Khamis, Ogos 20, 2020

Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Menjejak sejarah dan makan-makan dari Bandar Maharani ke Bukit Kepong membawa ke Negeri Sembilan

Salam Maal Hijrah. Dengan masuknya tarikh 1 Muharram bagi tahun baru 1442 Hijriah semoga semua pembaca mendapat semangat baru dalam menangani kehidupan sambil meraih keredhaan Allah SWT. Saya pula mahu mengambil berkat tarikh penuh makna ini untuk melepaskan cerita terbaru. Bersambung daripada artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Mukadimah perjalanan malam.


Gambar ini diambil pada jam 7.11 pagi Sabtu 15 Ogos 2020 ketika meninggalkan hentian sebelah Bemban di Lebuh Raya PLUS. Saya dan kawan telah menunaikan solat Subuh di sana.


Letaknya kira-kira 63 km sebelum bandar Muar.  Tidak lama kemudian sampailah kami ke jambatan lama yang menyeberangi Sungai Muar...








Masuklah kami ke bandar Muar yang juga dikenali sebagai Bandar Maharani, bandar diraja bagi negeri Johor.





Benda pertama dicari adalah satay. Untuk pengetahuan Muar adalah satu-satunya tempat diketahui dalam Malaysia yang mana satay menjadi satu makanan biasa sarapan. Oleh kerana kami juga mahu makan nasi beringin di kedai tepian sungai satay yang dibeli daripada kedai terkenal di bahagian lain bandar pun dibungkus lalu dibawa ke tepi sungai. Inilah kali pertama kawan tersebut merasa nasi beringin di Muar. Selama ini dia cuma tahu nasi beringin yang dijual di kedai bersebelahan pejabat besar kumpulan syarikat akhbar The New Straits Times di Jalan Riong, Kuala Lumpur.


Sudah disebut dalam artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Mukadimah perjalanan malam bahawa kawan tersebut bertugas sebagai wartawan permotoran. Biar ditambah, kami dahulu pernah duduk sebilik semasa zaman kolej iaitu ketika membuat pengajian peringkat A Level (selepas SPM atau Sijil Pelajaran Malaysia, mengikut sukatan pelajaran di United Kingdom) di PPP/ITM (Pusat Persediaan Pelajar di bawah Institut Teknologi Mara kemudian menjadi universiti UiTM). Itu adalah pada penghujung tahun 80an. Kami kemudian pergi ke universiti berlainan di UK, saya dalam bidang matematik di London, beliau dalam bidang undang-undang di Leeds (ke Sheffield? Saya ingat-ingat lupa) awal tahun 90an. 

Setelah beberapa lama berjumpa kembali di pejabat NST di mana beliau menjadi wartawan bagi akhbar The Malay Mail, saya pula bermula di Sunday Mail sebelum masuk akhbar utama The New Straits Times. Kami adalah antara beberapa kawan sekolej yang bertukar langsung bidang - ramai kawan sebaya yang lahir tahun 1970 berkerja di syarikat-syarikat korporat, sejumlah masuk program PTD (Pegawai Tadbir Diplomat). Setelah beberapa lama kawan bernama Shamsul Yunos ini menjadi salah seorang wartawan permotoran paling terkemuka di tanah air sementara saya mencipta sedikit nama dalam kewartawanan sukan. Kami dan beberapa orang kawan rapat terus berhubung sehinggalah tahun 2020 ini menjejak umur 50an. Cuma tak ramai cukup lasak untuk diajak berjalan jauh dengan kemungkinan harus bermalam dalam kereta, tak pun di pondok dan masjid.

