Isnin, Mei 31, 2010

Medan elektrostatik Atlantis?



Assalamualaikum semua. Hujung minggu baru ini saya telah membawa isteri dan anak berjalan jauh lagi ke beberapa tempat. Kiranya nak ganti balik le masa sebab hujung minggu lalu dan hujung minggu sebelum itu saya telah keluar outstation meninggalkan mereka untuk membuat projek buku keretapi. Lihat beberapa artikel sebelum ini. Perjalanan hujung minggu baru ini boleh dikatakan kesinambungan untuk perjalanan ke Perak bulan April membawa anak kami Muhammad Al-Aminul Rasyid menziarahi makam-makam lama. Lihat Siri "Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak" complete!. Ini kerana selain keluar makan angin, kami juga mengambil peluang untuk menziarahi makam-makam yang ada sepanjang perjalanan.

OK. Rancangan asalnya adalah untuk membawa keluarga bercuti ke Lumut dan Pulau Pangkor. Alang-alang dah ke situ, elok juga singgah ke Beruas dan kalau dah ke sana, elok juga pusing mengikut laluan Pantai Remis dan melihat sekelilingnya sebelum kembali ke Lumut. Oleh kerana kami pergi ke Lumut melalui Kuala Selangor iaitu laluan Pantai Barat, kami juga singgah di Sabak Bernam. Di sebelah sini ada beberapa kawasan yang saya belum pernah sampai seperti Bagan Nakhoda Omar dan Sungai Lang yang terletak di muara Sungai Bernam. Pendek kata kami singgah bermacam-macam tempat.

Antara tempat-tempat ini ada beberapa yang agak misteri. Misalnya makam yang dikatakan milik Puteri Bunian di dalam hutan di satu lereng bukit. Namun rasanya ada tempat yang lebih menarik untuk mereka yang minat yang akan perkara-perkara pelik. Misalnya ada pantai menghadap ke laut di mana di laut berhadapan itu kata sesetengah orang terdapat sebuah kota yang mirip dengan pusat kerajaan purba dongengan Atlantis malah mungkin pusat Atlantis itu sendiri! Dan katanya ia masih boleh dilihat dengan mata batin.

Semasa kami sampai di tempat ini isteri saya menegur kenapa rambut saya kelihatan ternaik meninggi tapi jarang-jarang. Nak kata angin, bukan rambut saya tak pernah kena tiup angin kuat... takda le begini keadaannya. Lihat betul-betul gambar di atas. Kemudian isteri saya membuka tudungnya. Tengok-tengok rambutnya yang panjang sehingga ke bawah pinggang pun boleh ternaik sampai ke atas. Masyaallah! Tapi saya tak boleh le tunjuk gambar itu.

Di bawah adalah satu klip video yang memaparkan keadaan di tempat misteri ini. Lihat betul-betul. Apapun cerita tentang perjalanan terbaru ke Perak ini cuma akan dilepaskan setelah satu waktu nanti. Ada cerita-cerita "Projek buku keretapi" yang belum dilepaskan... untuk pengetahuan hujung minggu lepas saya pergi menaiki keretapi sampai ke Hatyai. Awal pertengahan bulan Jun ini pula kami sekeluarga dijadualkan untuk ke satu tempat di luar negara (bukan Aceh) kerana ada acara yang melibatkan susur-galur keturunan. Tapi tak tahu le. Ada kemungkinan ia harus ditunda ke penghujung tahun, wallahualam. Pendek kata memang cerita-cerita terbaru Perak (dengan Selangor juga, tapi Sabak Bernam pun dahulu sebahagian dari Perak...) akan dipaparkan bukan dalam masa terdekat. Oh, ini adalah artikel ke 686 di blogspot ini. Sekian...