Khamis, April 13, 2023

Buku Laksamana Muhammad Amin dan Orang Kaya Arsyad dah masuk kilang

Salam petang Khamis 22 Ramadhan tahun 1444 Hijriah. Ada sedikit berita gembira mahu dikongsikan.



Telah diberitahu dalam  artikel Buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad" sedia untuk tempahan yang dipersembahkan hampir 2 bulan lalu bahawa saya sedang mengusahakan buku baru dengan tajuk tersebut. Telah diberitahu dalam artikel itu bahawa penulisan yang dimulakan pada 1 September 2022 siap deraf pertamanya pada 30 Januari lalu. Deraf kedua pula siap petang 10 Februari. Itu yang membuat tergerak untuk mempersembahkan artikel berkenaan.

Biar ditambah. Deraf pertama yang ditulis terus ke dalam reka letak (layout) itu dimulakan pada malam Jumaat  dengan tarikh Islam 5 Safar 1444 Hijriah lalu siap Isnin 8 Rejab. Deraf kedua yang mana sejumlah maklumat sensitif dibuang atau diolah kembali siap Isnin 13 Februari bersamaan 22 Rejab. Deraf ketiga yang merupakan semakan lebih mendalam kemudian siap Selasa 28 Feb (7 Sya’aban). Pun begitu dibuat lagi semakan demi semakan sehingga terasa cukup  Rabu 12 April (21 Ramadhan) iaitu awal pagi semalam. 

Pagi tadi Khamis 13 April (22 Ramadhan) pula baru menerima kata-kata aluan daripada sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdullah Zakaria Ghazali. Menariknya ia diterima ketika saya sedang bersedia untuk mengangkut motosikal besar kesayangan yang sudah lebih setahun tidak hidup enjin akibat ada masalah untuk dibawa ke bengkel.



Reka bentuk akhir kulit buku pula sudah diputuskan awal pagi Rabu sebelum Subuh semalam. Alang-alang harus keluar ke bengkel di Rawang lalu meninggalkan motosikal biar terus ke kilang cetak di Kuala Lumpur. Dalam perjalanan singgah di Hutan Lipur Kanching untuk memuatkan kata-kata aluan ke dalam deraf lalu membuat perubahan selari. Misalnya saya telah memperuntukkan 6 muka surat untuknya kerana selain itu isi buku sudah penuh 576 muka surat. Tetapi apabila masuk dalam layout jadi 8 muka surat. 

Nasib baik ada salinan dokumen dalam bahagian apendiks atau lampiran yang boleh dikeluarkan 2 muka surat. Selepas itu harus buat perubahan nombor muka surat pada daftar isi bagi setiap bab dan subtopik. Sampai ke kilang cetak dibuat lagi semakan demi semakan. Akhirnya siap hampir jam 4.30 petang. Reka bentuk kulit buku pula telah lebih awal diserahkan. 



Ah. Lega sungguh rasa. Kira dah boleh lepas tangan lalu boleh memberikan tumpuan penuh pada hal pembetulan tesis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) seperti ada dinyatakan dalam artikel sebelum ini iaitu Apabila perjuangan dihargai. Dengan itu bolehlah dikeluarkan lalu disebarkan poster promosi atas. Untuk mendapatkan gambaran isi sila lihat dalam artikel Buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad" sedia untuk tempahan.  

Kepada yang berminat boleh pilih antara berikut...

1. Bayar RM99 harga buku kemudian ambil daripada tangan saya. Mungkin pada majlis rumah terbuka raya  di rumah di Bandar Sungai Buaya, Rawang insyaallah pada 13 Mei 2023.

2. Bayar RM99 + RM7.35 Poslaju = RM106.35.

3. Bagi peniaga ada tawaran diskaun 50%. Cuma harus membeli sekurang-kurangnya 20 naskah buku. Seterusnya belian blok 20 buku lagi kalau mahu . Setiap 20 buku harga asal adalah RM99 x 20 = RM1,980. Diskaun 50% jadi RM990. 

Sila buat bayaran bagi jumlah berkenaan ke akaun berikut :-


Affin Islamic Bank : 20-530-011171-1

Atas nama: Mohd Fahrulradzi b Mohamad Sapiee 


Selepas itu WhatsApp ke nombor 013-3082131 bukti pembayaran. 

Bagi mereka yang mahu buku diposkan sila berikan sekali alamat pos. Untuk peniaga yang mahu mengikut tawaran insyaallah saya akan hantar sendiri ke tempat anda selepas siap dicetak, dijangka pertengahan bulan Mei. Tetapi  itu di sekitar Lembah Klang. Jauh daripada itu tengoklah bagaimana.

Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,377 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Tolong war-warkan kepada keluarga, kawan dan kenalan masing ya. Terima kasih.