Ketika beliau seperti saya menjadi seorang freelancer yang bekerja sendiri dengan pendapatan tak menentu kebanyakan kawan lain sudah hidup selesa dalam golongan T20 (20 peratus tertinggi negara - pendapatan isi rumah melebihi RM10,960). Antara kawan rapat kami yang dahulu duduk sebilik di kolej ada yang sudah menjadi antara 10 pegawai tertinggi di Khazanah Holdings iaitu syarikat milik negara yang memegang saham banyak syarikat besar terkemuka, ada yang sedang menjadi duta besar negara ke China. Ada pula pernah menjadi naib presiden di 1MDB (syarikat yang terpalit dengan pelbagai skandal duit itu). 

Nasib baik antara kami masih boleh bergaul seperti biasa. Kalau ada protokol pun cuma dalam kapasiti rasmi di pejabat dan majlis. Cuma itu le, sekali lagi tidak semua cukup lasak ditambah tidak semua ada masa untuk mengembara seperti kami. Kalau tidak tentu lebih ramai boleh mengikuti perjalanan ini.


Yang pergi cuma saya, Shamsul dan seorang anak laki-laki beliau. Menariknya anak tersebut adalah yang tengah antara lelaki kembar tiga - mereka 6 beradik kesemuanya. Kali terakhir saya bersama kawan-kawan sebilik kolej berjalan agak jauh dalam apa yang boleh dipanggil sebagai road trip adalah pada 6 tahun lalu. Tapi itu menginap di hotel. Dan tujuan utama kami berjalan ketika itu adalah untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang kawan di Pontian. Lihat artikel lama Road trip kahwin kawan lama ke Batu Pahat dan Pontian

Cuma Shamsul dan seorang kawan lain bernama Taufiq selalu juga bergerak sama ke bandar diraja negeri Perak iaitu Kuala Kangsar. Ini kerana masing-masing ada anak yang sedang menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar atau lebih dikenali sebagai MCKK (Malay College Kuala Kangsar). 


Sebetulnya sejak 2 tahun kebelakangan kami sudah banyak kali membincangkan mahu mengadakan road trip ke mana-mana. Selalunya kami akan tanya Shamsul apakah kereta baru yang sedang dibuat review ataupun dipandu uji untuk ditulis ulasan. Apakah sesuai untuk sesuatu perjalanan atau laluan yang dicadangkan? Sila rujuk ruangan Youtube beliau (klik sini). Tak pun Google perkataan "Funtasticko" - laman video ada, lawan sesawang (webpage) pun ada. Oh. Lupa nak cakap. Dalam perjalanan ini beliau memakai kereta Mazda CX8 versi terbaik yang keluar dari kilang tahun 2019. Ketika menerimanya hari Jumaat meter menunjukkan ia baru dipakai 1,016 km.

Itulah kereta yang nampak dalam gambar awal berlatarbelakangkan bangunan berwarna biru di atas tadi. Bangunan yang kelihatan adalah bahagian hadapan masjid jamek Muar,  masjid tempat saya selalu  bermain juga menunaikan solat dengan kawan-kawan semasa zaman kanak-kanak. Adapun saya ini anak kelahiran Muar dan membesar di sebuah rumah tidak jauh dari masjid. Di padang hadapan (kiri dalam gambar) itulah saya mula belajar silat dan sedikit ilmu kebatinan. Tapi biasa le budak-budak - lebih banyak bermain daripada belajar....


Berbalik pada hal membincangkan road trip bersama kawan-kawan. Sudah lama pelbagai cadangan perjalanan dan laluan dibuat. Tetapi apa yang berlaku kemudian adalah kami tidak dapat menetapkan tarikh  sama di mana ramai ada kelapangan untuk sekali jalan. Ada sahaja hal muncul sehingga road trip bersama tak jadi-jadi. 

Hendak dijadikan cerita tiga minggu lalu Shamsul telah mengajak saya untuk menjejak sebuah masjid lama di Negeri Sembilan. Tarikh cadangan adalah pada hari Isnin 3 Ogos, bergerak dari Kuala Lumpur. Sedangkan ketika cadangan dibuat tengah hari Sabtu 1 Ogos saya sedang berada di Muar untuk bercuti Raya Haji bersama ibu bapa. Kebetulan petang itu  hendak membawa keluarga ke rumah akak isteri di Negeri Sembilan. Jadi kami jejaklah sendiri masjid tersebut keesokannya hari Ahad. Singgahlah sekali beberapa masjid lama lain berusia sekitar seabad atau lebih tua. Lihat Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar.



