang Hukum Kanun Pahang. Lalu saya  bertanya : "Bagaimana Tuanku tahu tentang usaha patik?". Fikir saya mungkin kerana ada menonton video pembentangan di ISTAC.  Lihat Akhirnya - "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dilaksanakan di ISTAC. Walaupun sama-sama belajar di institusi ternama ini cuma ada 2-3 kali sahaja pernah terserempak di kampus. Jawab baginda nampak dalam Tiktok. Ha ha... :]




Lalu di bilik menunggu VIP, terlihat guru saya, Rektor UIAM iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar sedang duduk berseorangan. Terus masuk untuk bersalam dan mencium tangan. Maklumlah,  selain pernah menjadi penyelia tesis Sarjana saya, sekarang penyelia PhD, beliau juga guru saya dalam bidang Tasawuf. Memang setiap kali bertemu saya akan mencium tangan. Begitu juga bila hendak meninggalkan. Isteri meminta izin untuk mengambil gambar saya bersama beliau.




Masuk ke dewan utama majlis. Sebenarnya ia telah ditingkatkan menjadi lebih besar dan tinggi kerana Sultan Pahang,  Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri sudi datang mencemar duli malah membawa anak-anak, setelah diajak oleh isteri.




Tunku Azizah sampai seawal jam 11 sedangkan menurut jadual asal sampai 11.30 pagi. Baginda pun menunggu Sultan sampai. Sambil itu berbual santai dengan Dekan ISTAC  Profesor Dr. Hazizan Md. Noon dan beberapa ahli akademik.



Tiba-tiba baginda menoleh ke arah saya lalu bertanya apakah nama tanjak yang dipakai. Asal dari mana. Jawab saya seingatnya "Gajah Melaung". Tak ingat asal dari mana tetapi mungkin Perak. Itulah yang ingat daripada pembuatnya, pengarang tanjak terkenal Johan Iskandar yang merupakan saudara pupu saya, daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak.



Tidak lama kemudian Sultan pun sampai lalu majlis bermula.






Kelihatan guru saya didudukkan setara dengan Sultan dan Tengku Ampuan. Walhal boleh sahaja menempah kerusi raja.



Tunku Azizah memberikan sepatah dua kata. Banyak patah sebenarnya, hehe...




Secara rata ia adalah tentang semangat baginda untuk belajar lalu mengangkat Hukum Kanun Pahang. Dinyatakan penghargaan terhadap suami yang menyokong juga anak-anak yang  memberikan semangat. Kata baginda dalam bahasa Inggeris (kerana sejumlah pelajar dan pensyarah adalah orang luar) anak-anak mengingatkan belajar sampai habis. Jangan ngelat (don't cheat). Satu peringatan yang sangat baik. Ini kerana fakta di luar sana ada yang menipu untuk mendapatkan ijazah Sarjana dan PhD. Disebabkan ada duit dan pangkat boleh mengupah atau mengarahkan orang untuk membuat kajian malah menulis tesis sampai siap pun ada!



Sampai giliran Sultan memberikan kata-kata. Atau bahasa rasminya memberikan titah. Yang ini biar disalin daripada Facebook Kesultanan Pahang.


“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, KDPB Tengku Ampuan Pahang sering berkongsi mengenai Hukum Kanun Pahang (HKP). Perkara ini membuka minda saya untuk memahami dengan lebih mendalam kewujudannya, yang sebelum ini kurang diketengahkan atau dipelajari. Ia merupakan satu bidang baharu yang wajar diterokai.

“Insya-Allah, selepas KDPB Tengku Ampuan Pahang menamatkan pengajian, saya bercadang untuk menghimpunkan para cendekiawan dan ulama bagi membincangkan bagaimana Hukum Kanun ini boleh dijadikan dasar atau amalan untuk Kerajaan Negeri Pahang.

“Kita tidak seharusnya terlalu taksub dengan kerangka perlembagaan yang dibentuk oleh kuasa luar pada masa lalu, sebaliknya terbuka menerima pandangan dan nasihat baharu berasaskan tunas-tunas syariah dan amalan yang baik, demi penambahbaikan berterusan,” titah Paduka Baginda.




Selesai itu berangkat ke dewan makan.



Tunku Ampuan sempat menunjukkan Sultan kepada saya lalu menyebut lagi tentang Perjanjian Pangkor.



Suasana meriah di dewan makan...















Oh. Baginda Sultan dan kerabat masuk kemudian. Ingatkan dah masuk awal.



Kelihatan berbaju batik oren Tengku Mahkota Pahang,  Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.



Saya dan isteri duduk dekat dengan meja VVIP lalu dapat melihat Sultan dan keluarga dengan jelas. Daripada Facebook Kesultanan Pahang baru tahu anak-anak (selain Tengku Mahkota) yang turut hadir adalah :-


1. Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah 

2. Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah 

3. Tengku Puteri Ilisha Ameera 

4. Tengku Puteri Ilyana Alia 

5. Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah 




Tak ingat bagaimana ini berlaku. Tiba-tiba Sultan berdiri di penghujung meja lalu terjadilah perbualan. Saya menerangkan kenapa berminat dengan Perjanjian Pangkor. Ini kerana moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin adalah salah seorang yang menandatangi, atau lebih tepat menurunkan cap. Sultan Abdullah adalah anak saudara. Saya memberitahu tentang perbezaan ketara perjanjian asal Melayu Jawi yang difahami dan dipersetujui mereka dengan versi Inggeris yang terjemahannya ke dalam bahasa Melayu diwar-warkan sehingga kini lalu dilihat sebagai kebenaran mutlak hal. Paling utama adalah menurut versi Inggeris, Sultan harus meminta dan MELAKSANAKAN nasihat Residen. Dalam versi Melayu Jawi asal tidak ada kewajiban untuk melaksanakan. 




