Rabu, November 04, 2020

Malaysia Tanpa Ahli Politik? Jelas sudah pendirian berdasarkan realiti semasa, bukan angan-angan semata

Artikel ini telah diletakkan ke dalam blogspot  Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) terlebih dahulu.

-----------------------

Salam petang Rabu 4 November 2020. Merujuk pada artikel Trial Run Bicara Perjuangan HIKMAH 25 Oktober dan rancangan untuk acara sebenar 31 Okt yang dipersembahkan 6 hari lalu. Adapun edisi pertama acara yang diberi nama "Bicara Perjuangan HIKMAH" telah selamat dilangsungkan secara on-line sepenuhnya 4 hari lalu. Tajuk perbincangan edisi pertama iaitu "Malaysia Tanpa Ahli Politik : Mustahil atau Bagaimana?" juga sudah selamat dibicarakan dengan jayanya. Ini ceritanya...



Trial run atau sesi percubaan yang dilakukan petang Ahad 25 Oktober telah memberikan peringatan agar pelbagai aspek teknikal mesti dipastikan lancar terlebih dahulu sekurang-kurangnya sejam sebelum acara bermula. Kali ini kawan-kawan yang bertanggungjawab menjaga hal teknikal bertindak lebih awal. Bahkan seawal jam 10 pagi sudah dibuka saluran untuk siaran langsung di Youtube Live walhal acara dijadualkan bermula jam 2 petang iaitu 4 jam lagi. Ini kerana selain mahu memastikan tiada masalah teknikal seperti pernah berlaku pada awal trial run saluran dibuka awal supaya pautan atau link bagi tontonan umum dapat diwar-warkan secepat mungkin.




Bilik maya perbincangan atau room melalui perisian Zoom pula mula dibuka pada jam 1 lalu para panelis dan moderator pun mula check-in atau mendaftar masuk.  Mereka ialah :-


1. Megat Iskandar at-Terawis - Setiausaha agung Persatuan Keturunan Megat Terawis dan Presiden Persatuan Genealogi Malaysia

2. TunSuzana Othman - Pengerusi Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam ( KEMUDI), penulis buku"Ahlul Bait (Rasulullah SAW) dan Raja-raja Melayu" dan 18 tajuk buku lagi

3. S.H. Alattas @ Pak Habib - Penulis kontroversial politik tanah air yang telah menghasilkan 82 tajuk buku


Moderator adalah saya, Radzi Sapiee @ Merah Silu, presiden HIKMAH (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman", penulis siri trilogi buku "Berpetualang ke Aceh" dan 10 tajuk lagi. Dengan cepat dapat dibuat sound-check untuk memastikan tiada masalah bunyi dan sebagainya. Masuk jam 2 bicara pun dimulakan dengan memperkenalkan tajuk. Kenapa dipilih "Malaysia Tanpa Ahli Politik?". Diterangkanlah bahawa ia adalah berdasarkan sentimen semasa orang ramai sejak sebulan dua kebelakangan. 

Dapat dilihat dengan jelas melalui media-media sosial seperti Facebook dan WhatsApp bahawa ramai merasa meluat dengan gelagat ahli politik asyik sibuk hendak berebut kuasa dalam keadaan rata-rata rakyat sedang susah akibat masalah jangkitan virus COVID-19 dan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) untuk mengekang jangkitan. Selalu dibangkitkan pula tentang kemungkinan PRU (Pilihan Raya Umum) ke-15 mahu diadakan secepat mungkin sedangkan sudah terbukti keterlibatan ahli-ahli politik dan para penyokong pada PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah 26 September telah menyebabkan kes jangkitan COVID-19 naik mendadak sehingga mencapai 800 malah lebih 1,000 kes setiap hari sejak itu. Apakah kita tiada pilihan selain harus menyokong ahli politik ini atau ahli politik itu, parti politik ini atau parti politik itu? Sedangkan semuanya kelihatan sama sahaja gilakan kuasa tanpa mempedulikan hal ehwal dan keperluan rakyat jelata?