Jumaat berikutnya 7 Ogos beliau mengajak pula ke Lenggong, Perak untuk satu ekpedisi arkeologi selama 2 hari iaitu Sabtu dan Ahad. Pengisian sangat menarik tapi saya pula ada hal keluarga sedangkan ajakan muncul begitu singkat. Maka dicadangkan perjalanan ke Melaka hujung minggu seterusnya kerana ada seorang kawan lama sekolej kami (bukan sebilik) mahu mengadakan majlis perkahwinan bagi seorang anaknya. Undangan terbuka telah disampaikan melalui WhatsApp kepada semua kawan lama dalam kumpulan atau WA Group. Undangan peribadi pun ada disampaikan kepada saya. 

Baguslah itu. Sambil berjalan boleh jumpa ramai kawan lama insyaallah. Tetapi bila disemak balik tarikh majlis ia adalah pada hari Sabtu 22 Ogos. Saya pun kata kalau begitu tunggulah lagi 2 minggu baru kita keluar...

Tapi itu 2 minggu kemudian punya cerita. Yang dimahukan adalah tetap hujung minggu seterusnya  iaitu pada hari Sabtu 15 Ogos. Kata Shamsul ini kerana ketika itu beliau akan mendapat kereta Mazda CX8 untuk dipandu uji dan diulas. Kereta jenis SUV memakai minyak diesel ini cukup lasak untuk dipandu di atas pelbagai jenis permukaan jalan. Sesuailah dibawa untuk menjejak sejarah sambil juga melihat ekonomi penggunaan bahan api...


Saya pun bersetuju lalu mencadangkan agar kami menjejak tempat-tempat bersejarah dalam lembangan Sungai Muar. Secara rata saya mahu mengulang perjalanan yang telah dibuat bersama keluarga lebih awal seperti diceritakan dalam artikel Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar. Tetapi kali ini saya mahu agar Sungai Muar yang panjangnya sekitar 290 km itu disusuri sedekat dan sekerap mungkin dari kuala hingga ke hulu. Sesungguhnya saya belum puas dengan perjalanan terdahulu.


Masuk hari Rabu 12 Ogos Shamsul menghantar message atau pesanan WhatsApp bertanyakan tentang Jalan Penarikan. Ia merujuk pada satu laluan unik yang menghubungkan Sungai Muar dengan Sungai Pahang. Beliau baru terdengar tentang itu lalu meminta penerangan. Saya pun memberitahu tentang laluan tersebut. Penerangan adalah seperti disuakan dalam artikel-artikel lama berikut :-






Shamsul menjadi teruja lalu mengajak menyusuri laluan berkenaan bermula dari kuala Sungai Muar hingga ke kuala Sungai Pahang.  Lembangan Sungai Muar cuma akan diliputi sehingga sampai ke Jalan Penarikan dekat pekan Bahau, Negeri Sembilan. Selepas itu kami akan meliputi bahagian lembangan Sungai Pahang yang berkenaan. Maka sampai waktunya bergeraklah kami dari Lembah Klang ke selatan seperti diceritakan dalam artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Mukadimah perjalanan malam. Sekarang baru penceritaan boleh ditumpukan pada penerangan terhadap gambar-gambar.


Tadi gambar atas yang ada kereta di hadapan masjid itu diambil berdekatan kuala Sungai Muar. Selepas itu baru kami ke kuala sebenar-benar kuala iaitu di bahagian yang dikenali sebagai Tanjung Emas. Dari situ boleh kelihatan Pulau Besar di Melaka (terlupa hendak mengambil gambar). Rakaman video pun dibuat dengan Shamsul memberikan pengenalan tentang perjalanan lalu saya memanjangkan dengan sejarah setempat. 