Sebelum bergerak baginda bertanya "Sultan Abdullah yang dibuang ke Pulau Seychelles ke?". Apabila saya menjawab ia baginda berkata "Saya tahu" sambil tersenyum lalu bergerak pergi. Ah. Terlupa. Baginda sendiri bernama Sultan Abdullah.



Selepas itu ada majlis potong kek. Rupa-rupanya sempena Tengku Ampuan sudah 7 tahun menjadi Canselor UIA. Dan sebenarnya itulah tempoh sama Sultan Abdullah mula memegang takhta negeri Pahang.



Beberapa lama kemudian Tengku Mahkota pula datang dekat lalu bertanya tentang tanjak. Baginda juga melihat pada keris lalu ditunjukkan bahawa ia sudah diikat (jarang saya mengikat, kali ini tergerak). Tengku Mahkota memberitahu : "Saya tengok tadi dan nampak. Keris terbuka ni raja je boleh pakai. Kalau orang lain kena ikat. Tapi kalau kita pergi berperang boleh buka". Jawab saya : "Insyaallah".



Isteri mengambil kesempatan bergambar dengan Tengku Ampuan.


Saya pula kemudian meminta kebenaran untuk bergambar dengan Tuanku Sultan. Sambil itu memberitahu Osman adalah penyelia PhD saya. Baginda bertanya apakah tajuknya. Saya jawablah "Anomalies in Time" (bukan tajuk penuh). Selesai bergambar baginda memberikan kata perangsang "Good Luck".


Rabu, Januari 14, 2026

Barat dan 'selebihnya' - Satu kritikan ketamadunan

Perkongsian majlis ilmu.



Majlis merupakan bacaan terhadap buku "The West and The Rest : Discourse and Power" (Barat dan Selebihnya: Wacana dan Kuasa) oleh Stuart Hall, seorang pakar sosiologi yang berasal dari Jamaica kemudian berhijrah lalu mencipta nama di Britain. Jika syarahan saya dahulu (lihat Akhirnya - "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dilaksanakan di ISTAC) menutup kalendar majlis syarahan umum di ISTAC (Institut Pemikiran dan Tamadun Islam) bagi tahun 2025, yang ini membuka bagi tahun 2026.



Disebabkan mahu menghadiri majlis petang tadi Rabu 14 Januari makan nasi beringin kegemaran di sebelah pejabat lama saya iaitu The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar pertama kali bagi tahun 2026. Menariknya, kali ini dapat makan percuma. Nak bayar mereka kata tak payah. Ini kerana katanya ia hidangan terakhir buat hari itu. Stok sudah habis beberapa lama sebelum saya sampai hampir jam 1.30. 



Nasib baik telah menempah lebih awal melalui telefon. Memang kebiasaan sejak bertahun kebelakangan akan ke warung nasi beringin terlebih dahulu apabila hendak ke ISTAC.



Majlis bermula jam 2.30.



Diberikan sedikit latar belakang bagaimana ilmu sains sosial boleh muncul di dunia Barat, khususnya di Eropah menurut acuan sedia ada. Dinyatakan perkara utama yang membentuk arah tuju fikiran adalah penolakan terhadap ilmu wahyu, Tuhan, malaikat dan hal-hal berkaitan.



Diberikan latar belakang Stuart Hall yang kemudian diakui sebagai seorang pakar penting dalam ilmu sains sosial. Sebagai seorang yang berasal dari Jamaica, sebuah negara yang dijajah beliau dapat melihat bagaimana penjajahan oleh dunia Barat membentuk cara fikir berat sebelah seperti memandangk orang lain tidak bertamadun dan sebagainya. Itulah yanng kemudian membentuk sains sosial yang digunapakai kebanyakan pihak hinggalah sekarang.



Syarahan ini menggunakan satu sahaja slaid. Sambil mengupas beberapa perenggan awal buku berkenaan dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman pensyarah iaitu Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican menanggapi pelbagai aspek ilmu sains sosial ketika belajar di Amerika Syarikat lalu dibandingkan dengan perkembangan di Eropah.



Buku itu sendiri dimulakan dengan menjelaskan apa itu Barat. Definisi boleh berubah menurut zaman. Awalnya merujuk kepada negara-negara penjajah di Eropah sahaja, yang kelihatan membawa aspirasi empayar lama Rom. Kemudian meliputi Amerika Syarikat jauh ke seberang Lautan Atlantik malah Australia dan New Zealand yang sebenarnya terletak di belahan timur dunia.



Bahkan negara Jepun berbangsa Eropah pun boleh dikatakan Barat. Ini disebabkan mereka pandai meniru teknologi Barat sebelum memajukan mengikut acuan sendiri. Sila ikuti sendiri syarahan dan perbincangan melalui video bawah.