Salam. Adapun pagi semalam saya dan keluarga baru kembali dari Ipoh, Perak, selepas menghadiri majlis perkahwinan anak arwah sutradara filem terkenal, Mamat Khalid yang bernama Adam 19 Ogos. Disebabkan anak saya harus pergi latihan silat di Bukit Beruntung keesokannya iaitu pagi semalam kami bermalam di sebuah masjid di Slim River. Selepas itu baru menghantar anak pergi latihan. Sementara menunggu latihan tamat saya dan isteri berjalan-jalan di sekitar Bukit Beruntung.
Teringatlah bahawa seorang penulis akhbar Berita Harian ada memberitahu insyaallah satu artikel tentang Laksamana Raja Mahkota Muhammad dan buku saya tentang moyang tersebut akan disiarkan dalam akhbar edisi Ahad 20 Ogos 2023. Kami pun mencari. Alhamdulillah dapat jumpa senaskah.
Inilah muka surat hadapan akhbar tersebut. Ini satu-satunya naskah yang dapat ditemui di sekitar kawasan.
Ini adalah artikel dalam surat khabar tentang Laksamana dan buku. Kali terakhir buku saya ada diperkatakan dalam surat khabar adalah pada 4 tahun lalu.
Rencana atau ulasan tentang buku-buku saya pernah beberapa keluar di akhbar dan majalah. Lihat artikel-artikel berikut :-
Kali ini terlebih istimewa kerana melibatkan moyang. Atau lebih tepat, moyang kepada datuk belah bapa, Laksamana Muhammad Amin. Beliau merupakan salah seorang yang menandatangani Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874. Laksamana Kesultanan Perak ini kemudian dibuang ke Pulau Seychelles kerana dikatakan terlibat dalam pembunuhan Residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch pada 2 November 1875.
Menariknya rencana yang memenuhi satu muka surat penuh itu disusuli satu rencana lain tentang pahlawan Melayu terkenal zaman kegemilangan Melayu Melaka. Faktor yang sama adalah kedua-duanya bercerita tentang Laksamana. Satu di Perak, satu di Melaka.
Rencana tentang Hang Tuah. Ya. Sebagai seorang pengkaji saya melihat ada yang dicipta tentang Hang Tuah. Tetapi mengatakan Hang Tuah dicipta? Itu satu tuduhan melampau. Pada saya Hang Tuah memang wujud dan sangat handal orangnya. Itu boleh dibaca dalam kitab Sulalatus Salatin yang juga dikenali sebagai Sejarah Melayu.
Kalau ada yang dicipta itu adalah apa yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah. Pengkaji yang cukup teliti dan tahu cerita-cerita berkenaan yang merangkumi beberapa zaman boleh melihat bahawa watak Hang Tuah dalam hikayat sebenarnya meliputi cerita beberapa orang Laksamana yang dipadukan dalam satu watak dan tubuh badan, bukan kisah pengalaman sebenar seorang Hang Tuah sahaja.
Apapun, keterujaan melihat rencana tentang Laksamana Muhammad Amin dan buku keluar menyebabkan saya telah mewar-warkan dua gambar teratas kepada beberapa pihak terutama saudara mara daripada keluarga besar Laksamana. Didapati ada mendapat senaskah akhbar lalu meletakkan muka surat berkenaan dalam bingkai (frame). Ini membuat saya dan isteri keluar rumah petang semalam untuk mencari lagi 2-3 naskah akhbar. Cadangnya mahu menyimpan satu dalam bingkai untuk dijadikan hiasan dan kenangan di rumah. Satu mahu dibuat berlamina (laminated) supaya boleh dibawa ke sana ke mari ketika mempromosi buku.
Merata kami pergi di sekitar bandar Rawang. Didapati semua naskah Berita Harian Ahad 20 Ogos telah habis dibeli orang. Timbul ilham biar dibuat salinan fotostat berwarna. Alhamdulillah ada tempat boleh buat untuk kertas bersaiz surat khabar hampir A3.
Yang itu pun dibuat lamina. Yang dari surat khabar dicari bingkai yang sesuai. Ternyata yang berlamina itu ada kegunaan tambahan...
Bagi saudara mara atau sesiapa sahaja yang berminat tetapi tidak berjaya mendapatkan naskah surat khabar boleh disuakan gambar yang rencana berlamina itu. Ia kelihatan cukup cantik. Apabila diletakkan di blogspot gambarnya tidak pecah akibat downsize seperti halnya kalau dimuatnaik ke WhatsApp atau Facebook. Sesiapa pun boleh ambil lalu buat cetakan atau salinan untuk simpanan. Silakan. :]