Khamis, Oktober 17, 2019

Aksara, naskhah & Tamadun Alam Melayu - Ilmu jimak Melayu, jin laga lembu dan kelebihan Ahlul Bait

Meneruskan perkongsian tentang persidangan manuskrip di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) 15-17 Oktober. Bersambung daripada artikel Aksara, naskhah & Tamadun Alam Melayu - Daripada perkembangan tulisan ke pemikiran akal logik mantik.


Pada penghujung artikel tersebut ada dinyatakan bahawa selepas mempersembahkan artikel tersebut dekat jam 8.30 semalam saya harus menyelesaikan satu urusan di satu tempat di Cheras 21 km ke selatan PNM. Kemudian carilah tempat tidur di mana-mana masjid ataupun surau asalkan mudah untuk ke majlis bagi sesi pagi keesokannya Rabu 16 Oktober. Alhamdulillah saya dapat menginap di sebuah masjid di Taman Maluri. Lihat artikel Masjid Al-Imam Ash-Shafie, Taman Maluri waktu Subuh (Mosque of Al-Imam Ash-Shafie, Taman Maluri early morning) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Selepas Subuh singgah bersarapan mee lontong dan lontong pecal (ya, saya makan 2 pinggan) berserta teh telur (teh diletak telur) di Chow Kit kemudian sampai ke perpustakaan jam 8.41.



Menurut atur cara majlis harus bermula jam 8.30. Sebetulnya ia dimulakan selepas jam 9. Beginilah atur cara yang diberikan beberapa waktu dahulu...


8.30 pagi – 10.00 pagi : Sesi IV Ilmu Maritim, Arkeologi dan Teknologi

Pengerusi : Prof. Dr. Jelani bin Harun (Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang)

Pembentang : YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Paduka Dr. Hashim bin Musa (Universiti Malaya) - Teknologi Perkapalan Melayu: Jong dan Ghali Meredah Tujuh Lautan

Pembentang : Dr. Nasha bin Rodziadi Khaw (Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang) - Kebudayaan Melayu Pra-Islam Berdasarkan Penemuan di Kedah Tua

Pembentang : Dr. Ar. Mastor bin Surat (Universiti Kebangsaan Malaysia) - Ketamadunan Senibina Melayu: Purba, Warisan Kedaerahan dan Semasa

Sesi soal jawab

10.00 pagi : Minum pagi

10.30 pagi – 1.00 t/hari : Sesi V Ilmu Tradisional Melayu: Perubatan Seksologi dan Ilustrasi/Mantera

Pengerusi : Dr. Dzul Haimi bin Md Zain

Pembentang : Prof. Madya Dr. Mohd Affendi Mohd Shafri (Universiti Islam Antarabangsa, Kuantan,Pahang) - Kaedah Melombong Data Manuskrip Perubatan Melayu untuk Kajian Moden

Pembentang : Encik Nasiruddin bin Mohd Sobri - Ilmu Seksologi

Pembentang : Dr. Farouk Yahya (University of London, SOAS) - Mohor Nubuat di dalam Manuskrip Asia Tenggara

Pembentang : Encik Shahrul Anuar (USM) - Intipati Ilustrasi Visual Jin Dalam Manuskrip Pelaga Lembu

Sesi soal jawab

1.00 t/hari - 2.00 petang : Makan tengahari / solat

2.30 petang - 4.30 petang : Sesi VI Bicara Akademik: Kesusasteraan Melayu (Warkah, Prosa, Hikayat dan Kitab Agama) (Sidang Selari)

Pengerusi : Prof. Emeritus Dato’ Paduka Dr. Hashim bin Musa

Pembentang : Prof. Dr. Muhammad Mustaqim bin Mohd. Zarif (Universiti Sains Islam Malaysia) - Penjaga bagi Segala yang Lalai dan Nasihat bagi Segala Raja-Raja: Warisan Karya Ketatanegaraan Kedah Abad ke-19

Pembentang : Prof. Madya Ampuan Dr. Haji Ibrahim bin Ampuan Haji Tengah (Universiti Brunei Darussalam) - Manuskrip Melayu Bidang Kesusasteraan : Hikayat Dewa Putera Haripan & Syair Kasih Negeri Brunei