Ditunjukkan secara fizikal melalui jangkauan penglihatan mata kasar bagaimana dekatnya negeri Melaka dengan Muar lalu sejarah pengasasan Kesultanan Melaka dikaitkan dengan penempatan awal di Muar. Ini membawa kepada hal bahawa Muar pernah menjadi sebuah negeri, bukannya daerah dalam negeri Johor seperti sekarang. Ditunjukkan kepala kereta api di taman rekreasi berdekatan dengan perkataan M.S.R sebagai bukti - ia adalah singkatan untuk Muar State Railway iaitu Kereta api Negeri Muar. Ditunjukkan dan diceritakan seraya membuat rakaman bekas stesyen kereta api yang sudah dijadikan satu pejabat kerajaan (tiada dalam gambar). Singgah sebentar melihat Kubu Bentayan (pun saya tak ambil gambar tapi ada rakaman) sambil menceritakan ia sebagai pusat pertahanan Sultan Melaka selepas Kota Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.


Diceritakan bagaimana kuala Sungai Muar dahulukala terletak di tempat yang lebih jauh ke pendalaman lalu ditunjukkan bukti-bukti berkenaan. Hal ini boleh dirujuk melalui artikel lama Menghidupkan Bukit Treh di Muar sebagai tempat pelancongan legenda bersejarah. Sambil berjalan menjejak tempat-tempat bersejarah yang terkait dengan sungai sempat pula mencuba pelbagai jenis makanan dan minuman. Gambar di atas diambil di pekan Panchor di mana kami makan nasi dengan udang galah masak asam pedas.


Selalunya kalau ke Panchor saya akan singgah ke kedai lain ini untuk makan mee bandung udang galah. Kali ini cuma lalu kerana dah kenyang. Tadi makan udang galah masak asam pedas pun sebenarnya sudah kenyang kerana sudah makan satay dan nasi beringin, minum kopi kemudian air pear di bandar Muar. Tapi saja nak rasa walaupun udang galah katanya lebih sesuai dimasak cara lain.


Bahagian Sungai Muar yang menghadap pekan Panchor...


Ikut jalan kampung di mana boleh kelihatan makam Panglima Mat Berani ini menuju ke makam Sultan Alauddin Riayat Syah Melaka di Kampung Raja, Pagoh.


Adapun penulisan cerita ini telah dimulakan sejak jam 8 pagi tadi. Di celah-celah itu harus membuat beberapa perkara termasuk melayan panggilan seorang saudara daripada keturunan Laksamana Muhammad Amin (Perak) campur keturunan Wat Mat Saman (Kedah). Ketika menulis ayat ini sudah jam 12.44 sedangkan awal jam 1 saya harus bergerak untuk satu urusan di luar kawasan.


Dengan itu tidak perlulah lagi dipanjangkan penerangan.


Biar diringkaskan, selepas Pagoh kami lalu pekan Lenga sebelum singgah melihat kompleks balai polis lama Bukit Kepong yang telah dijadikan muzium...








Selepas itu memotong ke arah Segamat sambil mengambil laluan jalan raya utama paling dekat dengan Sungai Muar...


Jambatan menyeberangi Sungai Muar di Buloh Kasap. Pada ketika itu baru masuk bahagian mudik kiri sungai. Sebelum ini, sejak dari kuala sungai semuanya di mudik kanan.


Masuk pekan Gemas.


Kononnya selepas itu hendak mengambil jalan dalam dari pekan Rompin. Tetapi sekali lagi seperti halnya minggu sebelum itu kereta 'ditarik' untuk terus menggunakan jalan utama ke Bahau. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam artikel Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar.


