Sedar tak sedar kurang 3 hari lagi kita akan memasuki tahun 2019. Perkongsian cerita perjalanan saya dan keluarga ke Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember 2018 baru masuk 3 edisi sahaja sedangkan banyak lagi perkara telah berlaku sejak itu. Sekadar memecahkan dahulu kebuntuan sejak cerita hari ke-3 perjalanan tersebut dipersembahkan 10 hari lalu biar dikongsikan satu cerita. Ia sebenarnya daripada seminggu lalu. Jadilah dalam keadaan saya sibuk dengan perkara-perkara lain selain agak malas menukilkan cerita-cerita baru.
Petang Sabtu 22 Disember 2018, sejurus sebelum masuk waktu Zohor saya bergegas ke masjid lama Batak Rabit di Teluk Intan, Perak.
Masjid yang sudah berusia lebih 150 tahun ini didirikan di atas tanah wakaf keluarga. Di sebelahnya terletak satu kawasan pemakaman atau tanah perkuburan yang dikhaskan untuk ahli keluarga sahaja.
Ahli keluarga yang dimaksudkan adalah daripada nasab keturunan Laksamana Raja Mahkota, satu jawatan pembesar istana yang dipegang secara turun temurun dalam keluarga kami.
Berdasarkan tradisi lama seluruh hilir Perak bermula dari selatan Kampung Gajah dekat Sungai Terus sana membawa ke perairan Kuala Sungai Perak meliputi Bagan Dato' hingga ke Manjong adalah pegangan Laksamana. Batak Rabit adalah pegangan khas bagi satu cabang keluarga...
Batak Rabit pernah menjadi pusat pentadbiran Sultan Perak yang ke-26, Sultan Abdullah Muhammad Shah II (bertakhta 1874-1875). Secara rasminya baginda masih pemegang takhta sehingga tahun 1887 tetapi ketika itu berada dalam buangan di Pulau Seychelles akibat dikatakan terlibat dalam pembunuhan residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875.
Turut dibuang sama adalah seorang moyang saya, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Anakanda beliau, datuk kepada datuk saya yang dikenali sebagai Orang Kaya Besar Muhammad Arshad berkahwin dengan moyang perempuan saya yang dikenali sebagai Hajah Halijah.
Dikatakan Hajah Halijah ini sangat cantik sehingga anak-anak raja sanggup berperang untuk merebutnya. Ayahnya dikenali sebagai Haji Musa, orang kaya yang memiliki tanah ladang luas saujana mata memandang di sekitar Batak Rabit ini.
Identiti mereka diceritakan sebegitu sahaja dalam keluarga kami. Namun Hajah Halijah dikatakan memiliki dayang-dayang dan rumah besar keluarga kami (sudah lama diruntuhkan) ada singgahsana raja di dalamnya.
Tanah wakaf yang mengandungi masjid lama ini sebenarnya diwakafkan oleh Hajah Halijah lalu diamanahkan kepada anak cucunya. Oh, gambar-gambar ini menunjukkan satu majlis tahlil yang diadakan secara ad hoc pada petang Sabtu itu untuk seluruh keluarga besar Laksamana Raja Mahkota.
Adapun tarikh 22 Disember ini telah dicadangkan sejak bulan Syawal lalu. Tetapi kemudian muncul pelbagai hal menyebabkan ia harus ditunda kepada suatu tarikh yang belum diputuskan lagi.
Beberapa orang saudara mara membuat keputusan untuk meneruskan secara ad hoc. Siapa dapat datang datang le...
Selepas majlis tahlil diikuti ta'aruf iaitu kenal mengenal antara keluarga kami pun menziarahi kawasan pemakaman keluarga.
Di sini turut terletak makam pemegang pertama jawatan Laksamana Raja Mahkota. Dikatakan daripada kerabat diraja Bugis, dipercayai ada kena mengena juga dengan kerabat diraja Aceh, beliau yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam @ Tok Kuala Bidor sebenarnya mangkat dan dimakamkan di Kuala Bidor lebih 5 km dari sini tetapi sudah dialih jasad ke Batak Rabit pada tahun 1950an.
Turut diziarahi makam saudara mara lain. Datuk saya, ayah kepada ayah turut dimakamkan di sini.
Kami juga menziarahi makam Sultan ke-22 Perak, Sultan Abdullah Muhammad Shah I (bertakhta 1851-1857) sambil bertandang ke rumah saudara betul-betul di sebelah makam. Untuk makluman makam ini dan kawasan sekitarnya terletak dalam tanah yang asalnya milik saudara mara kami belaka.