Jumaat, November 30, 2012

Menyambung Melaka dengan Aceh - Misi menyelamatkan tapak kerajaan lama Lamuri

Seminggu lalu saya telah membuat artikel bertajuk Bersiap untuk acara HIKMAH di Melaka Ahad 25 Nov sebagai persediaan untuk acara yang akan diadakan 3 hari selepas itu. Kini acara sudah berjaya dilaksanakan. Saya tidak mahu memanjangkan ceritanya di sini. Cukuplah diberikan links untuk artikel-artikel berkaitan yang telah ditulis di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) :-







Sekarang masuklah kita ke cerita hari berikutnya...


Isnin 26 November. Setelah check out atau melaporkan keluar daripada pangsapuri tempat kami menginap iaitu Casa Lago kami anak beranak menuju ke persekitaran A Famosa untuk berjalan-jalan sebentar. Lihat artikel Rasyid's visit to the A Famosa and its surrounding blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Selepas itu kami diikuti seorang kawan yang membentang semasa acara bersama keluarganya untuk ke Muar yang baru sahaja diisytiharkan penuh rasmi sebagai bandar diraja hujung minggu. Turut serta adalah tiga orang wakil dari Aceh yang dibawa untuk menyerikan majlis. Ketika keluar dari pusat bandar raya Melaka terlihat pula Bukit Senjuang. Kami pun naik bukit. Lihat Bringing the Aceh delegates to Bukit Senjuang.


Memang saya mahu membawa mereka singgah ke beberapa tempat dalam perjalanan. Antaranya adalah jeti Anjung Batu, tempat menaiki feri untuk ke Pulau Besar.


Dari situ kami mengambil jalan kampung ke Merlimau lalu singgah di makam ini. Lihat Visiting the tomb of Tun Teja.


Oh. Sebelum ke Anjung Batu kami ada singgah di Masjid Umbai dan makam Sultan Ali tetapi saya tidak mengambil gambar. Sejurus sebelum menghampiri pekan Merlimau kami singgah di rumah tradisional ini. Lihat artikel Galeri (Gallery of) Demang Abdul Ghani, Merlimau di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Selepas itu kami masuk ke negeri Johor melalui jalan lama. Singgah sebentar mengambil gambar di hadapan replika gergasi beca Muar yang terletak di tepian Sungai Kesang.


Dalam perjalanan seorang pemuda Aceh ada bertanyakan tentang perkataan Bentayan yang dilihatnya di Melaka, kalau tak salah ketika melawat sebuah muzium pada pagi hari. Saya memberitahu Bentayan adalah nama satu tempat di Muar. Pemuda Aceh itu memberitahu perkataan Bentayan dalam bahasa Aceh pula bermaksud kuarters tentera. Saya pun membawa mereka ke tapak kubu Bentayan di stesyen bas antara bandar Muar.


Selepas itu saya membawa mereka menuju ke Tanjung Emas melalui bulatan ini. Semasa saya kembali untuk menyambut Hari Raya Haji di kampung ibu bangunan pada bulatan yang melambangkan taraf diraja Muar belum siap lagi.


Di Tanjung Emas atau lebih dikenali sebagai tanjung sahaja kami makan tengah hari lewat sebelum berehat sebentar di tepian Sungai Muar.


Kami melawat rumah ibu bapa saya di Kampung Temiang. Selepas jam 8 gitu kami ke Kampung Raja di Pagoh untuk menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Shah. Lihat The tomb of Sultan Alauddin Riayat Shah of Melaka at night.


Esok hari Selasa kami membawa wakil Aceh ke Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya untuk bertemu dan berkenalan dengan cendekiawan terkenal, Profesor Dato' Dr Othman Yatim.


Kami mahu Profesor Othman mengambil tahu tentang satu hal yang berlaku di Aceh. Sebuah tapak pusat kerajaan lama bernama Lamuri baru ditemui setahun dua lalu tetapi mahu dijadikan padang golf oleh pihak yang berkepentingan. Kami tidak mahu tapak sejarah yang sangat penting ini hilang ditelan kerakusan orang.


Selepas berbual panjang lebar berkongsi hal keadaan dan memikirkan cara terbaik untuk bertindak beliau menghadiahkan tiga naskah buku tulisannya tentang batu nesan Aceh.


Bergambar kenang-kenangan...


Kemudian kami pergi ke Jabatan Muzium Negara untuk bertemu seorang kenalan saya dan isteri yang mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.


Sekali lagi hal tentang Lamuri ditonjolkan panjang lebar.




Nampaknya Muzium Negara lebih tertarik dengan apa yang diketengahkan apalagi apabila ditunjukkan kewujudan sejumlah artifak yang memiliki nilai tinggi sejarah sehingga seorang pegawai atasan yang lebih berpengetahuan dibawa masuk perbincangan.




Bergambar buat kenangan. Ketika ini satu persefahaman dan persetujuan yang jitu sudah dibentuk, cuma menunggu untuk menjadi jalinan rasmi yang disokong surat-menyurat.


Malamnya pula kami berada di Universiti Industri Selangor ataupun UNISEL untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman tentang Aceh.


Sejumlah pelajar sini mahu melakukan ekpedisi dari Medan ke Banda Aceh, katanya untuk mengikut jejak pengembara terkenal Arab dahulukala iaitu Ibnu Batutah.


Mereka mahu mendapatkan nasihat tentang bagaimana cara terbaik membuat perjalanan sambil menziarahi tempat bersejarah penting sebanyak yang boleh.


Saudara Mujib sempat mendendangkan Syair Perahu untuk tatapan semua.


Ini pula keadaan di Masjid Besi, Putrajaya pada hari Rabu... selepas saya menghantar wakil dari Aceh kembali dengan penerbangan pagi dari LCCT Sepang. Sebelum itu saya sempat membawa mereka berjalan-jalan melihat Putrajaya termasuk ke bukit di Presint 4 yang katanya penuh misteri dan mistik. Lihat artikel lama Artikel ke 535 di sini, jalan di Putrajaya dan kaitan kerajaan lama dengan kerajaan akhir zaman?. Apabila disemak kembali isi artikel yang dibuat lebih 3 tahun lalu itu, ternyata nama Lamuri ada disebut untuk dikaitkan dengan Putrajaya!

Oh. Selepas menghantar mereka saya terasa penat yang amat sangat lalu terlelap di masjid. Selepas Maghrib di rumah saya terlelap panjang lagi. Begitu penat saya kebelakangan ini mengatur pelbagai perkara berkenaan HIKMAH. Kini setelah melepaskan cerita di blogspot dan lewat Jumaat malam Sabtu dapat memperhalusi 10 perkara hasil maklum balas peserta HIKMAH yang mahu diserahkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam pada Pertemuan Busana Tradisi & Pendekar Melaka di perkarangan Muzium Budaya @ replika istana lama Melaka di sebelah pintu gerbang A Famosa hari Ahad, saya terasa begitu lega. 

Untuk pengetahuan gambar-gambar pada artikel ini diletakkan awal pagi Jumaat. Sekitar 24 jam selepas itu baru teksnya menyusul. Sekian selamat malam. Untuk makluman awal pagi Sabtu saya dan keluarga harus berkejar ke Perpustakaan Negara untuk mendirikan gerai buku di bawah program Car Book Sale anjuran Perbadanan Kota Buku 9 pagi hingga 2.30 petang, kali ini sempena Pekan Sehari Buku & Festival Buku Kanak-kanak yang dianjurkan pihak perpustakaan.