Ahad, Mei 06, 2012

Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Sneak preview

Di hadapan pintu ke makam Sunan Gunung Jati malam semalam...




Assalamualaikum para pembaca yang dihormati sekalian. Pada bahagian akhir artikel Mari ke Pesta Buku KL 2012 di PWTC yang dibuat 9 hari lalu ada disebut saya cuma dapat menghadiri pesta buku buat 2-3 hari terawal kerana mahu membuat satu perjalanan jauh yang mencabar selepas itu. Sekarang pesta buku telah pun tamat iaitu jam 9 malam 6 Mei tadi sedangkan perjalanan yang dimaksudkan telah berjaya dilaksanakan sekurang-kurangnya untuk satu peringkat. Maka itu sukacita dimaklumkan, saya dan isteri dan anak-anak telah menziarahi makam kesemua Wali Songo yang sangat terkenal di Pulau Jawa itu. Kami juga dapat menziarahi sejumlah makam para wali lain juga makam beberapa orang raja/ahli keraton/kerabat diraja di situ juga di Pulau Madura.

Perjalanan dimulakan pada Hari Buruh iaitu Selasa 1 Mei apabila kami mengambil pesawat ke Surabaya lalu bermalam di Ampel, berdekatan makam Sunan Ampel. Esoknya kami masuk ke Pulau Madura sebelum pergi ke Gresik lalu menziarahi makam Sunan Gresik @ Maulana Malik Ibrahim dan Sunan Giri sebelum bermalam di sebuah pesantren yang diketuai seorang keturunan Sunan Giri, dalam kawasan yang pernah menjadi pusat pemerintahan Giri atau lebih dikenali sebagai Giri Kedaton. Khamis kami mengorak langkah menghala ke Tuban untuk menziarahi makam Sunan Drajat diikuti Sunan Bonang. Lewat malam Jumaat kami naik ke puncak Gunung Muria yang katanya terletak pada ketinggian 1,600 meter dari paras laut, hampir mendekati ketinggian Genting Highlands (1,800 m)... untuk menziarahi makam Sunan Muria sebelum ke Kudus tempat Sunan Kudus. Kemudian baru ke Demak menziarahi makam Sunan Kalijogo lalu berehat di Masjid Agung Demak yang didirikan para Wali Songo di mana terdapat makam Raden Fatah, Sultan pertama Demak dan kaum kerabatnya.

Siang Jumaat kami ke Semarang sebelum berehat di Pekalongan, kota pusat batik bagi seluruh Indonesia. Adapun Pekalongan adalah tempat asal moyang saya sebelah Jawa, ayah kepada ibu kepada ibu saya. Itulah orangnya yang ceritanya dijadikan asas kepada buku terbaru saya. Lihat artikel Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia. Di situ kami anak beranak dapat menziarahi makam seorang ulamak besar Ahlul Bait yang dikenali sebagai Habib Ahmad.

Oh, biar diberitahu antara nama-nama besar hamba Allah yang makamnya sempat kami ziarah adalah Ibrahim Asmoro, bapa kepada Sunan Ampel, Dewi Sekardadu iaitu ibu kepada Sunan Giri dan Fatimah binti Maimun yang makamnya bertarikh bersamaan 1080an Masihi diakui sejarawan sebagai bukti terawal kedatangan Islam ke Pulau Jawa iaitu 400 tahun lebih awal daripada kemunculan Wali Songo. Dari Pekalongan baru kami ke Cirebon lalu menziarahi makam Sunan Gunung Jati malam semalam. Dengan itu selesailah proses menziarahi makam setiap Wali Songo. Kami pun berkejar ke Jakarta untuk berehat sebelum memulakan fasa baru perjalanan.

Adapun kami sampai ke Jakarta sebelum 2.30 pagi waktu tempatan lalu berehat di stesyen kereta api,  siang tadi baru mencari penginapan yang lebih selesa. Bayangkan kami anak beranak berjalan sendiri, bukan mengikut apa-apa kumpulan perjalanan atau pun jemaah, tiada tour guide untuk menunjukkan arah, tiada rombongan untuk kami tumpang berlindung. Dengan kuasa dan penjagaan Allah jua, saya dan isteri bersama anak-anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid yang berumur 2 setengah tahun serta adiknya Muhammad Alauddin Johan yang baru sahaja berumur 2 bulan setengah dapat mencapai tujuan. Bayangkan kami berjalan lasak membawa 2 haversack besar dan satu kecil berjalan sudah hampir separuh pulau, boleh pula tidur di stesyen kereta api di Jakarta sedangkan inilah kali pertama kami semua sampai ke Jawa. Lihat sendiri dalam peta bagaimana jauhnya Surabaya ke Jakarta. Bayangkan...

Alhamdulillah, pagi tadi saya dapat menyelesaikan hajat utama saya membawa anak-anak dan isteri ke Jakarta iaitu untuk menziarahi makam Sultan terakhir Aceh, Sultan Muhammad Daud yang dipaksa turun dari takhta oleh penjajah celaka Belanda 1904 sebelum mangkat dalam buangan/tahanan di sini 1939. Oh, saya menulis artikel ini disebuah Warnet (warung Internet) di tengah kota Jakarta. Adat saya menulis, jarang sekali mahu menyebut perancangan perjalanan akan datang. Sebaliknya saya menjadikan amalan agar hanya bercerita setelah sesuatu perkara itu selesai.

Kalau nak tau itulah petua besar agar kita dapat melaksanakan banyak perkara walaupun dipandang berat di mata orang. Biasakan bercakap hanya setelah sesuatu perkara itu terlaksana, tahu rasa malu dan sedia menutup mulut kalau kata-kata belum dikota. Kalau kita selalu bercakap tentang rancangan masa hadapan ditakuti kita akan bercakap dan terus seronok bercakap sahaja. Tetapi perkara yang dicakap itu terus tidak terlaksana walau beberapa tahun sudah berlalu seperti dilihat sering berlaku dalam kalangan generasi muda yang suka sangat berbincang hal-hal yang kelihatan hebat di Internet. 

Oh. Kalau ada sesiapa terfikir kami dapat berjalan ni disebabkan poket 'lebat', ketahuilah bahawa anda silap. Dari Surabaya hingga ke Demak sahaja kami ada menyewa kereta, selebihnya menaiki berbagai jenis pengangkutan awam termasuk, bas, van dan beca. Kalau banyak duit mengapa sanggup bermalam di stesyen kereta api sehingga siang tadi. Tapi kalau ada banyak duit pun besar kemungkinan kami tetap bermalam di stesyen. Ini kerana satu tidak mahu membazir duit membayar sewa rumah penginapan bagi satu malam sedangkan masuk begitu lewat selepas jam 2.30 pagi. Kedua. Sebetulnya ini adalah satu pengalaman berharga. Sama ada berduit atau tidak saya tetap akan mengajar keluarga supaya cukup lasak boleh menerima keadaan sebegini supaya menjadi orang berani yang kurang dipengaruhi kepentingan dunia.


Nota tambahan (dibuat pada 24 Ogos 2021) : Entah kenapa hari ini tergerak untuk menyemak kedudukan sebenar makam Sunan Muria. Memang ia terletak di puncak Gunung Muria tetapi bukan di puncak paling tinggi lebih 1,600 m dari paras laut seperti dinyatakan di satu perenggan atas. Sebaliknya ia terletak di suatu puncak yang memiliki ketinggian sekitar 854 m dari paras laut.