Mungkin ia berlaku untuk melengkapkan gambaran cerita kepada Shamsul tentang satu mimpi saya menunjukkan suatu masa dahulu pernah wujud tasik besar dengan banyak kapal berlabuh di Bahau? Saya fikir ada kena mengena kerana ia berkaitan keadaan Sungai Muar, Sungai Pahang dan Jalan Penarikan pada suatu zaman yang lampau.


Jam 2.40 kami hampir sampai ke Jalan Penarikan. Cerita berkenaan akan dihuraikan dalam artikel akan datang, insyaallah.


Selasa, Ogos 18, 2020

Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Mukadimah perjalanan malam

Salam petang Selasa 28 Zulhijjah. Pada kala ini tinggal sehari lebih sahaja sebelum tahun Islam 1441 Hijriah tamat. Adapun pada hujung minggu lalu saya ada membuat perjalanan lebih 1,000 km dalam tempoh 20 jam. Namun dalam tempoh waktu pendek itu banyak perkara diliputi sehingga cerita berkenaan layak dipecahkan menjadi 4 episod. Biar dimulakan dengan mukadimah ini.

 

Jumaat malam Sabtu 13 Ogos 2020. Saya telah membawa keluarga berjalan-jalan di KLCC.


Ikut bersama adalah seorang kawan kolej anak perempuan yang datang dari Seberang Perai. Oleh kerana mereka ingin sangat melihat satu tarikan baru di bandar raya saya pun membawa ke sana.


Tarikan tersebut terletak tidak jauh dari KLCC. Lihat artikel The new attraction called Pintasan Saloma di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ia memberikan pemandangan menarik bandar raya. Lihat Kuala Lumpur from Pintasan Saloma. Selepas puas melihat persekitaran sana kami bergerak ke rumah seorang kawan lama di Bukit Damansara lalu saya ditinggalkan di situ. Isteri pun memandu membawa anak-anak dan kawan anak kembali ke rumah.


Saya menginap di rumah kawan kerana kami mahu melakukan satu perjalanan menarik hari Sabtu. Jam 5.45 pagi perjalanan pun dimulakan dengan kami berdua bergerak ke arah selatan.


 
Ada misi tertentu mahu dilaksanakan sambil kawan yang bertugas sebagai wartawan permotoran itu membuat review (saya tidak pasti apakah perkataan sesuai dalam bahasa Melayu) sebuah kereta model baru. Misi tersebut diceritakan dalam video-video ini yang dirakam kawan sambil kami bergerak ke arah selatan...




Nota tambahan - Ditulis jam 3.13 petang : Melihat kembali gambar pertama yang digunakan dalam artikel ternyata ia sangat berkaitan dengan misi perjalanan. Gambar digunakan sekadar mengikut aliran cerita iaitu malam itu kami pergi dahulu ke KLCC kemudian baru ke rumah kawan di mana perjalanan kemudian dimulakan. Sebetulnya perjalanan menjadi asbab kami ke KLCC malam itu. Oleh kerana ia mahu dimulakan awal pagi Sabtu sedangkan anak perempuan dan kawan kolejnya mahu melihat tarikan baru berdekatan KLCC kami pun keluar pada malam itu. Boleh buat dua kerja sekali - Membawa anak dan kawannya juga keluarga berjalan kemudian pergi ke rumah kawan untuk bermalam.

Adapun tujuan utama perjalanan dibuat adalah untuk menyusuri laluan purba perdagangan yang menghubungkan Sungai Muar dengan Sungai Pahang. Antara kedua sungai itu dan anak-anak sungai yang berkenaan ada satu laluan penghubung yang dikenali sebagai Jalan Penarikan. Melihat dua menara KLCC, ia boleh diibarakan seperti Sungai Muar dengan Sungai Pahang. Jika Jalan Penarikan menghubungkan kedua-dua sungai, dua menara KLCC pula dihubungkan dengan jambatan di bahagian tengah atas bangunan. Nah. Kan ada kaitan? :]