Sabtu, Februari 23, 2013

Seputar cuti raya Cina 2013 - Maulud di Pulau Besar, berpanji hitam dan berkeris di makam Sultan Alauddin

Pergi ke sekitar musim perayaan hari raya Cina 2 minggu lalu...

Jumaat malam Sabtu 8 Februari 2013 kami anak beranak meninggalkan rumah menuju ke selatan.


Kami mahu mengambil kesempatan cuti raya Cina yang berlanjutan sehingga hari Selasa. Singgah sebentar di Putrajaya bertemu beberapa orang kawan untuk membincangkan hal acara HIKMAH III yang sudah lepas 27 Januari di Lumut juga HIKMAH IV yang akan datang di Kelantan 16 Mac.


Kami sampai di Melaka sekita 3.30 pagi lalu terus ke Masjid Kampung Hulu.


Mahu berehat hingga Subuh di masjid. Tapi rehat apa? Selepas memandu jauh saya harus memerhatikan gelagat anak kecil si Johan yang jadi hiperaktif asyik merangkak ke sana ke mari.


Pemandangan dalam masjid selepas Subuh.


Singgah sebentar makam Sheikh Shamsuddin Pasai di Kampung Ketek.


Turun ke Umbai, singgah di makam Sultan Ali.


Kemudian ke Anjung Batu untuk menaiki feri ke Pulau Besar.


Kami mengikut rombongan PESAWAD, persatuan sejarah Duyong, Melaka untuk satu acara  anjuran kerajaan negeri.


Ada majlis Maulud yang agak besar. Untuk gambar-gambar lihat artikel Maulud function at Pulau Besar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Lihat juga video di bawah, tetapi latar bunyinya kurang elok, mungkin kerana saya merakam dengan kamera biasa terlalu dekat dengan pembesar suara...





Saya rasa sejak pertama kali menjejakkan kaki di pulau ini tahun 2002 atau 2003 gitu, saya sudah ke sini tidak kurang 20 kali. Namun inilah kali pertama saya menyedari sebuah pokok di hadapan kawasan masjid dan makam utama berbentuk lubang begini.



Sekitar jam 1 tengah hari gitu kami meninggalkan pulau lalu menuju ke Muar. Singgah sebentar di masjid lama yang agak menarik di Serkam. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Serkam di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Ahad 10 Februari, ketika orang berbangsa Cina sedang beraya kami pula ke majlis perkahwinan berdekatan rumah ibu bapa di Kampung Temiang.


Selepas Zuhur kami mengikuti rombongan keluarga ke Parit Raja, Batu Pahat untuk merisik calon isteri seorang sepupu lalu membuat pertunangan.


Hampir Maghrib kami ke pinggir bandar Batu Pahat untuk menziarahi seorang nenek saudara. Kembali ke Muar lewat malam...


Tengah hari Isnin 11 Februari. Pergi ke rumah seorang datuk saudara di Kampung Temiang untuk majlis qeqah cucunya.





Selepas itu saya membawa isteri dan anak-anak menuju ke Kampung Raja, Pagoh untuk menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Shah, Melaka. Tergerak untuk mengibarkan bendera berupa panji-panji hitam yang dihadiahkan satu kumpulan persilatan kepada saya semasa HIKMAH III. Takda tempat nak kibar, letak pula di bahagian kaki nesan. Tergerak juga untuk merentangkan panji kalimah yang baru diberi kepada saya ketika singgah di Putrajaya dalam perjalanan ke selatan awal pagi Sabtu.


Selepas membaca Surah Yassin saya bertafakur sebentar dengan dua bilah keris ditusukkan begini. Jangan tuduh syirik atau tahyul ya. Faham betul-betul sesuatu perkara dan cuba tilik niat bersih di sebaliknya, kalau tak faham lebih elok bersangka baik. Jangan salahkan lantai tak rata konon kalau tak pandai menari...


Minum petang di restoran taman rempah Nasuha di bahagian lain Pagoh...


Selepas itu pusing sebentar di bandar Muar kemudian ke tanjung berdekatan kuala Sungai Muar.


Solat Maghrib di masjid jamek. Pemandangan dari perkarangan masjid.


Masjid ini sentiasa memberikan kenangan manis zaman kanak-kanak. Teringat bagaimana kami anak-anak Muar yang membesar di kawasan sekitar Tanjung Emas, budak-budak Lorong Sekolah dan Jalan Khatib suka bersilat dalam gelap di perkarangan hadapan masjid. Ketika itu hujung tahun 70an hingga ke awal 80an, ramai juga antara kami berjinak dengan ilmu Nasrul Haq dan ilmu batin lain yang namanya pun pelik-pelik, boleh pula dilawan-lawankan dengan mereka yang naik sheikh bermain kuda kepang. Sementara  itu ada kumpulan lain mengambil Silat Sendeng di gelanggang berdekatan.


Pagi Selasa 12 Februari sampai masa untuk kembali ke rumah. Sarapan hidangan kegemaran nasi beringin di tepi sungai bersama ibu bapa.


Kami ke Melaka dan utara mengambil laluan pantai. Kelihatan di sini kuala Sungai Baru dalam perjalanan menuju ke Kuala Linggi. Dari situ masuk ke Negeri Sembilan menyeberangi Sungai Linggi yang menjadi sempadan semulajadi antara negeri. Lihat Linggi river from the bridge near Kuala Linggi.


Laluan pantai diambil hingga ke Port Dickson kerana dua sebab, Satu, untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas di jalan utama selatan ke utara dan lebuh raya akibat ramai kembali dari bercuti hari itu, kedua kerana ada urusan tertentu di PD. Singgahlah sebentar di pantai (lihat A stop at Port Dickson). Singgah juga di tempat berdekatan seperti Tanjung Gemuk dan Kuala Lukut sebelum menuju ke Sepang kemudian baru mengambil lebuh raya selepas Putrajaya di mana lalu lintas ternyata elok sampai ke rumah.