Khamis, Oktober 28, 2021

Maqasid Al-Quran sebagai asas metodologi Islam

Salam. Merujuk pada artikel Renungan terhadap legasi pengIslaman ilmu pengetahuan dan masa hadapannya - Satu gagasan besar ummah yang harus diteruskan yang dipersembahkan Sabtu lalu. Ada disebut pada awal artikel bahawa sebelum itu iaitu pada pagi Khamis minggu lepas 21 Oktober saya sepatutnya mengikuti satu majlis ilmu melibatkan pelancaran buku tetapi tidak dapat kerana kepenatan amat. Nasib baik  pagi Khamis hari ini 28 Okt ada majlis yang sangat berkaitan. Maka biar dikongsikan cerita berkenaan...


Majlis ini merupakan yang ketiga dalam siri  ISTAC-World Professorial Lecture (Syarahan Profesor yang Mendunia) anjuran  ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Daripada segi itu ia adalah kesinambungan daripada majlis yang diceritakan dalam artikel Epistemologi Al-Ghazali : Kepentingannya bagi pemikiran semasa manusia 13 Oktober. Namun daripada segi isi ia adalah kesinambungan daripada majlis yang tidak dapat diikuti Khamis lalu. Ini kerana majlis terdahulu merupakan pelancaran buku bertajuk  "Re-envisioning Islamic Scholarship : Maqasid Methodology as a New Approach" (Membina Kembali Wawasan Kesarjanaan Islam : Metodologi Maqasid sebagai Pendekatan Baru") oleh Profesor Dr Jasser Auda, president Institut Maqasid Global di Amerika Syarikat berserta diskusi buku. Sedangkan majlis hari ini adalah syarahan bertajuk "Maqasid Al-Quran as Basis for Islamic Methodology" (Maqasid Al-Quran sebagai Asas Metodologi Islam) oleh orang yang sama.


Saya masuk menyertai majlis sekitar jam 9.15 pagi. Ketika itu Dekan ISTAC, Profesor Abdelaziz Berghout sedang memberikan pengenalan tentang majlis. Beliau kemudian memberikan latar belakang panjang lebar tentang Jasser. Ternyata terdapat banyak jawatan akademik dipegang pensyarah tersebut. Tidak perlulah  dibuat senarai. Boleh cari sendiri dalam Google melalui nama "Jasser Auda". Cukuplah diberitahu kepakaran utama beliau adalah dalam bidang undang-undang.


Jam 9.23 Jasser mula bercakap. Disebutlah tentang tajuk syarahan yang saya terjemahkan sebagai "Maqasid Al-Quran sebagai Asas Metodologi Islam" itu lalu dinyatakan betapa pentingnya Al-Quran tetapi ia masih belum cukup dikaji. Disebut pula metodologi sebagai pendekatan dalam menangani suatu perkara. Apakah ideologi yang dipakai ketika membuat suatu pendekatan? Kalau ia adalah positivism (sistem falsafah yang cuma menerima apa yang boleh dibuktikan oleh sains) atau rationalist (mereka yang cuma percaya pada akal) maka kita akan menolak perkara-perkara bersifat metafizik. 

Adalah suatu hal yang malang apabila para sarjana dan penuntut ilmu beragama Islam mengambil pendekatan yang tidak Islamik dalam menangani pengajian. Ini adalah tentang memberi makna kepada apakah itu kebenaran. Kalau bercakap tentang fizik tetapi tidak boleh menyentuh tentang metafizik maka jelas metodologinya tidak bersesuaian dengan Islam.

Seterusnya disebut tentang bagaimanakah cara untuk membaca atau mengkaji Al Quran. Ia harus menurut perkembangan zaman. Bukankah dikatakan pada setiap abad akan muncul seorang pembaharu agama? Apa yang kita baca daripada zaman dahulu belum tentu boleh terpakai bagi zaman sekarang.

