Selasa, Disember 05, 2006

Babussalam sekarang?

Lagi sambungan daripada novel "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" karangan Radzi Sapiee...

Sayangnya, pada pengamatan Rasyid, Babussalam sekarang bukan lagi seperti zaman Sheikh Abdul Wahab atau mungkin zaman Pak Su, ketika mereka yang menerajuinya masih ikhlas memartabatkan Islam serta meningkatkan kefahaman untuk mengenali kewujudan Tuhan. Sebaliknya ia sudah berbau materialistik dan kurang jujur, sudah menjadi tempat berjual-beli amalan agama dan ayat-ayat Al-Quran untuk mendapatkan kekuatan rohani yang boleh memberi kelebihan dalam mencari duniawi...
Pencari dan pencinta kebenaran ini dapat merasakan nama besar almarhum sudah dijadikan penarik rezeki... Kampung itu telah menjadi kilang cop duit lebih daripada tempat melahirkan penganut Islam yang tulin. Sepertimana Istana Maimon di Medan sudah menjadi semacam muzium tempat kerabat diraja menagih pendapatan, Babussalam juga sudah dijadikan sumber sara hidup mereka yang mewarisinya.
Ini menjadi nyata apabila Rasyid masuk ke dalam bangunan makam yang agak mewah dengan rupa seakan-akan bangunan makam diraja Perak di Bukit Chandan. Ketika itu ada lah sekitar enam orang pengunjung menunggu hendak menziarahi makam Sheikh Abdul Wahab. Tetapi setiap seorang perlu melepasi penjaga makam terlebih dahulu, tidak boleh terus ke sana walaupun setakat untuk menghadiahkan Surah Fatihah.
Penjaga itupun bertanyakan hajat mereka ke sana, apakah bantuan yang perlu atau masalah yang dapat diselesaikan dengan berkat karamah almarhum sebagai seorang wali Allah dan Khalifah Tariqat Naqsyabandiah. Lalu seorang demi seorang mendekatinya menyatakan apa yang terbuku di hati sebelum beliau membacakan doa, kemudian memberi jaminan apa yang dirunsingkan atau dihajati akan selesai atau ditunaikan Insya’allah tidak lama lagi. Setiap seorang pun menghulurkan segulung duit kepada penjaga makam sebelum berlepas pulang...
Rasyid tidak gemar melihat semua ini kerana merasakan ia tidak bertepatan dengan konsep ajaran Tasawuf sebenar yang di bawa Sheikh Abdul Wahab atau mana-mana guru mursyid yang menekankan pembentukan insan Islam sejati. Tetapi pemuda itu tetap menghulurkan sedikit wang kerana terpaksa menuruti adat, tidak mahu mahu kelihatan lokek ataupun biadab lebih-lebih lagi kerana dia adalah orang luar, kali pertama berkunjung ke sana dan ada niat untuk bermalam di Babussalam.