Sesi soal Jawab

3.30 petang - 4.30 petang : Sesi VII Fesyen: Pengaruh Iluminasi dalam Busana Masyarakat (Sidang Selari)

Pengerusi : SN. Dr. Siti Zainon binti Ismail (Konsultan Seni Budaya Warisan Galeri Melora)

Pembentang : Prof. Madya Dr. Ab. Razak bin Ab. Karim (Universiti Malaya) - Iluminasi Manuskrip Melayu: Pengkomersialan Untuk Industri Kreatif

Pembentang : Dr. Promono (Universitas Andalas Padang, Indonesia) - Busana Corak Iluminasi

Pembentang : Dr. Dzul Haimi bin Md Zain - Manifestasi Mujarad Alam Sejadi dalam Iluminasi Al-Qur’an dan kaitannya dengan busana tradisi Melayu

Sesi soal jawab

5.00 petang : Bersurai


Pembentang pertama Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hashim bin Musa daripada Universiti Malaya membawa tajuk "Teknologi Perkapalan Melayu: Jong dan Ghali Meredah Tujuh Lautan"


Ditunjukkan laluan biasa perkapalan zaman dahulukala. Diterangkan bagaimana ia dipengaruhi tiupan angin monsun di Asia Tenggara...





Diterangkan juga jenis-jenis kapal Melayu zaman itu. Tetapi saya paling tertarik apabila ditunjukkan laluan lama yang digunakan untuk memotong dari Laut Merah ke Laut Mediterranean iaitu sebelum Terusan Suez dibuka tahun 1869. Hashim menunjukkan ini bagi membuktikan bahawa pelayaran pahlawan Melayu terkenal iaitu Hang Tuah dari Jeddah menuju ke Rum (Istanbul) seperti diceritakan dalam kitab Hikayat Hang Tuah berlaku pada zamannya (abad ke-15 Masihi) bukanlah khayalan. Jika tiada laluan lama ini mustahil kapal dapat lepas kerana Laut Merah dan Laut Mediterranean terpisah jauh oleh daratan.


Pembentang seterusnya, cendekiawan muda Dr. Nasha bin Rodziadi Khaw daripada Universiti Sains Malaysia (USM) membawa tajuk "Kebudayaan Melayu Pra-Islam Berdasarkan Penemuan di Kedah Tua"


Beliau yang merupakan antara beberapa kerat pengkaji tempatan yang mampu membaca bahasa Sanskrit dalam tulisan atau skrip Pallava cuba menelusuri sejarah lama Kedah Tua berdasarkan penemuan-penemuan arkeologi yang telah dibuat USM di kawasan berkenaan.


Dibuat perbandingan antara Melaka dengan Kedah Tua bagi menanggapi persoalan...








Pembentang  ketiga Dr. Ar. Mastor bin Surat daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) datang berbusana tradisional Melayu penuh bagi membawa tajuk "Ketamadunan Senibina Melayu: Purba, Warisan Kedaerahan dan Semasa"





Menurut beliau orang Melayu lama adalah pencipta bangunan piramid. Konsep ini masih dikekalkan pada bumbung masjid-masjid lama yang dibina seperti piramid bertingkat daripada kayu...


Gambar ini diambil jam 11.29 setelah beberapa lama sesi kedua merangkap sesi ke-5 secara keseluruhan (sejak hari pertama) bermula. Temanya, "Ilmu Tradisional Melayu: Perubatan, Seksologi dan Ilustrasi/Mantera" kedengaran amat menarik. Faham-faham sendirilah kenapa... :]


Pembentang pertama Prof. Madya Dr. Mohd Affendi Mohd Shafri  daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan, Pahang membawa tajuk "Kaedah Melombong Data Manuskrip Perubatan Melayu untuk Kajian Moden"


Ada ditunjukkan sedutan daripada beberapa manuskrip Melayu tentang bahan-bahan semulajadi yang boleh dijadikan ubat.


Namun menurut kaedah dan piawaian moden ia masih lagi Gred C...


