Selasa, Oktober 06, 2009

Gambo lama Sekolah Sains dan rancangan bercerita seterusnya...

Assalamuaikum semua. Sudah lebih 2 minggu saya tidak membuat apa-apa posting di mana-mana blogspots, rasanya sudah sampai masa untuk memecah kesunyian. Sudah 2 minggu juga kita beraya, takkan le masih terkapai-kapai kelesuan akibat makan ketupat, sate dan pergi open house bukan? Takkan nak terus biarkan blogspots tidak tercuit. Takkan asyik nak baca artikel terakhir Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur... yang dibuat penghujung bulan puasa...

Di atas ini adalah gambar lama tahun 1985 ke 1986 gitu... ketika saya masih di Tingkatan Tiga (atau empat?), Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang. Cuba teka yang mana satu saya. Gambar ini baru saya temui tadi. Terima kasih kepada seorang kawan lama, Hairul Hafizi yang sudi meletakkannya di dalam Face Book baru siang tadi. Untuk makluman, kami baru berhubung kembali melalui FB tak sampai seminggu pun... setelah 23 tahun tidak mendengar apa-apa khabar berita!

OK. Saya ada beberapa cerita yang ingin dilepaskan berdasarkan apa yang berlaku kebelakangan ini. Biar disenaraikan ikut nombor ala-ala perenggan dalam blog Tun Mahathir @ Che Det gitu.

1. Cerita Linggi dan Kuala Linggi... satu pencarian makam lama berdasarkan petunjuk yang diberi melalui satu komen di blogspot ini. Walaupun sudah cuba mencarinya ketika awal bulan puasa tetapi yang ditemui sebuah makam lama lain yang turut bermakna. Baru hujung minggu ini ke sana lagi dan terjumpa makam yang dimaksudkan, di atas Bukit Supai di mana terdapat bekas sebuah kota lama yang dibina angkatan tentera Bugis dan Belanda.

2. Cerita perjalanan terbaru ke Pantai Timur yang dibuat hampir pertengahan bulan puasa. Yang ni harus panjang dan bersiri kerana melibatkan banyak lokasi seperti Tasik Kenyir, Kuala Berang, Kuala Terengganu, Masjid Kristal dan boleh kata semua makam-makam lama orang-orang terkemuka seperti para raja dan ulamak bertaraf wali di sekitarnya. Juga melibatkan Kota Bahru, Masjid Kampung Laut, air terjun Kelawang di Gunung Stong, jalan Dabong ke Gua Musang, Cameron Highlands and Kuala Medang di Pahang selain Lata Kinjang dan Chenderiang di Perak.

3. Berkenaan Hari Raya itu sendiri terutama peristiwa sekitar perkahwinan seorang sepupu perempuan dengan jejaka dari New Zealand yang telah menetap di Australia, diadakan pada hari raya ketiga. Sebenarnya sepupu ini pun sudah lama menetap di negara sama, nampaknya terus sangkut le.

Hmm... baru hujung tahun lepas ke awal tahun ini, seorang sepupu lain telah berkahwin dengan seorang jejaka Amerika. Dua tiga tahun sebelum itu, kakak kepada sepupu yang baru sangkut dengan jejaka Australia pula telah berkahwin dengan seorang pemuda Albania yang keluarga sudah menjadi warga negara Amerika, kini sudah mendapat seorang anak.

Kebetulan pula hujung minggu lalu di Muar, terjumpa gambar lama seorang sepupu ke dua pupu gitu kepada ibu sedang bersanding dengan seorang wanita England, dalam tahun 1961 gitu. Cuma perkahwinan itu akhirnya gagal sehingga ibu pernah berpesan ketika saya mahu berlepas melanjutkan pelajaran ke England, jangan berkahwin atau sangkut dengan orang putih! Ibu tak restu...

4. Perkahwinan sepupu pada raya ketiga ini telah mengumpulkan 4 generasi keluarga besar sebelah ibu. Dari situ tercetus idea untuk mengumpul butir salasilah keluarga belah ini yang lebih dikaitkan dengan bangsa Jawa. Ini membuat saya lebih banyak mengambil tahu hal-hal keluarga berbanding dahulu. Misalnya, baru tahu, keluarga seorang bapa saudara ibu di Singapura terdiri daripada 19 orang anak seibu sebapa, belum dicampur peringkat cucu dan cicit lagi.


Ibu saya sendiri mempunyai 11 orang adik. Daripada adik-adik ini muncul sepupu-sepupu terdekat yang berjumlah 50 orang gitu dan separuh dari mereka sudah mempunyai anak-anak sendiri. Jumlah mereka semua bercampur isteri/suami hampir 100 orang! Cuba bayangkan kalau dikumpul 4 generasi keluarga keturunan datuk kepada ibu yang berasal dari Pekalongan, Jawa. Saya percaya tidak kurang 500 orang mesti ada...

Kalau dicampur dengan datuk kepada ibu itu, cerita keseluruhan keluarga melibatkan 5 generasi. Tentu ada yang menarik bukan sekadar untuk kami sekeluarga tetapi juga untuk para pembaca umum kerana perkembangan keluarga ini meliputi sekitar 120 tahun sejarah Tanah Jawa, Singapura, Muar, Johor malah seluruh Semenanjung Tanah Melayu! Selama ini saya lebih banyak bercerita tentang keluarga sebelah ayah di Perak yang berkait dengan Aceh dan Bugis sedangkan ayah kepada ibu juga berdarah Bugis. Sekarang sampai masanya untuk merungkai darah Jawa yang muncul melalui ibu kepada ibu, setelah beberapa lama saya kelihatan seperti anti-Jawa akibat pembantaian yang dibuat oleh Jakarta terhadap orang Aceh sekian lama.


Dengan ini saya rasa cukuplah bercerita buat masa ini. Datang angin lagi nanti Insyaallah akan saya kembangkan dahulu cerita Linggi. Untuk makluman ini adalah artikel ke 575 di blogspot ini. Sekali lagi, selamat hari raya! :]