—————————
“Kamu ini Rasyid... Takkan itupun salah,” tegur Razak, seorang pemimpin muda yang baru menceburkan diri ke dalam arena politik peringkat tinggi tanah air selepas mendengar cerita pemuda itu tentang kepincangan yang dilihatnya di Babussalam. Pada lulusan Undang-undang Syariah universiti tempatan yang sudah lama bergiat dalam persatuan-persatuan pelajar Melayu peringkat kebangsaan dan biasa memegang jawatan tinggi ini, semua itu adalah perkara biasa. “Takkan orang hendak bagi duit pun tidak boleh,” katanya. “Bukannya mencuri ataupun merompak. Bukankah mereka memberi secara ikhlas?”.
Rasyid terdiam sejenak. Apakah orang ini tidak dapat melihat ada sesuatu yang tidak kena dan tidak patut tentang amalan ini? Atau ia sudah menjadi kebiasaan orang Melayu zaman moden langit terbuka sekarang terutama dalam dunia politik yang menghalalkan banyak perkara?
“Memanglah tidak salah menderma atau menghadiahkan wang,” anak muda itu membuka kata-kata. “Tetapi seperti di Istana Maimon, sumbangan ‘ikhlas’ yang diharapkan rupanya ada nilai minimum, tidak boleh kurang daripada jumlah yang tertentu. Walaupun ini tidak dinyatakan secara terang, aku dapat membaca renungan dan air muka penjaga makam. Tahu kalau jumlah yang diberi tidak mencukupi dan memuaskan hati. Nampak sangat air-mukanya tidak senang! Itu baru dalam makam... Belum dikira lagi dua tiga orang yang duduk menghulur tangan di pintu masuk makam mengharapkan bahagian masing-masing.” Rasyid meneruskan.
Perkara sebegini berlaku lagi bila dia masuk ke Masjid Babussalam. Selepas menunaikan solat Asar berjemaah, anak kelahiran Muar, Johor itu telah merapati seorang tua yang berpakaian lengkap berjubah berserban untuk menyatakan hasrat untuk bermalam di kampung itu, kemungkinan besar di dalam bangunan masjid. Orang tua itupun menunjukkannya kepada pembantu masjid yang berjanji akan membawanya berjumpa tuan guru dan Khalifah yang memimpin Kampung Babussalam. Tetapi kenalah menunggu sehingga petang kerana beliau ada urusan di Medan...
Selepas duduk ‘menonong’ sehingga Maghrib, Khalifah yang ditunggu pun sampai. Pembantu masjid menyuruh anak Malaysia itu bersedia di sebuah ruang bersebelahan masjid, kemudian berbisik: “Sediakan sedikit uang, untuk tuan guru.” Rasyid tersentak tetapi menyembunyikan reaksi. Baru hendak berjumpa sudah kena sediakan wang? Tidak apalah, dia standby... Sediakan 10,000 Rupiah dalam tangan.
Selepas itu, pembantu tadi boleh bertanya lagi, tidak ada duit lebihkah? Lalu tersenyum membuat isyarat meminta wang. Pemuda itu menjawab dia cuma seorang musafir yang merempat dari satu tempat ke satu tempat, tidak ada duit banyak. Sudahlah tadi baru ditekan 20,000 Rupiah naik beca hendak ke sini, dalam masjid pun nak ‘kena’ juga ke?
Bila datang tuan guru dan Khalifah, sekali lagi Rasyid tersentak. Beginikah muka Khalifah Naqsyabandiah, anak cucu Sheikh Abdul Wahab yang mewarisi Babussalam? Mukanya kelihatan muram, kelat dan masam, garang pun ada. Jauh bezanya dengan orang tua yang ditemui selepas Asar tadi, orang yang kelihatan begitu tenang, bersih dan menyenangkan. Jika orang tua itu memiliki aura orang kuat agama yang dapat dirasakan, manusia di hadapannya pula terasa seperti orang kuat makan, jauh sekali hendak menjadi Khalifah Tariqat yang memimpin beribu, mungkin berpuluh ribu orang untuk meningkatkan taraf insan...
Tetapi itulah kenyataannya. Hamba Allah yang nampak bengis semacam inilah Khalifah Babussalam, pemimpin pusat kerohanian yang tersohor di wilayah ini. Apapun, Rasyid tetap perlu berurusan dengannya. Dia pun menghulurkan tangan untuk bersalaman kemudian meminta maaf kerana mengganggu. Pemuda itu dapat melihat orang ini sedang mengejar sesuatu urusan, nampak sangat tergesa-gesa mahu meninggalkan tempat itu. Lalu dia sekadar memberitahu ingin menumpang satu malam.
Selepas meneliti muka Rasyid seketika, tuan guru dan Khalifah itu mengangguk lalu menyuruhnya bertanya pembantu masjid di manakah tempat tidurnya nanti. Pemuda itupun menghulurkan tangan sekali lagi lalu mengucapkan terima kasih dan meminta diri, sambil menghulurkan duit 10,000 Rupiah yang sudah disediakan dalam poket sejak dari tadi...
Khalifah Babussalam memandang mukanya lagi, kemudian bertanya: “Apa ini?” Pemuda itu memberitahu pembantu masjid yang suruh beri.
Khalifah itu kata tak payah, kemudian terus beredar. Tidak taulah mengapa tak mahu. Adakah kerana dia tidak pernah meminta, pembantu masjid sahaja yang buat cerita atau wang 10,000 Rupiah yang nilainya tidak sampai RM5 itu terlalu kecil? Kalau ya pun apalah salahnya senyum sedikit? Takkanlah itupun tak boleh? Susahlah kalau seorang Khalifah tariqat suka bermasam muka walaupun sibuk mengejar urusan. Bukankah Islam menganjurkan supaya kita mempamirkan rupa manis walaupun ketika sedang mengalami masalah? Apatah lagi jika ada pengajian Tasawuf...
Rasyid teringat perbualan dengan beberapa orang penduduk Kampung Babussalam yang ditemui sebelum Maghrib. Mereka yang juga dari berasal dari keturunan Sheikh Abdul Wahab memberitahu, Khalifah sekarang bukanlah orang sepatutnya dinaikkan memimpin pusat kerohanian itu. Ada orang yang lebih layak tetapi tersisih daripada jawatan.
Malah sebelum hamba Allah ini naik lagi ramai anak cucu almarhum sudah berebut mahu menjadi Khalifah. Hendak menjadi pemimpin gah yang tangannya sentiasa dicium penuh hormat, selain mengaut keuntungan hasil nama besar Babussalam yang masih mampu menarik ramai pengunjung yang sedia menaburkan ‘sumbangan ikhlas’ sampailah sekarang.