Ada pula melihat daripada sudut modernist semata-mata lalu menakrif semua dalam Al Quran menurut kaca mata itu. Lalu mereka melihat sesetengah perkara sebagai bersifat Islamik walhal ia bersifat begitu cuma secara luaran. Hakikatnya masih bersifat Machiavellian (matlamat menghalalkan cara). Kita juga harus keluar daripada kepompong asyik meniru daripada yang silam. Pada masa yang sama jangan terikat pada cara dunia moden menilai perkara.

Kata Jasser bukan perkara lalu yang harus memandu kita tetapi masa hadapan. Kita harus dipandu oleh tujuan (purpose atau Maqasid). Sebaik sahaja ini difahami cara fikir kita akan berlainan berbanding dengan jika melihat pada sebab dan akibat (causality). Kenapa (sesuatu itu terjadi, mahu dilakukan) itu kritikal, berinjak pada masa hadapan. Ini adalah tingkat pemikiran yang berlainan. Inilah logik Al Quran. Melihat pada alamat dan petanda pada dunia untuk mencari kebenaran. 

Misalnya melihat tanda-tanda di sebalik bunyi burung, apakah yang mahu ditunjukkan? Bunyi yang dikeluarkan melalui penggunaan lidah membawa suatu makna. Quran juga membawa konsep dan makna. Jasser mengkritik bagaimana manusia selalu berpegang pada sebab dan akibat  dalam menangani suatu perkara. Sedangkan beliau suka bermula pada objektif ataupun tujuan kemudian konsep. 

Konsep pula terikat dengan nama-nama. Nama-nama mesti ada kuasa (authority). Kalau tidak ia cuma meneka-neka (conjectures). Sebagai contoh, demokrasi adalah nama satu konsep (bagi pemerintahan/pentadbiran) yang diharapkan dapat memberikan kemakmuran kepada manusia. Tetapi adakah ia disebut dalam kitab Allah? Apakah maksud sebenarnya? Apakah sesuai dengan Islam? Apapun setiap teori ada yang positif ada yang negatifnya. 

Hmm. Maaf saya tidak dapat terus menerus menaip (malah menterjemahkan sekali daripada bahasa Inggeris) sambil mengikuti syarahan. Sejak semalam tidak dapat tidur akibat muncul berita tertentu lewat malam. Maaf kerana harus memberikan tumpuan penuh lalu tidak dapat menyalin segala yang diperkatakan. Adalah lebih mudah berkongsi isi pembentangan yang ada slaid kerana wujud rujukan jelas (seperti dalam Renungan terhadap legasi pengIslaman ilmu pengetahuan dan masa hadapannya - Satu gagasan besar ummah yang harus diteruskan) berbanding pembentangan yang dibuat secara bercakap terus semata-mata seperti halnya sekarang.

Antara perkara penting dapat saya tangkap adalah perlunya membuat kajian perbandingan (comparative studies) dalam pelbagai hal juga perlunya keluar daripada kepompong aliran-aliran pemikiran lama bagi mencari perspektif baru. Ketika sesi soal jawab pula ada yang bertanya apakah terdapat perbezaan antara Maqasid Syariah dengan Maqasid Al-Quran? Jawab Jasser ada. Maqasid Syariah lebih pada perundangan (jurisprudence) sedangkan Maqasid Al-Quran lebih besar skopnya termasuk meliputi Maqasid Syariah itu sendiri. Pada beliau Maqasid Syariah boleh terpecah belah akibat berlainan aliran (seperti mazhab) lalu tidak boleh dijadikan asas metodologi mahupun ijtihad. Untuk itu harus pergi pada Maqasid Al-Quran yang lebih meliputi dan menyeluruh.

Secara rata Maqasid Al-Quran adalah melihat pada tujuan kenapa Al-Quran itu sendiri diturunkan (untuk menyampaikan kebenaran, untuk menjadi panduan bagi manusia mencapai kebahagian dunia akhirat dan sebagainya). Daripada tujuan baru boleh difahami konsep-konsep berkenaan untuk diaplikasikan. Inilah yang menjadi asas metodologi Islam. Cukuplah perkongsian.