Selasa, September 17, 2013

Sekitar misi memakan ikan keli gulai asam rong sempena cuti Hari Malaysia

Salam. Sedikit cerita dari hujung minggu baru ini sempena cuti Hari Malaysia...


Sabtu 14 Sept 2013, selepas solat Zuhur. Kami anak beranak pun sedia untuk membuat satu perjalanan kecil ke Raub, Pahang. Melihatkan meter yang memaparkan nombor cantik sebaik sahaja masuk kereta saya mengambil gambar. Ini kerana kebetulan hari itu saya baru sahaja berkongsikan Perkara ke-4 Pernyataan HIKMAH Melaka ke Facebook dan selesai memuatnaik video ke-4 dari acara HIKMAH VI (berlangsung di Shah Alam seminggu sebelum itu). Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Oh. Sebelum itu kami harus singgah sebentar ke majlis qeqah seorang jiran.


Kemudian baru bergerak ke Pahang...


Masuk sahaja Lebuh Raya Karak turun hujan lebat. Lebuh raya kelihatan sesak... hampir-hampir sahaja saya mahu mengajak isteri berpatah balik.


Alhamdulillah kesesakan cuma berlaku sekejap. Tidak lama kemudian langit pun terang...





Kami sampai ke Raub hampir 5 petang. Terus bertandang ke rumah seorang bapa saudara berhampiran Sekolah Menengah Sains Raub sebelum ke rumah seorang sepupu di mana kami makan malam.



Kemudian kami ke rumah seorang ibu saudara di sekitar Sempam sebelum bermalam di rumah almarhum Nenek, ibu kepada ayah saya.


OK. Diakui tujuan utama kami ke Raub adalah untuk melepaskan hajat mahu menikmati ikan keli gulai asam rong yang merupakan satu masakan istimewa tempatan. Sudah lebih sebulan kami menunggu masa yang sesuai untuk bertandang di celah pelbagai hal termasuk menjayakan acara ke-6 HIKMAH di Shah Alam Sabtu 7 Sept. Apabila datang hujung minggu baru ini di mana cuti dipanjangkan dengan perayaan Hari Malaysia Isnin 16 Sept baru kami mendapat kelapangan. Selain itu kami memang mahu mengambil peluang untuk menziarahi beberapa orang saudara-mara yang menetap di sekitar Raub. Kami juga sudah agak lama tidak menziarahi makam Nenek lalu pagi Ahad selepas cukup rehat kami pun bergegas ke situ.


Lihatlah kedudukan makam di atas bukit. Saya yang sudah sembuh kecederaan kaki tapi belum pulih sepenuhnya kegunaan kerana urat dan otot kaki kanan yang sudah lebih 4 bulan mengeras akibat kurang diaktifkan terpaksa berhempas-pulas mendaki dengan memakai satu tongkat menyangga ketiak. Untuk pengetahuan inilah kali pertama anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan dibawa menziarahi makam Nenek. Semasa nak turun saya lagi teruk kerana tanah agak licin, beberapa kali harus duduk di tanah dan turun perlahan-lahan. Kalau tidak kerana keadaan kaki yang kurang elok saya boleh sahaja berlari melompat-lompat ke bawah...


Selepas solat Zuhur baru kami makan ikan keli gulai asam rong yang diidam-idamkan, di sebuah kedai makan kesukaan di Simpang Kallang.


Tu dia. Tiga ekor ikan keli kami layan... :]


Selepas itu kami mengambil peluang menziarahi makam Raja Billah, seorang kerabat diraja Rawa yang berada di Sempalit tidak jauh dari Simpang Kallang.




Dari situ kami terus mengorak langkah meninggalkan Raub. Sempat menikmati sedikit buah nangka madu yang banyak dijual di sepanjang jalan.


Laluan seperti biasa membawa ke Bentong sebelum masuk ke Lebuh Raya Karak.




Masuk sebentar ke Janda Baik, singgah di sebuah kedai makan di mana saya sering bertandang semasa bermastautin di kampung atas gunung itu 2003-2005.


Di Janda Baik ini, di tepian rumah bapa angkat saya, penulis politik terkenal S.H.Alattas kami anak beranak mandi sungai. Ia adalah kali pertama saya mandi sungai sejak awal tahun ini kalau tak salah ingatan. Pada pertengahan Mei kami ada ke sini tapi saya tak boleh mandi kerana ketika itu kaki kanan saya masih berbungkus dan bersimen.


Selepas itu kami pun kembali ke Lembah Klang.  Singgah di selatan Kuala Lumpur untuk menghadiri satu majlis reunion kawan-kawan lama dari sekolah menengah. Lihat artikel Sains Johor batch 83-87 reunion after 30 years entering school di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.