—————————

“Lepas Isyak, sekali lagi aku melihat duit menjadi permainan biasa di Babussalam,” Rasyid memberitahu Razak. “Seorang guru telah memberi sebuah ceramah Fiqah, adalah lebih sejam. Selesai sahaja ceramah yang aku rasa tidak seberapa itu, seorang demi seorang pendengar bangun ke hadapan lalu mencium tangannya dan menghulurkan sejumlah wang.”
Razak terdiam sejenak memikirkan keadaan itu. Dia cuba membayangkan apakah yang sebenarnya dilihat rakannya kemudian berkata: “Hmm... Aku pun tak tahu nak kata. Tapi takkanlah dia tak boleh menerima duit? Bukankah itu tanda hormat, tanda ceramahnya dihargai?”
“Fair enough,” jawab Rasyid. “Tetapi aku tetap tidak bersetuju. Pada aku, orang yang betul-betul memperjuangkan agama akan mendapat rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka seperti yang tersebut dalam ayat 2 dan 3 Surah at-Thalaq atau Ayat Seribu Dinar. Tidak perlu menggunakan ceramah agama untuk sara hidup lebih-lebih lagi di sebuah masjid yang dikaitkan dengan seorang wali yang diketahui memiliki banyak karamah.”
“Kamu tidak rasa pandangan kamu ini rigidkah?” Razak menegur. “Terlalu keras. Tidak memberi peluang orang berceramah buat duit ?”
“Memang aku rigid, “ jawab anak muda itu. “Sebab ini boleh dikira perkara yang diperbolehkan tetapi boleh membawa kepada yang haram. Disebabkan penceramah boleh mendapatkan duit dari jemaah, disebabkan pak imam, bilal dan tok siak boleh memperolehi allowance dengan rumah free lah maka orang zaman sekarang sanggup berebut kedudukan dalam jawatankuasa masjid sampai sanggup bergaduh, bertumbuk pun ada!”
Razak mula tidak senang duduk. Seolah-olah kata-kata itu terkena batang hidungnya . Mungkin kerana perkara sebegini memang terlalu biasa dalam dunia politik yang memenuhi hampir setiap ruang waktunya? Dan mungkin juga dia terlibat sama, sudah biasa memberi ‘sumbangan ikhlas’ atau menerima ‘tajaan’ tertentu daripada pihak-pihak yang berkepentingan demi untuk maju dalam dunia serba palsu itu?
“Bila sudah terbiasa hidup dengan hasil duit masjid, wang pungutan derma pun boleh diagih-agihkan untuk belanja anak isteri,” Rasyid meneruskan tanpa menghiraukan rakannya yang sudah mula berpeluh. “Sudah tidak ada lagi rasa bersalah kerana pada mereka ini semua rezeki. Boleh dihalalkan dengan menggunakan nas-nas Al-Quran dan Hadis yang diputar-belitkan. Kononnya sebagai belanja untuk menguruskan wang derma rakyat, atau dengan memakai hak sebagai seorang amir...”
“Bukannya ini tidak pernah berlaku, malah sekarang berleluasa pula,” dia menambah. “Semuanya jadi halal apabila agama boleh dijual-beli, bila harta benda dan wang ringgit jadi matlamat, bukannya iman dan taqwa... Tidak ada keikhlasan dan kejujuran dalam hidup lagi. Jika wang zakat pun boleh disapu-bersih, harta anak yatim senang-senang digelapkan, tidak pun di‘pusing’kan dahulu di Bursa Saham, apalah hendak dihairankan tentang ‘sumbangan ikhlas’ yang diberi atas ‘kerelaan’ orang ramai walaupun hakikatnya mereka terpaksa memberi kerana menurut adat kebiasaan?”
Razak memandang jam tangannya. Rasanya belum sampai setengah jam dia berjumpa Rasyid tetapi terasa seperti berjam-jam pula...
“Macam rasuahlah juga, sudah menjadi perkara biasa,” anak muda itu terus meluahkan perasaan tidak puas hati. Lagilah rakan itu tidak senang duduk. Bukankah ini lumrah dunia politik tempatnya mencari makan?
“Nak hidup! Jaga periuk nasi aje, bukannya apa... Kalau tak suka dipanggil rasuah, panggil saja hadiah,” dia melepaskan geram. Geram akibat melihat dengan mata-kepala sendiri berbagai salah-laku yang telah mengorbankan kesejahteraan rakyat malah menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara. “Itu yang para penguasa atau menteri ada duit berjuta-juta dalam bank. Sebab selalu dapat ‘hadiah’! Kalau orang yang kononnya kuat beragama pun boleh buat menerima semua ini, apakan lagi orang yang solat dan puasanya setakat cukup syarat? Kira halal sajalah. Apa susah?”

