Rabu, Januari 09, 2013

Majlis perjumpaan Dunia Seni Silat Melayu di Taman Tasik Titiwangsa

Kalau ikutkan saya harus terlebih dahulu membuat artikel tentang satu seminar mendaulatkan Islam yang telah  diadakan di Pusat Islam, Sabtu 5 Januari. Tetapi kalau mahukan artikel lebih berkesan saya harus mengambil masa meneliti beberapa perkara teknikal melibatkan perlembagaan serta undang-undang yang dibincangkan pada seminar. Maka biar dipersembahkan satu artikel lain tentang  acara keesokan harinya.


Tengah hari Ahad 6 Januari 2013 saya dan beberapa orang kawan pergi ke Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur untuk menghadiri satu acara.


Dianjurkan oleh satu badan bernama Dunia Seni Silat Melayu (DSSM), ia adalah perhimpunan mereka yang keenam.


Kalau tak salah acara disertai oleh wakil-wakil dari sekitar 70 perguruan persilatan dan berbagai kumpulan berkaitan.



Maka dapatlah berjumpa beberapa orang kawan.



Acara sebenarnya sudah bermula sejak 8 pagi lagi.


Tapi saya dan kawan-kawan sampai ketika waktu rehat tengah hari kerana ada mesyuarat HIKMAH di masjid berdekatan.


Selepas waktu rehat, makan dan solat baru acara disambung dengan persembahan silat.


Seronok betul melihat semangat semua yang hadir samada berbusana tradisi ataupun tidak. Ramai juga yang adalah kawan-kawan baru yang saya perolehi sejak mengasaskan HIKMAH iaitu 3 bulan lalu.








Antara persembahan yang paling ditunggu adalah demonstrasi memanah. Semoga kumpulan yang setahu saya diterajui oleh sahabat dari tariqat Naqsyabandiah-Haqqani iaitu Sheikh Fuad ini turut dapat memeriahkan acara ketiga yang akan diadakan pihak saya iaitu HIKMAH III di Lumut, Perak 27 Januari ini. Rujuk artikel HIKMAH acara ketiga diadakan di Lumut 27 Januari blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).



Acara ditutup selepas lebih kurang jam 5.15 petang dengan guru-guru persilatan tua dan muda dijemput masuk ke gelanggang beramai-ramai.


Mereka pun diminta membuat langkah sembah menurut perguruan masing-masing.


Selepas itu semua peserta diminta membuat bulatan besar.




Ish... saya ambil gambar bulatan dari beberapa sudut tetapi terlupa hendak mengambil gambar orang bersalam-salaman sambil berselawat.


Sungguh, dapat dirasakan semangat ukhuwah perjuangan persilatan ketika sesi ini berlaku. Saya dapat melihat beberapa orang terharu sehingga menitiskan air mata. Tahniah kepada peneraju DSSM, tuan Sahruddin Esa kerana berjaya menganjurkan acara penuh makna ini. Tuan adalah antara orang yang paling awal menyokong HIKMAH ketika ia mula diwar-warkan 3 bulan lalu. Harap tuan dapat membawa kawan-kawan turut memeriahkan HIKMAH III di Lumut nanti.