Salam. Ini ada cerita daripada 6 hari lalu.
Pagi Rabu 24 Julai 2024 (24/7/24). Selepas menunaikan solat Subuh di rumah saya bergegas ke arah Lembah Klang untuk mengikuti satu majlis ilmu.
Singgah beriktikaf sebentar di masjid Sungai Chinchin.
Dari situ sudah dekat untuk ke lokasi majlis di kampus utama Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak.
Aturan perjalanan ini lebih kurang sama seperti dilakukan lebih seminggu sebelum itu.
Cuma semasa itu saya ke UIA untuk urusan lain sebelum ke majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Lihat artikel Berkat 10 Muharram dan menimba ilmu di ISTAC.
Kali ini yang dihadiri adalah majlis anjuran ISTAC tetapi diadakan di kampus utama UIA di Gombak.
Saya tidak ingin mengulas panjang tentang majlis. Poster di bawah harus dapat memberikan bayangan tentang pengisian yang cukup padat dan bermacam.
Cuma biar dinyatakan, tajuk majlis boleh diterjemahkan sebagai "Persidangan dan Deklarasi tentang Kesucian and Nilai Nyawa Manusia". Saya pergi atas tiga sebab. Pertama kerana tajuk dan pengisian, kedua kerana dianjurkan oleh ISTAC, ketiga kerana diundang secara peribadi dan berhadapan oleh salah seorang penganjur, saudara Romil yang merupakan junior saya bawah setahun semasa zaman kolej di PPP/ITM (Pusat Persediaan Pelajar untuk ke luar negara) hampir 40 tahun lalu.
Saya sebut ini kerana tahu ada yang datang semata-mata disebabkan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah yang juga adalah Cancelor UIA merasmikan. Saya sudah biasa melihat orang datang suatu majlis untuk mencari peluang bagi menghimpit orang kenamaan. Apabila orang berkenaan meninggalkan majlis mereka pun hilang.
Secara rata majlis menengahkan pandangan malah kepercayaan pelbagai pihak berwibawa daripada pelbagai latar belakang agama seperti Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu dan Islam tentang nilai nyawa manusia dan bagaimana peperangan bertentangan dengan ini. Namun ia sebenarnya dibentuk sebegitu rupa untuk tujuan utama menyeru dunia supaya memberikan tekanan bagi menghentikan keganasan dan pembunuhan etnik yang sedang dilakukan oleh negara haram Zionis Israel terhadap bangsa Arab Palestin di Gaza.
Saya mengikuti majlis sejak bermula jam 9 pagi sehingga selesai selepas jam 5.30 petang. Paling menarik perhatian apabila bukan sahaja keganasan Israel, malah kewujudan negara itu sendiri dinyatakan haram dan melanggar perintah Tuhan oleh seorang pendita Yahudi. Beliau mengetuai satu aliran tradisional yang berpusat di New York, Amerika Syarikat lalu secara terang menyatakan mahu memisahkan mereka daripada apa-apa kegiatan yang memburukkan nama asal Israel (sebenarnya Israel adalah nama panggilan bagi Nabi Ya'akob) sambil menyatakan sokongan jelas terhadap Palestin.
Oh. Ini ada gambar saya diambil bersama pendeta berkenaan dan sejumlah orang
Sungguh, ia satu pemandangan langka melihat seorang Yahudi tradisional yang anti Zionis dengan rupa dan dandanan khusus mereka di hadapan mata di Malaysia... :]
Nota : Sebetulnya saya sedang dalam keadaan mood kurang baik, rasa berat hendak menulis dan sebagainya. Tetapi apabila melihat gambar-gambar bersama pendita Yahudi ini terasa cerialah pulak. Haha... :]