Isnin, Januari 01, 2024

Pemikiran dan pendekatan Malik Bennabi dalam pembaharuan ketamadunan dan reformasi

Salam semua. Selamat tahun baru 2024. Merujuk pada artikel Ke Pulau Besar bersama keluarga selepas 5 tahun yang dipersembahkan pagi Rabu lalu 27 Disember. Ada dinyatakan pada penghujungnya bahawa artikel dilepaskan pagi itu supaya kepala terasa cukup lapang untuk mengikuti satu majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pada waktu petang. Kemudian akan dikongsikan cerita. Namun hari-hari berikutnya menyaksikan saya sibuk dengan pelbagai perkaea. Sambil itu banyak mengemas halaman rumah dan kebun lalu kepenatan sehingga tidak terlayan hendak menulis.

Hari ini sudah malam 1 Januari 2024 saya masih lagi kepenatan. Tetapi disebabkan rasa tidak lengkap masuk tahun baru tanpa menyelesaikan penulisan yang tertunda maka biar diusahakan malam ini juga,  sebelum masuk tarikh 2 Januari. Cuma biarlah ditulis ringkas, sekadar demi melepaskan gerak. Sesungguhnya sepanjang semalam hari terakhir 31 Disember persediaan saya dan isteri, selepas membeli sejumlah barangan di luar kawasan, dalam menghadapi tahun baru adalah lebih pada membuat kerja-kerja bagi mencantikkan rumah. Disebabkan memikirkan macam-macam berkenaan rumah lalu membuat sedikit kerja-kerja pembetulan jam 4 pagi baru dapat melelapkan mata. Sekitar jam 9 pagi sambung lagi kerja hingga ke tengah hari. Selepas solat Zohor baru dapat berehat.



Tajuk majlis ilmu kali boleh diterjemahkan sebagai "Pemikiran dan Pendekatan Malik Bennabi dalam Pembaharuan Ketamadunan dan Reformasi". Dijadualkan bermula jam 2.30 petang, ia merujuk pada tokoh pemikir kelahiran Algeria di Afrika, Malik Bennabi yang hidup 1905-1973. Majlis yang merupakan ke-4 dalam siri forum Madani anjuran ISTAC ini diadakan, antaranya sempena 50 tahun Bennabi kembali ke rahmatullah. Tajuk dikupas oleh empat orang ahli akademik seperti tertera dalam poster. Sejak terlihat poster di media sosial sekitar 2 minggu lalu saya berazam untuk mengikuti majlis secara fizikal di ISTAC.



Selepas menunaikan solat Zohor di rumah saya pun bergegas ke lokasi.




Sampai sekitar jam 2.15...




Di sini biar disebut ringkas apa yang diperkatakan seperti yang dapat saya tangkap semasa majlis berlangsung. Oh. Disebabkan masalah kamera saya tidak dapat mengambil gambar secara zoom menggunakan kamera digital kesayangan. Lalu biarlah dipersembahkan gambar-gambar seadanya. Didapati tiada seorang pun membentang atau bersyarah menggunakan bantuan slaid.

Pembentang pertama Profesor Dr Mohamed El-Tahir Al-Mesawi daripada UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) secara rata memberikan latar belakang pengajian Bennabi sehingga dapat menjadi pemikir besar dunia Islam. Dinyatakan tokoh tersebut asalnya mengaji dalam bidang eletrik. Tetapi beliau banyak membaca dan mengajar diri sendiri (self-thought) sehingga dapat menguasai ilmu-ilmu seperti falsafah, politik dan ekonomi demi untuk memahami permasalahan umat Islam sejagat, kenapa boleh dikuasai oleh penjajah Barat, bagaimana pula hendak memajukan kembali ummah.

Beliau yang berasal dari Tunisia, satu negara Afrika yang berjiran betul-betul ke timur Algeria menyatakan mula mengenali pemikiran Bennabi pada tahun 1980an. Pada  awal tahun 1990an pula menghadiri seminar tentang pemikiran tokoh di Malaysia yang mana antara ahli akademik yang menjadi penganjur utama majlis adalah Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar daripada ISTAC, ketika itu berkhidmat di Universiti Malaya.




Kata-kata tersebut menjadi semacam jambatan untuk Osman menyambung kepuasan sebagai pembentang kedua. Beliau yang bertanggungjawab menyelia tesis saya di ISTAC hingga dapat ijazah sebulan lebih lalu (rujuk Menerima ijazah Sarjana ISTAC pada hari lahir ke-53) pun memberikan latar belakang sosio-politik semasa yang harus mendasari pemikiran Bennabi. Bagaimana beliau lahir tahun 1905 dalam keadaan Algeria sedang dijajah Perancis, sementara negara-negara Islam yang lain juga rata-rata dijajah kuasa-kuasa Barat. Bagaimana Perang Dunia Pertama yang berlaku 1914-1918 diikuti Perang Dunia Kedua 1939-1945 diikuti kebanyakan negara Islam mendapat kemerdekaan sekitar tahun 1950an namun jiwa dan pemikiran telah dicorak Barat membawa kepada analisa Bennabi tentang permasalahan ummah sejagat.

Kata Osman yang merupakan pemegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC, Bennabi telah menguasai banyak disiplin ilmu. Namun beliau melihat pemikirannya yang paling praktikal adalah dalam bidang ekonomi demi memajukan ummah. Namun ia belum dikaji cukup mendalam. Lalu beliau menyarankan agar ia dikaji lalu boleh dijadikan tesis PhD pelajar ISTAC.



Pembentang ketiga Profesor Muddathir Abd al-Rahim yang pernah mengajar di ISTAC (1997-2013) pula mengupas berdasarkan pengalaman sudah bertemu Bennabi seawal tahun 1950an. Beliau yang berasal dari Sudan dan lahir tahun 1932 mengenali tokoh tersebut sebagai seorang yang awalnya berjuang untuk memerdekakan pemikiran orang Islam Afrika sebelum pergi lebih jauh untuk menangani permasalahan ummah sejagat.




Pembentang keempat, Profesor Dr Abdelaziz Berghout yang merupakan Dekan ISTAC melihat Bennabi sebagai seorang systems thinker, seorang yang melihat semua perkara secara menyeluruh, bukan sebahagian-sebahagian seperti berlaku pada ramai pemikir sekarang disebabkan terlalu terikat pada pengkhususan. Beliau membandingkan Bennabi dengan Ibnu Khaldun (sejarawan Arab yang hidup abad ke-14 Masihi) yang dianggapnya juga sebagai seorang systems thinker. Lalu ada persamaan dalam cara mereka menilai keadaan. Namun pada Abdelaziz, Bennabi melangkah lebih jauh kerana Ibnu Khaldun membandingkan negara dengan negara, sedangkan Bennabi membandingkan tamadun dengan tamadun (misalnya Cina dengan India).  Sila ikuti sendiri majlis melalui rakaman di sini.

Oh. Mengikuti majlis ini membuat saya terfikir untuk membuat satu tesis PhD tentang ketamadunan di ISTAC. Pemikiran Bennabi boleh dijadikan salah satu rujukan dan kayu ukur. Kalau dilapangkan baik daripada segi masa, kesihatan, pemikiran dan wang ringgit ingin saya mendaftar masuk bagi semester yang bermula sekitar September 2024. Boleh dikatakan ini adalah antara azam utama saya bagi tahun baru ini. Doakan ya kawan-kawan.