Sesi terasa betul-betul menarik apabila pembentang kedua  Encik Nasiruddin bin Mohd Sobri membawa tajuk yang kelihatan.


Yang disebut sebagai "Ilmu Perkasihan" itu membawa erti yang lebih luas daripada sekadar ilmu seksologi atau jimak bagi orang Melayu.


Walaupun ada penekanan terhadap penjagaan dan persediaan alat kelamin bagi "melayari bahteri" ia sebenarnya adalah kaedah untuk menggembirakan  pasangan suami isteri sambil memberikan kesihatan zahir dan batin.


Pembentang ketiga Dr. Farouk Yahya daripada SOAS (School of Oriental & African Studies) memgambil tempat jam 12.08 tengah hari untuk membawa tajuk "Mohor Nubuat di dalam Manuskrip Asia Tenggara"


Yang dimaksudkan adalah tanda kenabian yang dikatakan wujud pada tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Ia kemudian dilukis dalam bentuk-bentuk tertentu yang dipercayai boleh memberikan kelebihan seperti keselamatan dan sebagainya bagi mereka yang melihat lukisan!








Pembentang keempat bagi sesi Encik Shahrul Anuar daripada USM membawa tajuk yang kedengaran paling kontroversial iaitu "Intipati Ilustrasi Visual Jin Dalam Manuskrip Pelaga Lembu"


Ia merujuk pada tradisi lawan laga lembu yang pernah menjadi kegilaan di Kelantan suatu masa dahulu.


Hingga dikatakan kampus awal Universiti Malaya di Kelantan tahun 1950an pun dibina menggunakan duit laga lembu.


Kegilaan ini menyebabkan jin-jin digunakan bagi mendapatkan kemenangan dan kelebihan. Ia ada diterangkan malah dilukis dalam kitab lama (tidak diberi tajuk) yang dipanggil pengkaji sebagai "Kitab Pelaga Lembu".


Dilukis kembali jin-jin yang ada dalam kitab lalu diberikan penerangan tentangnya...


Sesi petang dimulakan selepas jam 2.30 secara selari iaitu dua sesi dengan dua tema berbeza dijalankan sekaligus di dua bahagian perpustakaan.


Sesi "Fesyen: Pengaruh Iluminasi dalam Busana Masyarakat" diadakan di bilk serbaguna aras bawah. Saya cuma menjengok sebentar. Sila rujuk atur cara yang telah diberikan di atas tadi...



Saya lebih berminat dengan sesi "Bicara Akademik: Kesusasteraan Melayu (Warkah, Prosa, Hikayat dan Kitab Agama)" di auditorium iaitu di aras atas.


Ia dimulakan dengan pembentang pertama sesi iaitu Prof. Dr. Muhammad Mustaqim bin Mohd. Zarif daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membawa tajuk "Penjaga bagi Segala yang Lalai dan Nasihat bagi Segala Raja-Raja: Warisan Karya Ketatanegaraan Kedah Abad ke-19"


Tumpuan diberikan pada kitab Iqaz al-Ghafilin karangan Muhammad Taib bin Mas'ud pertengahan abad ke-19. Dikatakan ia satu-satunya contoh kitab ketatanegaraan Negeri-negeri Tanah Melayu (Semenanjung) yang ditemui jelas wujud. Kalau tidak orang selalu berkata tentang kitab ketatanegaraan dari Aceh, Riau dan sebagainya, bukan daripada kawasan yang kini menjadi Malaysia...






Satu perkara menarik adalah bagaimana anak cucu Nabi Muhammad SAW iaitu para Ahlul Bait diberikan penekanan dan keutamaan dalam kitab. Menurut Mustaqim ini tidak pernah diperkatakan dalam kitab-kitab ketatanegaraan Islam yang lain...


Pembentang terakhir datang daripada Universiti Berunai Darussalam (UBD) untuk membawa tajuk yang kelihatan.


Diceritakanlah tentang kajian manuskrip di Brunei. Penekanan diberikan terhadap manuskrip bertajuk "Syair Kasih Negeri Brunei" walhal ia agak baru iaitu penulisan tahun 1960an...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan