Isnin, Jun 03, 2019

Berbuka 27 Ramadhan bersama kawan-kawan lama Sains Johor



Jam 2 petang Sabtu 1 Jun 2019 saya bergerak meninggalkan ISTAC menuju ke pusat bandar raya Kuala Lumpur...


Sampai ke pusat hujan sudah turun. Saja-saja pusing melihat keadaan di beberapa tempat sebelum menuju ke arah selatan.



Selepas mengambil Jalan Loke Yew menghala ke Cheras tergerak untuk masuk ke Bandar Tun Razak. Terlihat masjid kecil ini masuklah beriktikaf sebelum menunaikan solat Asar kemudian duduk baca Al-Quran. Dapatlah selesaikan satu juz iaitu juz ke-30.


Adapun tujuan saya berlegar-legar di sekitar kawasan itu adalah agar dapat berbuka puasa bersama sejumlah kawan lama daripada zaman bersekolah menengah di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang, Johor lebih 30 tahun lalu.


Kami sama-sama masuk sekolah Tingkatan Satu pada tahun 1983. Cuma ketika yang lain mengambil peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun 1987 di situ, saya pula mengambilnya di Muar selepas meninggalkan Kluang atas sebab tertentu penghujung tahun 1986.


Majlis diadakan di sebelah stesyen minyak milik seorang kawan. Letaknya sekitar 2.4 km daripada masjid tadi.


Alhamdulillah banyak juga cerita-cerita lama dikongsikan kembali selain cerita-cerita terbaru kawan-kawan...





Menyambut malam 7 Likur merangkap ulang tahun ke-50 di masjid ISTAC

Salam petang Isnin 29 Ramadhan. Menurut kiraan falak kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri 1 Syawal pada hari Rabu 2 hari lagi. Sebelum ini biar dilepaskan sedikit cerita-cerita ringan bermula dengan ini.


Lewat petang Jumaat 26 Ramadhan iaitu 3 hari lalu saya bergegas dari rumah 40 km ke tempat belajar iaitu ISTAC dalam keadaan langit sedang gelap mendung menandakan akan turun hujan lebat.


Ketika sampai ke perkarangan ISTAC hujan sudah lebat turun dan azan Maghrib baru sahaja selesai berkumandang di radio menandakan sudah masuk malam Sabtu 27 Ramadhan.


Di perkarangan dekat masjid ISTAC orang sudah mula berbuka puasa.


Hujan terus lebat sehingga air tempias sampai ke meja makan.


Saya mula menjamah juadah berbuka puasa ketika orang lain sudah bersedia untuk ke masjid bagi menunaikan solat Maghrib berjemaah.



Ketika saya masuk masjid solat berjemaah sudah selesai.





Ini pula keadaan ketika masuk untuk solat Isyak berjemaah.




Ini selepas solat Isyak menunggu solat sunat Tarawikh berjemaah...



Ini gambar selepas selesai solat Tarawikh lalu ramai sudah keluar meninggalkan masjid.


Adapun saya datang ke masjid ISTAC kerana mahu beriktikaf iaitu bermalam 27 Ramadhan. Tengok-tengok ramai juga orang beriktikaf sama.


Pada tarikh sama tetapi bagi tahun 1390 Hijriah saya dilahirkan ke muka bumi. Oleh itu pada malam 27 Ramadhan ini iaitu bagi tahun 1440 Hijriah genaplah umur saya 50 tahun menurut kalender Islam. Kiranya saya menyambut malam 27 Ramadhan yang juga dikenali sebagai malam 7 Likur ini di masjid ISTAC sambil menyambut ulang tahun ke-50 saya dilahirkan.


Ini pula suasana ketika Qiamulail di mana diadakan solat Tahujud 8 raka'at selama lebih sejam akibat bacaan surah-surah panjang diikuti solat sunat Witir 3 raka'at.


Dekat jam 5.20 baru kami bersahur sebagai persediaan untuk berpuasa siang 27 Ramadhan...