Khamis, Jun 08, 2023

Membawa buku Laksamana Raja Mahkota pusing Perak

Salam semua. Salam petang Khamis 19 Zulkaedah 1444 Hijriah. Merujuk pada artikel Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023 yang dipersembahkan 11 hari lalu. Adapun selepas membuat bicara buku di PBAKL atau Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur bagi tahun 2023 pada 28 Mei, hari ketiga pesta buku saya disibukkan dengan beberapa urusan lain. Pun begitu saya mahu memberikan komitmen untuk hadir ke pesta buku bagi hari-hari Rabu 31 Mei dan Khamis 1 Jun diikuti Sabtu 3 Jun dan Ahad 4 Jun (hari terakhir PBAKL 2023). Maka pergilah saya pada hari Rabu dan Khamis. Namun muncul satu hal menyebabkan saya bergerak bersama keluarga dan seorang kawan lewat malam itu, malam Jumaat ke Perak.

Asbab perjalanan adalah undangan seorang pasangan kawan suami isteri yang mahu mengadakan majlis Maulud juga makan-makan di Kampung Temong, Kuala Kangsar. Walaupun penat terutama akibat urusan melibatkan buku juga pesta buku apabila difikirkan kembali elok juga pergi. Elok dibawa buku yang ketika itu baru hendak masuk 3 minggu keluar dari kilang. Bukankah buku melibatkan cerita asal usul keturunan di Perak dan tempat-tempat berkaitan? Ambil peluang ini untuk bawa buku ke tempat-tempat berkenaan sambil pusing Perak.



Gambar atas diambil pada pagi Jumaat 2 Jun 2023 di hadapan masjid warisan keluarga Laksamana Raja Mahkota di Batak Rabit, Teluk Intan selepas beriktikaf dan bermalam di sana. Selepas itu naik menara masjid. Lihat artikel The tower of Batak Rabit old mosque di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.





Di kawasan pemakaman keluarga di sebelah masjid...







Di jeti tepi Sungai Perak di hadapan masjid.




Seterusnya singgah di lain tempat yang ada kaitan di Teluk Intan.




Masuk ke dalam menara condong. Lihat New visit to the leaning tower of Teluk Intan.




Pergi sekali ke Durian Sebatang di mana terdapat makam Sultan ke-22 Perak Sultan Abdullah Muhammad Syah I (bertakhta 1851 - 1857 Masihi) juga makam Laksamana Tok Janggut yang bertanggungjawab mendirikan kota Laksamana di sana.



Bergerak pula ke arah Ipoh melalui Kampung Gajah ke Bota lalu menziarahi makam Sultan pertama Perak Sultan Muzaffar Syah I (1528-1549)




Makam Sultan ke-10, Sultan Muzaffar Syah II (1636 - 1653). Baginda dihantar dari Aceh untuk bertakhta di Perak.




Makam Sultan ke-13, Sultan Muzaffar Syah III (1728 - 1752). Sultan inilah yang bertanggungjawab mengangkat moyang saya Nakhoda Hitam yang berketurunan raja Aceh-Bugis menjadi Laksamana Raja Mahkota Perak yang pertama.



Sampai di Ipoh singgah di Istana Kinta untuk urusan berkenaan. Untuk pengetahuan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang namanya menjadi tajuk utama buku adalah generasi ke-5 keturunan Nakhoda Hitam. Saya pula generasi ke-5 keturunan Muhammad Amin.



Masuk waktu solat Jumaat pergi ke masjid yang kelihatan kerana dekat dengan satu lagi tempat bagi urusan buku. Lihat artikel Jumaat di Masjid Muhibbuddin (Friday at the Muhibuddin mosque) dblogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Petang itu ke Bukit Chandan di bandar diraja Kuala Kangsar lalu singgah ke makam Daeng Selili di Kampung Padang Changkat, orang yang menjadi Dato' Maharajalela Pancung Tak Bertanya Perak.



Kemudian baru ke Masjid Ubudiyah. Tapi kali ini setakat singgah di halaman luar.



Ini kerana tumpuan lebih diberikan pada ziarah ke makam-makam di kawasan pemakaman diraja Perak di sebelah masjid. Ini adalah di makam Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah Muhammad Syah II (1874-1877).



Makam moyang atau lebih tepat, moyang kepada datuk saya iaitu Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin terletak cuma sekitar 6 meter sahaja dari makam Sultan Abdullah II. Untuk pengetahuan mereka sama-sama dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877 kerana dituduh terlibat dalam pembunuhan residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch pada 2 November 1875.




Lewat petang baru sampai ke Kampung Temong lalu singgah ke makam Tok Temong, seorang pemimpin tempatan wanita yang termasuk antara bertanggungjawab menyambut kedatangan Sultan pertama Perak lima abad lalu. Selepas itu ke tempat majlis Maulud tidak jauh dari situ.



Awal pagi Sabtu 3 Jun, selepas bermalam di tempat majlis kami ke Kota Lama Kanan lalu singgah melihat batu tanda Sultan ke-2 Perak, Sultan Mansur Syah (1549-1577) dalam masjid sana.



Selepas itu bergerak Beruas lalu ke Kampung Kota untuk menziarahi makam-makam lama yang terkait dengan raja-raja situ.



Didapati ada perubahan signifikan telah berlaku pada suatu kawasan makam. Lihat Rupa baru makam (New look of the tombs of) Raja Beruas I.




Seterusnya ke Lumut lalu menghadap Sungai Dinding. Lihat Sungai Dinding from Lumut waterfront again. Kajian seperti disuakan dalam buku menunjukkan moyang terawal keluarga Laksamana sampai ke Perak dari Kesultanan Perlak di Sumatera 1,000 tahun lalu melalui sungai ini.




Dengan itu kiranya selesailah lawatan ke tempat-tempat yang dirasakan sangat terkait dengan buku. Ambil peluang ke Bagan Datuk melalui jambatan yang baru dibuka 1 Jun, jambatan yang memotong/mengurangkan perjalanan antara Bagan Datuk ke Lumut dan sebaliknya sebanyak 46 km lalu singgah ke beberapa tempat. Lihat artikel-artikel berikut :-









Sehingga terlupa Bagan Datuk juga ada kaitan yang kuat. Ini kerana melalui Sungai Perak di belah sinilah Laksamana Raja Mahkota pertama iaitu Nakhoda Hitam memunculkan diri lalu terlibat dengan Kesultanan Perak 300 tahun lalu. Satu perkara menarik dapat dilihat adalah perkembangan pesat Bagan Datuk yang membuatkan ia kelihatan semakin menarik kepada pelancong, semakin menyamai Lumut.

Teringat bagaimana telah berlaku juga perubahan pada makam raja-raja Beruas di Kampung Kota yang seperti memberikan isyarat bahawa Beruas dan kisah-kisah berkaitan akan naik tidak lama lagi. Semua ini seperti terkait dengan kisah 'Pulau Perak' yang ada diceritakan dalam buku yang mana Sungai Perak 300 tahun lalu sebenarnya memiliki kuala dan aliran yang menyambung ke Sungai Beruas juga Sungai Dinding. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,400 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.