Isnin, Februari 26, 2024

Masuk Perak siang Nisfu Sya'aban

Salam petang Isnin 16 Sya'aban 1445 Hijriah. Meneruskan gerak penulisan daripada artikel Kapal terbang bunian di Gombak? diikuti Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2024 dan ideologi yang dipersembahkan pada malam Nisfu Sya'aban.



Adapun artikel-artikel tersebut ditulis berdasarkan aktiviti pada petang Sabtu 24 Februari 2024. Esoknya pagi Ahad 25 Februari, siang Nisfu Sya'aban, saya memulakan satu perjalanan kecil ke Perak bersama isteri dan anak bongsu. Ia adalah ganti bagi perjalanan yang sepatutnya telah dimulakan beberapa hari lalu, bagi mengikuti keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh bagi kes faraid harta Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Mekah iaitu pada pagi Selasa 20 Februari. Sebaliknya seminggu sebelum itu mendapat berita ia ditunda ke bulan Mac. 




Singgah dahulu di Bukit Beruntung kerana anak ada ujian kenaikan bengkung silat. Di situ sempat membaca keseluruhan Surah Al-Mukminun yang menjadi surah pertama dalam Juzuk 18, dalam usaha bagi mengkhatamkan Al-Quran bulan Sya'aban.




Selepas jam 12.30 tengah hari baru menyambung kembali perjalanan. Oh. Pada hari Rabu 21 Februari mendapat berita keputusan mahkamah ditangguh ke 15 April iaitu selepas raya pula.




Sebaik sahaja melepasi sempadan negeri Selangor lalu masuk ke Perak terus masuk ke kampus UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) di Tanjung Malim dengan niat mahu mencari satu kawasan tepian Sungai Bernam yang kelihatan elok santai ada ditunjukkan seorang kawan dalam Facebook hampir 4 minggu lalu. Ketika itu kami ada ke kampus kerana saya membuat pembentangan tentang Laksamana Muhammad Amin. Lihat Membela maruah Laksamana dan bangsawan tradisional Melayu di UPSI.




Rupa-rupanya kawasan tersebut bukan terletak di dalam kampus. Sebaliknya sekitar 1.5 km di luar, tidaklah jauh sangat. Kami pun mencari tempat. Lihat artikel Bernam river at Teratak Ayahanda di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .




Namun saya melihat adalah lebih baik pergi 20 km lagi lebih jauh ke satu kawasan lain yang lebih ke pendalaman dan mendekati gunung ganang untuk bermandi manda. Saya tahu ini kerana pernah sampai seorang diri lebih setahun lalu. Lihat artikel lama Misi keluarga Laksamana part VII - Menyelesaikan hajat ke Pos Tenau




Alhamdulillah anak yang pertama kali sampai cukup seronok. Lihat Picnic at Sungai Bil. Akibatnya sekitar jam 5 petang baru meninggalkan kawasan untuk ke Ulu Slim. Ambil satu jalan kampung terlihat papan tanda menunjukkan arah ke suatu tempat menarik.  









Menyeberang Sungai Slim menuju ke jalan utama ke Ulu Slim.




Saja-saja bawa isteri dan anak meninjau kawasan. 



Saya sendiri sudah 2 kali sampai lalu melihat persekitarannya begitu menarik. Lihat artikel lama Misi Keluarga Laksamana part II - Dari Lubuk Merbau ke Kuala Kangsar membawa ke Ulu Slim diikuti Misi keluarga Laksamana part VII - Menyelesaikan hajat ke Pos Tenau.




Namun isteri dan anak sudah kepenatan. Mereka tidak mahu lama-lama di Ulu Slim lalu bergerak pula kami ke Kuala Slim.




Di situ baru betul-betul makan. Sebelum itu setakat pekena chicken nugget yang dibawa dari rumah juga mee Maggi yang ada dijual di Sungai Bil.




Perjalanan diteruskan dengan menyeberang Sungai Bernam dekat Kuala Slim untuk masuk kembali ke negeri Selangor. Sebetulnya, dalam perjalanan ini yang merupakan ke-3 ke Perak bagi tahun ini (sebelum membuat pembentangan di UPSI ada ke Ipoh secara tiba-tiba. Lihat Ke Ipoh tanpa dirancang - Perjalanan jauh pertama bagi tahun baru 2024) kami merancang mahu menginap satu malam di mana-mana berdekatan Slim River atau Tanjung Malim sebelum balik ke rumah. Namun bila dah seharian berjalan rasa cukuplah setakat itu.




Di Kampung Sungai Tengi berhenti sebentar untuk menghabiskan baki 3 muka surat lebih Surah An-Nur. Sebelum itu Sungai Bil telah dibaca 2-3 muka surat terawal kemudian 3-4 muka surat  semasa menunggu makanan sampai di Kuala Slim. Alhamdulillah surah dapat dihabiskan cuma seminit dua sebelum masuk waktu Maghrib. Lewat malam  di rumah baru dibaca Surah Al-Furqan  lalu selesailah Juz 18 diikuti 5 muka surat Juz 19.