Isnin, Ogos 11, 2014

Rumah terbuka raya impromptu dan supermoon

Salam. Layan sedikit mood raya...


Semalam Ahad 10 Ogos, di kala bunga-bunga seperti Sakura Jepun sedang mekar di hadapan rumah kami menerima ramai tetamu untuk berhari raya.


Mula-mulanya kawan-kawan isteri dan keluarga yang sama bekerja di Rawang, Selangor datang.


Oleh kerana 3 orang rakan sekerja menetap di taman perumahan yang sama di Bandar Sungai Buaya, mereka pun membuat majlis rumah terbuka berturutan satu demi satu untuk memudahkan lain-lain rakan datang bertandang ke setiap rumah.


Hal ini membuat saya dan isteri melanjutkan majlis rumah terbuka sehingga lewat malam. Ini dibuat supaya rakan-rakan lain, rakan yang pernah bersekolah menengah sama dengan isteri, rakan sekolej saya, rakan aktivis kedaulatan Melayu Islam malah sesiapa sahaja yang mengenali kami boleh bertandang juga. Keputusan untuk membuka rumah kepada semua dibuat secara impromptu iaitu spontan tanpa perancangan dan persediaan awal lewat malam sebelumnya. Kebetulan malam semalam masuk Isnin 15 Syawal. Kelihatan bulan penuh menyerikan suasana...



Adapun 10 malam sebelum itu kami ada membuat majlis rumah terbuka dan makan malam tetapi untuk saudara mara sebelah ibu saya sahaja. Dibuat secara impromptu juga, ia adalah lanjutan daripada majlis rumah terbuka  seorang bapa saudara di Bukit Damanasara yang mahu meraikan seorang anak yang baru berkahwin juga dua orang anak yang bersuamikan Orang Putih lalu menetap di luar negara kembali bercuti. Oleh kerana majlis tersebut menyaksikan ramai saudara mara yang duduk jauh di pelbagai pelusuk Semenanjung datang, itu yang saya ambil peluang menjemput agar datang ke rumah. Kalau lain kali entah bila dapat dikumpulkan mereka. Kebetulan ketika itu ibu bapa dari Muar iaitu kampung ibu datang bermalam untuk beberapa hari. Kiranya ia menggantikan sesi balik Muar yang biasa kami buat setiap awal raya.


Rumah terbuka yang dilanjutkan hingga lewat malam semalam tercetus atas sebab serupa. Pada siang Sabtu, abang sulung isteri mengadakan rumah terbuka merangkap majlis aqiqah untuk cucu-cucu baru di Sepang. Semua 13 orang adik-beradik isteri dan keluarga datang, juga sepupu-sepupu mereka selain kawan-kawan abang dan jiran. Dalam perjalanan kembali malam itu saya dan isteri berbincang tentang rumah terbuka siang Ahad yang mahu diadakan untuk rakan-rakan sekerjanya. Ketika itulah dia memberitahu ada beberapa orang rakan sekolah menengah mahu bertandang sebelah petang lalu saya fikir eloklah dilanjutkan ke malam dan rumah dibuka untuk sesiapa sahaja yang sudi bersama.


Majlis malam tadi turut dimeriahkan oleh sejumlah saudara mara sebelah isteri. Alhamdulillah walaupun persediaan makan minum dibuat saya dan isteri bersendirian cuma beberapa jam sebelum tetamu datang, segalanya mencukupi dan dapat memuaskan semua orang.






Turut memeriahkan adalah seorang tetamu dari Aceh membawa keluarganya. Kelihatan dalam gambar beliau menceritakan kepada jiran pengalaman peribadi terselamat daripada serangan ombak ganas tsunami yang pernah mengorbankan 200,000 nyawa di Aceh 26 Disember 2004.


Pengunjung turut terhibur dengan reka bentuk rumah dan reka letak barangan yang kami buat sendiri. Saya paling teruja apabila 3 orang kawan lama yang pernah duduk sebilik semasa zaman kolej dapat datang walaupun lewat. Ini adalah antara sejumlah kawan yang sama-sama meneruskan pengajian ke United Kingdom lebih 20 tahun lami. Kami menjadi lebih rapat apabila sering bersama melaksanakan aktiviti pengisian ilmu untuk kedaulatan Melayu dan Islam atas nama HIKMAH sejak 2 tahun lalu. Rujuk blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)


Terlebih istimewa lagi adalah semuanya berlaku ketika fenomena langit supermoon sedang berlaku. Ini adalah fenomena bulan penuh ketika kedudukan bulan paling dekat dengan bumi menyebabkan ia kelihatan lebih besar berbanding biasa. Menurut seorang kawan supermoon kali ini adalah yang terbaik dalam tempoh 800 tahun. Selepas tengah malam, ketika tiada lagi tetamu di rumah saya pun mengambil peluang mandi di bawah cahaya bulan menggunakan air hujan yang ditadah siang itu, air yang datang mencurah-curah akibat hujan lebat tengah hari diikuti hujan panas beberapa kali disambung sedikit hujan malam. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 1,212 di blogspot ini. :]