Jumaat, Jun 27, 2025

Maal Hijrah 1447 bersama Merah Silu

Salam semua. Salam malam Jumaat. Salam Ma'al Hijrah. Adapun pada tarikh yang sudah masuk 1 Muharram 1447 Hijriah ini, tahun baru Islam, saya sedang berada di selatan Thailand lagi, setelah masuk dari Padang Besar pagi Rabu 25 Jun 2025 bersamaan 28 Zulhijjrah 1446 H. Namun apa yang hendak dikongsikan sebenarnya dibuat sebulan lalu.


Rabu malam Khamis 28 Mei 2025 bersamaan 1 Zulhijjah 1446 Hijriah. Isteri yang baru membeli satu alatan microphone yang boleh digunakan untuk menangkap suara masuk ke dalam video telefon bimbit mengajak mencuba bagi melihat keberkesanannya. Lalu saya mencadangkan agar dibuat live atau siaran langsung Tiktok. Topiknya adalah tentang siapakah saya, apakah pengalaman dan wawasan yang mendorong untuk berbuat itu ini terutama dalam mengkaji sejarah bangsa Melayu. Saya merasa perlu membuat penerangan kerana sejak beberapa bulan kebelakangan ramai menonton rakaman perkongsian kami tentang hal-hal berkenaan yang dimuatnaik dalam akaun Tiktok isteri. Sehingga ramai menyangkakan saya seorang Tiktoker. 

Sedikit sahaja dalam kalangan yang menonton tahu bahawa saya sebenarnya adalah seorang penulis yang sudah menghasilkan 15 tajuk buku selain sudah menulis 8,000 artikel blog menggunakan berpuluh kalau tidak beratus ribu gambar yang diambil sendiri dalam pelbagai keadaan terutama pengembaraan melibatkan penjejakan sejarah lama, sejak tahun 2006. Alhamdulillah siaran langsung yang dibuka secara ad hoc suka-suka itu mendapat sambutan meriah. Ternyata ramai yang mengikuti rupa-rupanya pernah membaca buku dan tulisan saya. Cuma selepas itu video tidak dapat dikekalkan di Tiktok dalam bentuk rakaman penuh hampir sejam. Yang dapat dikekalkan cuma bahagian-bahagian tertentu.

Selepas beberapa lama isteri mendapat tahu cara bagaimana video penuh dapat dimuatturun ke dalam telefon bimbitnya dari Tiktok. Timbul rasa elok video yang dibuat secara spontan itu dimuatnaik pula ke dalam Youtube supaya boleh ditonton siapa sahaja, pada bila-bila masah. Dimuatnaiklah ke akaun Youtube isteri 3 minggu lalu. Namun gerak hati menyuruh agar mengumumkan melalui CATATAN SI MERAH SILU apabila masuk tahun baru Hijriah.

Dengan itu biarlah diletakkan dalam artikel ini dengan sedikit penerangan. Kiranya ini sambutan Maal Hijrah bagi tahun 1447 bersama saya Merah Silu. Sekadar memberitahu. Apabila masuk waktu Maghrib dan tarikh 1 Muharram tadi saya sedang berada di makam Sheikh Abdussamad Al-Falembani dekat Songkhla, setelah menziarahi banyak tempat di Patani. Selesai gerak tahun baru. Semoga para pembaca mendapat keberkatan dan kebahagian dunia akhirat.


Isnin, Jun 23, 2025

Asbab majlis di Jelai - Dapat mendaki 3 bukit merangkumi 12 puncak setelah lama menyimpan hajat

Salam. Artikel kompilasi bagi cerita perjalanan ini.


Perjalanan bermula pagi Sabtu 14 Jun 2025 bersamaan 17 Zulhijjah 1446 Hijriah atas asbab mahu menghadiri majlis keluarga di Felda Jelai, Negeri Sembilan pada pagi Ahad 15 Jun. Diambillah peluang mendaki tiga buah bukit berdekatan laluan, satu perkara yang sudah lama dihajati, tapi baru itu ada kelapangan dan peluang. Cuaca pula elok dan terang kecuali hujan lebat pada Ahad malam Isnin hingga ke pagi.

Pertama adalah Bukit Baginda di Kampung Majau, Batu Kikir tengah hari Sabtu. Bukit setinggi 450 meter atau 1,476 kaki dari paras laut ini agak terkenal dengan batu besar dengan sisi seperti berombak dekat puncak. Kedua, Bukit Taisho di Bahau petang Ahad. Bukit ini ada banyak puncak. Paling tinggi biasa dicapai umum adalah 330 meter atau 1082 dari paras laut. Tetapi saya pergi hingga denai paling jauh dan jarang dilalui orang lalu naik hingga ke puncak tertinggi, 361 meter atau 1,184 kaki dari paras laut. Pendakian meliputi 8 puncak, paling rendah 260 meter atau 853 kaki dari paras laut. 

Ketiga adalah Bukit Penarikan di bahagian lain Bahau pada pagi Isnin 16 Jun. Naik 3 puncak, ketiga-tiga tak jauh beza ketinggian dengan yang paling tinggi, 332 meter atau 1,089 kaki dari paras laut.  Keistimewaan bukit ini adalah bagaimana ia menghadap laluan purba perkapalan yang dikenali sebagai Jalan Penarikan. Puas... :]. Lihat artikel-artikel berikut :-