Jumaat, November 29, 2019

Mesyuarat Meja Bulat Penyelidikan & Penerbitan Peradaban Melayu di UPSI

Salam petang Jumaat 29 November. Menyambung penceritaan daripada Merajut kesinambungan pemikiran Za'aba.


Majlis dalam dewan tamat sebelum jam 11.30 lalu hadirin menyambung berbual-bual dan beramah mesra di ruang legar.





Ada pameran lukisan tentang Za'aba. Tetapi kebanyakan lukisan diletakkan di perpustakaan luar daripada bangunan ini.





Ada sekali pameran senjata Melayu dan demonstrasi silat...








Selepas makan tengah hari, menunaikan solat dan rehat sebahagian hadirin kembali ke dalam dewan jam 2.30 petang untuk satu majlis lain yang berkaitan...


Tajuk majlis adalah seperti yang kelihatan. Ia adalah untuk menentukan hala tuju baru UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) dalam bidang-bidang berkenaan.


Kelihatan di kiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Suriani Abu Bakar memberikan kata-kata aluan.


Pemegang atau penyandang Kursi Za'aba, Profesor Datuk Dr Awan Sariyan kemudian menetapkan perkara-perkara asas yang akan dijalankan beliau melalui Institut Peradaban Melayu di bawah UPSI.


Dinyatakanlah 7 perkara utama atau kluster serta komponen-komponennya seperti yang kelihatan lalu dipanjangkan beberapa bahagian yang dirasakan paling menuntut perhatian...





Selepas itu hadirin pun diberi ruang untuk memberikan maklum balas sebelum semuanya dirumuskan oleh Awang...














Antara perkara penting yang dirumuskan adalah cara untuk menjalankan cadangan dan gagasan tanpa terlalu mengharapkan bantuan kewangan daripada kerajaan. Sebaliknya diwujudkan cara untuk mengumpul dana dalam kalangan institusi dan mereka yang seperjuangan...


Khamis, November 28, 2019

Merajut kesinambungan pemikiran Za'aba

Salam malam Jumaat 28 November 2019. Adapun siang tadi dah masuk tarikh 1 Rabiulakhir dalam kiraan Hijriah. Malam ni dah 2 Rabiulakhir. Merujuk pada artikel ke-1,881 di blogspot ini iaitu Amerika Syarikat menjadi kuasa dunia dengan 'pertolongan' Alam Melayu - Satu kisah lama yang mendunia bermula di Aceh yang dipersembahkan petang Selasa. Disebut  bahawa ada kemungkinan saya tidak boleh keluar jauh daripada kawasan rumah sehingga 2 minggu akan datang kerana harus memerhatikan anak-anak yang baru bersunat pagi itu. Cuma Rabu 27 November sahaja (semalam) mahu ke UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) di Tanjung Malim kerana sudah lama berjanji akan menghadiri satu majlis. Ini cerita tentang majlis tersebut.


Sampai waktunya pagi Rabu 27 November 2019 saya pun bergegas ke UPSI lebih 45 km ke arah utara dari rumah.


Saya keluar lewat kerana hal tertentu. Sampai ke UPSI pula harus mengambil masa untuk mencari lokasi  tepat majlis iaitu Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning di UPSI lalu masuk jam 10.16 pagi.


Ketika menerima makluman awal tentang majlis sebulan dua lalu ia dikatakan bermula jam 10. Makluman kemudian menyebut ia bermula jam 9.


Dah sampai baru dapat atur cara penuh menyebut jam 9 itu adalah untuk pendaftaran peserta kemudian menunggu para jemputan sampai. Acara baru boleh dikatakan bermula jam 9.30 dengan pembukaan diikuti ucapan alu-aluan oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Dato' Dr Mohammad Shatar Sabran. Selepas itu baru ucapan perasmian oleh tokoh yang kelihatan dalam gambar. Ketika saya sampai itu kedengaran beliau menyebut tentang institusi pengajian tinggi seperti UM (Universiti Malaya) dikenali kerana ketokohan Ungku Aziz (Profesor Diraja), UIA (Universiti Islam Antarabangsa) disebabkan Ahmad Ibrahim (Tan Sri Profesor Emeritus). Harapan beliau UPSI juga dapat naik dengan tokoh-tokoh sebegitu. 

