Salam semua. Merujuk pada artikel Dari Bukit Tinggi ke Janda Baik membawa zikir dalaman yang dipersembahkan pada malam Jumaat minggu lalu. Ada disebut pada awal artikel bahawa saya dan keluarga sedang membuat perjalanan di selatan dan pada ketika itu ia telah mencapai jarak pemanduan hampir 600 km. Pada hari sebelumnya pula telah berlaku satu perkara yang seperti membawa kesinambungan daripada satu perjalanan kecil yang dibuat hujung minggu sebelum itu (perjalanan dalam artikel Dari Bukit Tinggi ke Janda Baik membawa zikir dalaman). Pada penghujung artikel pula disebut bahawa kata-kata kuncinya adalah hubungan zaman berzaman antara keluarga Al-Attas (keturunan Rasulullah SAW daripada belah Saidina Hussein) dengan keluarga Al-Jilani (keturunan belah Saidina Hassan). Sekarang biar dikongsikan cerita berkenaan.
Perjalanan di selatan ini bermula 8 hari lalu apabila kami bergerak keluar dari rumah Selasa malam Rabu 22 Disember 2020 selepas jam 8.
Dengan mengambil Lebuh Raya PLUS kami bergerak terus lebih 370 km ke rumah adik bongsu saya di Kempas, Johor Bahru.
Esoknya petang Rabu jam 2.30 baru keluar rumah untuk memulakan penjelajahan.
Mengingatkan bahawa ketika isteri mengeluarkan gambar-gambar lawatan kami ke rumah penulis buku politik terkenal Syed Hussein al-Attas di Facebook (rumah yang disinggahi kemudian dalam artikel Dari Bukit Tinggi ke Janda Baik membawa zikir dalaman) antara orang terawal memberikan maklum balas adalah seorang anak beliau yang bernama Syed Fuad kami pun mahu menziarahi beliau.
Oleh kerana Syed Hussein adalah ayah angkat saya maka Fuad adalah adik angkat. Kebetulan beliau memiliki sebuah kedai di Plaza Angsana dan kedudukannya begitu dekat dengan Bandar Baru UDA di mana ada rumah seorang saudara kami. Kami pun singgah dahulu di sana.
Di kedai beliau terdapat sejumlah gambar yang diambil sendiri di wilayah Hadramaut, Yaman kemudian dijadikan semacam poster besar. Ketika menceritakan sejarah tempat-tempat dalam gambar timbul satu perkara yang sangat menarik perhatian. Disebut tentang suatu tempat bernama Huraidhah (saya tak pasti ejaan sebenar) yang menjadi induk tempat keturunan Nabi Muhammad SAW daripada marga atau keluarga besar Al-Attas. Fuad memberitahu 600 tahun sebelum nenek moyang beliau memakmurkan tempat sudah wujud satu masjid dipanggil Masjid Jilan. Ini kerana ia didirikan atas perintah Sultanul Awliyah Sheikh Abdul Qadir al-Jilani yang hidup abad ke-10 hingga ke-11 Masihi. Padahal pada zaman itu yang wujud di situ cuma orang Arab Badwi.
Ah. Terus terasa kesinambungan antara perjalanan ke Janda Baik hujung minggu sebelum itu dengan perjalanan ke Johor Bahru. Ini bukan sekadar perjalanan dari JB ke JB. Ada sesuatu yang lebih mendalam timbul dari persinggahan ke tempat adik angkat saya ini. Mungkin ini adalah antara sebab saya boleh rapat dengan keluarga beliau dan kemudian menyambung pengajian peringkat pasca-siswazah di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) yang diasaskan oleh Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas. Ini kerana saya memiliki darah keturunan al-Jilani. Lihat cerita berkenaan melalui FB Live di sini.
Lawatan seterusnya adalah ke rumah saudara di Bandar Tun UDA. Yang ini memang ada dalam program sedangkan lawatan ke kedai Fuad baru timbul atas saranan isteri ketika keluar petang itu.
Dari sana kami bergerak ke pusat bandar raya JB...
Singgah sebentar ke kawasan pemakaman Mahmoodiah untuk menziarahi makam Sultan ke-25 Perak, Sultan Ismail (memerintah 1871-1874).
Masuk ke pusat bandar raya...
Mencari satu sudut untuk melihat tambak yang menyambungkan ke Pulau Singapura.
Naik kembali ke arah utara melalui Jalan Wong Ah Fook yang merupakan salah satu jalan utama di JB.
Tergerak untuk masuk ke kawasan Wadi Hana yang merupakan pusat penempatan orang berketurunan Arab terutama daripada keluarga Al-Attas lalu singgah ke masjid sana. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Al-Hana, Johor Bahru di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Selepas itu singgah makan malam hidangan kacang pool di sebuah kedai di Larkin.
Di sini berjumpa pula dengan seorang kawan lama daripada zaman sekolah menengah di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang tahun 80an. Rupa-rupanya ada semacam kesinambungan juga antara perjumpaan dengan beliau dengan apa yang akan berlaku pada hari seterusnya.