Jumaat, Mac 29, 2024

Kamera ke-12 untuk permusafiran iktikaf 10 hari terakhir Ramadan

Salam petang Jumaat 18 Ramadan 1445 Hijrah. Dikongsikan satu cerita yang kiranya adalah persediaan bagi permusafiran merangkap iktikaf dari masjid ke masjid bagi 10 hari terakhir Ramadan sambil menyatakan perkembangan terbaru tentang kamera.


Merujuk pada artikel Antara Janda Baik dan ISTAC - Dua tempat kesukaan yang dipersembahkan pada 11 Mac iaitu hampir 3 minggu lalu. Ada disebut pada penghujung artikel bahawa kamera digital kesayangan yang selalu diusung ke sana ke mari sejak beberapa lama mengalami kerosakan yang mana gambar-gambar yang diambil jadi putih semacam bermula pagi itu. Gambar atas ini yang baru diambil tadi menunjukkan kamera tersebut. Ia sebenarnya adalah kamera digital saya yang ke-8. 

Ia mula dipakai pada November 2016 kemudian diserahkan kepada anak setahun kemudian setelah mendapat kamera digital baru yang kelihatan lebih bagus. Lihat artikel Kamera digital ke-9 untuk tugas perjalanan jauh akan datang - Dan kamera setiap satu bagi setiap anak laki-laki... yang ditulis Disember 2017. Namun kamera ke-9 itu kemudian mengalami kerosakan lalu dicari kamera lain penghujung 2018. Dibelilah kamera ke-10, sebuah kamera terpakai, yang mula-mula kelihatan seperti elok, tetapi apabila sudah dibawa ke lapangan didapati hasil tangkapan gambar kurang memuaskan. 

Dibeli pula kamera ke-11 penghujung tahun itu juga. Yang ini ternyata bagus. Dipakai sehingga fokus rosak teruk Januari 2022. Ketika itulah digunakan kembali kamera ke-8 sehinggalah rosak kurang 3 minggu. Lihat Kamera-kamera digital yang pernah dimiliki.

Nasib baik saya kurang memerlukan kamera dalam tempoh kurang 3 minggu kebelakangan ini. Namun timbul keadaan yang menyebabkan saya akan memulakan satu permusafiran seraya beriktikaf dari masjid ke masjid bermula Sabtu 30 Mac. 



Kebetulan Sabtu malam Ahad ini masuk tarikh 20 Ramadan. Seterusnya saya telah diminta oleh anak yang sedang belajar di tahfiz di Janda Baik untuk menghadiri hari terakhir majlis daurah di tempatnya petang Ahad hingga malam Isnin 21 Ramadan. Kiranya keluar untuk 10 hari terakhir Ramadan. Saya dijangka keluar sehingga Rabu kerana pada pagi itu baru boleh mengambil anak untuk kembali bercuti lama untuk hari raya. Ini lebih bermanfaat daripada balik rumah selepas daurah kemudian perlu ke Janda Baik lagi untuk mengambil anak pagi Rabu. Maklumlah dari rumah ke tahfiz jaraknya dalam 80 km. Pergi balik dah 160 km.

Cadangnya balik rumah berehat satu malam sebelum keluar lagi untuk Khamis malam Jumaat sehinggalah masuk tarikh 27 Ramadan yang merupakan ulang tahun kelahiran saya ke-55 menurut tahun Islam. Ini kerana anak itu ada menyatakan ingin ikut saya keluar beriktikaf dari masjid ke masjid. Maka fikirnya bermula malam Jumaat yang tarikhnya adalah 25 Ramadan itu biarlah kami bermusafir di negeri kelahiran bapa saya iaitu Perak.

Apabila dah keluar berjalan ke sana ke mari sambil beramal rasa tak seronok kalau tiada kamera untuk mengambil gambar. Maklumlah sudah menjadi kebiasaan sejak hampir 20 tahun lalu mesti ada kamera digital untuk merekodkan keadaan sambil keluar bermusafir. Lalu Rabu malam Khamis lalu sibuklah mencari kamera digital untuk dibeli secara atas talian.

Sekadar memaklumkan. Dahulu saya biasa membeli kamera digital di sekitar Bukit Bintang, ada kala di Kompleks Pertama di Kuala Lumpur. Tetapi sejak tamat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung penularan wabak Covid-19 awal tahun 2022 didapati kedai-kedai kamera tidak lagi menjual kamera digital kompak. Alasannya, teknologi kamera pada telefon bimbit sudah jauh meningkat lalu orang ramai lebih suka itu. Yang tinggal di kedai kamera cuma jenis DSLR yang besar bagak, dan harga jauh lebih mahal. 

Kalau dapat ditemui kamera digital kompak pun cuma beberapa model lama yang sudah dinaikkan harga. Nasib baiklah dalam 2 minggu lepas didapati ada banyak jenis kamera digital kompak boleh dibeli secara atas talian. Cuma itulah, Rabu malam Khamis baru hendak bertindak menempah satu sedangkan perjalanan  mahu dimulakan pagi Sabtu. Oleh itu dicarilah dalam kalangan kamera-kamera lama yang masih tersimpan di rumah lalu didapati yang dalam gambar atas ini, kamera digital ke-7 yang dibeli Oktober 2015 masih boleh digunakan. Cuma fokus tak berapa cantik akibat terjatuh ketika menganjurkan satu majlis ilmu penghujung Oktober 2016. Lihat  Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016.




Walaupun fokus tak berapa cantik masih boleh mengambil gambar. Cukuplah boleh dipakai buat sementara waktu demi keperluan permusafiran iktikaf yang dijadualkan bermula kurang 24 jam daripada sekarang. Tengok-tengok sebelum keluar solat Jumaat tadi ada pakej baru tiba. Kembali daripada solat baru dibuka lalu didapati kamera digital yang baru ditempah sudah sampai.

Inilah kamera tersebut, diambil gambarnya menggunakan kamera ke-6 yang kurang fokus itu. Dua gambar sebelum ini pula diambil menggunakan kamera baru ini, kamera digital saya yang ke-12. Taklah hebat sangat. Sekadar cukup keperluan pada harga yang murah, tidak berjenama hebat seperti kamera-kamera saya sebelum ini (kecuali yang pertama). Rujuk balik Kamera-kamera digital yang pernah dimiliki. Harga RM200 lebih sahaja dengan gambar sehingga 50 Megapixel, isteri belanja. Pakai memory card 32 GB, sebelum ini paling tinggi saya pakai adalah 16 GB. Ada skrin hadapan untuk buat selfie, satu kelebihan yang tidak ada pada kamera-kamera saya sebelum ini. Cuma seperti kamera pertama yang dipakai tahun 2006-2008 ia tidak ada optical zoom, cuma digital zoom 16 x. Bolehlah... :]