Kelihatan perasmi majlis, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, UPSI iaitu Profesor Emeritus Dato' Paduka Dr Mahmood Zuhdi begitu segak berbusana Melayu tradisional. Walaupun tidak mendengar beliau menyebutnya saya percaya harapan itu juga merujuk kepada hakikat bahawa UPSI pernah memiliki seorang tokoh hebat yang sangat besar namanya iaitu Pendeta Za'aba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Bin Ahmad. Kini muncul seseorang yang dikenali sebagai pejuang bahasa alaf baru untuk menerajui perjuangan atas nama tersebut.


Di sini tidaklah ingin saya memanjangkan hal Za'aba yang hidup 1895-1973. Maklumat tentang beliau boleh dicari dengan mudah di Internet. Yang mahu dinyatakan adalah majlis ini adalah untuk meraikan pemegang terbaru Kursi Za'aba iaitu Profesor Datuk Dr Awang Sariyan. Ia adalah satu Kursi kecendekiawanan bahasa dan peradaban Melayu atas nama Za'aba yang telah diwujudkan sejak tahun 2000.


Secara rasminya Awang telah menjadi pemegang ke-4 Kursi tersebut bermula 1 Julai 2019. Sebelum itu beliau adalah ketua Unit Tamadun Melayu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam) lalu pernah menjadi guru saya dalam subjek berkenaan. Sebelum itu pula beliau adalah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Lebih awal daripada itu beliau pernah menjadi profesor yang mengembangkan pengajian Melayu di negara China juga di beberapa institusi di Eropah.
Walaupun sudah hampir 5 bulan memegang jawatan pada acara ini baru betul-betul beliau dimasyhurkan. Satu syarahan perdana pun diberikan. Tajuknya adalah seperti kelihatan tadi : "Merajut Kesinambungan Pemikiran Za'aba : Naratif Abadi Sebagai Kerangka Pemikiran Melayu". 

Berikut adalah takrif merajut menurut Kamus Dewan...

Definisi : 1. jala-jala, jaring-jaring; 2. siratan benang dll yg berupa jaring utk membuat pundi-pundi (dipakai pd sanggul dll); 3. pundi-pundi (pura, kantung) yg dibuat drpd siratan benang (rami dll): walaupun meregas rumput dan menjualnya tiga sen se~, atau mem­buka toko yg bertingkat-tingkat....; merajut 1. menyirat jaring-jaring (jala-jala), mem­buat rajut: gentian bulu itu dipintal menjadi benang, kemudiannya ditenun men­jadi kain, ataupun dirajut menjadi pakaian; 2. memasang rajut; ~ badan menyusahkan diri; ~ burung menangkap burung dgn menggunakan rajut (jaring); ~ perut menahan lapar, menahan (mengurangkan) makan; rajutan sesuatu (jala, jaring, dll) yg dirajut: ~ yg kemas; perajutan perihal (perbuatan dsb) merajut; perajut 1. orang yg merajut (jaring, jala dsb); 2. alat utk merajut (menyirat). (Kamus Dewan Edisi Keempat)


Nampaknya Awang ingin menyulam atau menjalinkan kembali segala yang diketahui tentang Za'aba, pemikiran dan sumbangannya terhadap perkembangan bahasa Melayu moden bagi membina satu gagasan sebagai penyandang baru Kursi. Ditunjukkan gambar sejumlah buku yang pernah ditulis Za'ba sebelum bersyarah panjang lebar tentang asas-asas falsafah dan jangkauan pemikiran yang mahu dikehadapankan dalam gagasan. 








Tidak perlulah mengulas lagi apa yang diperkatakannya.





Cukuplah slaid-slaid yang ada bagi menyampaikan maksud syarahan.