Seperti disebut dalam artikel Trial Run Bicara Perjuangan HIKMAH 25 Oktober dan rancangan untuk acara sebenar 31 Okt arah tuju perbincangan digariskan melalui soalan-soalan yang ditanyakan kepada setiap ahli panelis seperti berikut :-


1. Secara idealistiknya apakah yang anda faham tentang sistem pemerintahan dan pentadbiran negara?

    a. Tentang Perlembagaan dan bagaimana ia membahagikan kuasa bagi check and balance.

  b. Bagaimana ia (mekanisma seperti Perlembagaan) dapat mempertahankan kedudukan Raja-raja Melayu, hak-hak orang Melayu dan kesyumulan agama Islam.

2. Secara realistiknya berdasarkan apa yang sedang berlaku pada masa sekarang bagaimanakah anda melihatnya (merujuk pada perkara seperti a dan b di atas)?

3. Apakah pemerintahan dan pentadbiran idealistik yang perlu dituntut? Pada saya tentulah kerajaan Islam berdasarkan cara pemerintahan di Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Atau ada pandangan lain yang lebih baik?

4. Adakah ahli politik sekarang boleh membawa ke situ (pemerintahan dan pentadbiran idealistik) atau bagaimana?

5. Bagaimana pula raja-raja Melayu dan sistem pembesar tradisi? Bagaimana anda melihat peranan mereka (ke arah pemerintahan dan pentadbiran idealistik)?

6. Akhir sekali bolehkah diadakan Malaysia tanpa ahli politik atau bagaimana? Bagi setiap jawaban sila nyatakan kenapa. Dan bagaimana (kalau ada suatu cadangan perlu dicapai)...




Dalam kerangka persoalan-persoalan itulah dibincangkan idealisma pemerintahan dan pentadbiran negara berdasarkan ajaran Islam untuk dibandingkan dengan apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara. Apakah Perlembagaan cukup untuk mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Islam di Malaysia? Atau kita harus tunduk pada desakan puak-puak liberal, anti-Melayu dan anti-Islam atas nama rule of law atau keluhuran undang-undang negara lalu tidak dapat berbuat apa-apa?Dibincangkan pula peranan ahli politik baik daripada segi idealisma kemudian realitinya. Kenapa terbit keadaan sekarang yang mana ahli politik kelihatan begitu sibuk malah kemaruk berebut kuasa sehingga menyusahkan lalu menyebabkan rakyat meluat? Apa pula peranan raja-raja dan para pembesar tradisi Melayu?


 

Perbincangan penuh sepanjang lebih 2 jam boleh diikuti melalui video atas. Cuma disebabkan saluran  dibuka sejak jam 10 pagi paparan sejak itu turut dirakam sama. Kami menghadapi masalah untuk  menyunting keluar 4 jam lebih waktu menunggu itu lalu harus membiarkannya. Oleh itu kalau mahu masuk terus pada perbincangan sila pergi ke minit 4:09:35.



Sekadar hendak memberitahu. Pada tarikh hari ini 4 November tepat 8 tahun lalu berlangsunglah acara pertama HIKMAH di mana-mana. Lihat Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012. Sesuailah perkara ini dinyatakan dalam artikel yang meringkaskan perjalanan acara pertama HIKMAH dalam bentuk forum on-line. Insyaallah banyak lagi tajuk-tajuk menarik melibatkan isu-isu semasa dalam konteks besar kenegaraan akan kami bawa selepas ini. Bagi kami landasan dan arah tuju adalah jelas sejak HIKMAH diasaskan pada 12 Oktober 2012. Lihat HIKMAH - Bagaimana ia bermula. Kami mahu menuju ke arah  penubuhan kekhilafahan di atas manhaj keNabian seperti disabdakan baginda Rasulullah SAW dalam hadis-hadis tentang akhir zaman.