—————————
Malam itu, Rasyid dijemput seorang pengunjung tetap Babussalam untuk tidur di rumah suluk berhadapan makam Sheikh Abdul Wahab. Hamba Allah sebaya ayah dan berasal dari Medan ini memberitahu itulah rumah suluk almarhum semasa beliau masih hidup, tempatnya menajamkan mata hati dan makrifat terhadap Allah Subhanahuwata’ala.
Pengunjung lain di rumah suluk itu yang berasal daripada pelbagai pelusuk Sumatera juga mengajak pemuda ini supaya duduk lebih lama. Kalau boleh 40 hari, paling kurang pun tujuh. Mereka seronok apabila mendapat tahu Rasyid orang Malaysia dan ingin mengenalinya lebih dekat. Memang terdapat warga Malaysia yang rajin datang ke Babussalam dan orang-orang di sini nampaknya sukakan orang Malaysia, tidak tahulah mengapa... Adakah kerana orang Malaysia banyak duit? Harap-harap tidak...
Tetapi pemuda itu menjawab dia tidak boleh duduk lama kerana ada rancangan lain. Mereka terus memujuk. “Kalau tak dapat lama, tiga hari pun jadilah. Kalau mahu merasakan kelebihan Babussalam...”
Rasyid cuma tersenyum sahaja. Katanya cukuplah satu malam. Melihatkan permainan duit yang tidak putus hari itu, dia merasa tidak selesa untuk menetap lebih lama tetapi tidak menyatakan apa yang terbuku dihatinya. Harus juga menjaga perasaan orang lain walaupun pemuda ini kadang-kadang mulutnya lancang...
Lagipun dia sudah menunaikan janji kepada diri sendiri untuk bermalam di Kampung Babussalam, sudah melihat sedikit-sebanyak isinya walaupun setakat satu malam. Sudah masuk pintu kesejahteraan walaupun ia sekarang bergelumang dengan permainan wang. Sekarang sampailah masanya untuk pemuda ini masuk ke daerah kesejahteraan. Maka target seterusnya adalah bermalam Jumaat, malam esok di Aceh Darussalam...

4 ulasan:

  1. sayang i jumpa blog ni after u visited Babussalam kalau tak boleh sampaikan salam i kat Sheikh Wahab.

    duit jadi mainan di Babussalam?? well, what can we say?

    nasihat i pada u, jgn hukum org atas ilmu dan fikiran u yg tak seberapa itu. biar Yg Maha Adil jadi Hakim, bukan kita, manusia yg penuh dgn salah dan dosa.

    just carry on with your search....eventually, as u go along, as u progress, u'll understand the reasons behind all that goes around you.

    Badrul :)

    BalasPadam
  2. Terimakasih. Saya cuma menceritakan menurut apa yang saya alami pada masa itu. Mungkin pada msa hadapan, saya akan melihatnya daripada sudut lain pula. :]

    BalasPadam
  3. rasyid.........

    rasyid.............

    memang benar kata kau besilam dulu dengan sekarang adalah berbeza kot dulu besilam adalh pusat kerohanian nusantara tapi sekarang hehehehe macam yang kau kata.......

    tapi yang kau pergi jumpa haji hasyim tu buat per........

    ngaperlah kau tak jumpa orang yang sepatutnya.........

    waris yang benar benar meneruskan tradisi syekh abdul wahab. yang benar benar ikhlas berjuang seperti mana syekh abdul wahab berjuang.......yang cuba mengembalikan besilam sekarang seperti besilam dulu........

    bukan pun jauh cuma sepelaung dua perjalanan jer......

    kot takder lagi orang ikhlas yang perjuangkan ajaran ajaran tinggalan tuan guru yang pertama nescaya beliau sudah dilupakan oleh manusia

    BalasPadam
  4. benar ke syeikh hasyim tu bukan pewaris babussalam? dah kaji sapa pewaris sebenar? dah jumpa guru2 mursyid yg HAQ di malaysia ni utk bertanya hal ni? hati2 la bila berckp yea.

    ttg rupa atau aura agama tu, jgn diambil pusing. apakah itu yg kita cari dan nilaian kita? apa syaitan itu tak boleh memberikan 'cahaya' yg berseri2 pada wajah kita? jgn terpedaya kerana iblis lebih halus tipuannya.

    rasyid dah berjumpa dgn org yg betul cuma sayang sbb pergi sorg. rasyid ni ada guru yg memimpin ke? sebaiknya sebelum pergi tanya dulu guru atau ajak sekali. kalau belum ada, carilah yea. masih ramai guru yg mursyid yg haq lagi ikhlas di malaysia ni.

    pergilah lagi sekali tapi dgn guru/org yg tahu keadaan dan silsilah pewaris babussalam tu. pergi ke sana dgn ada pemimpin berbeza dgn kita pergi sendirian. wallahua'lam.

    BalasPadam