Isnin, Disember 31, 2018

Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menghampiri sempadan selatan Vietnam

Salam 31 Disember. Tinggal beberapa jam lagi tahun 2018 akan tamat lalu tahun baru 2019 pun menjelang. Sebelum itu berlaku biarlah kita masuk ke hari ke-4 perjalanan saya dan keluarga ke Cambodia dan Thailand 22 November-3 Disember lalu. Bersambung daripada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Antara tarikan purba kuil Preah Vihear dengan panggilan keMelayuan Kampong Cham.


Pagi Ahad 25 November 2018. Kami keluar daripada perkarangan hotel tempat kami menginap untuk melihat lagi bandar Kampong Cham dengan lebih dekat.


Menariknya hotel itu menghadap Sungai Mekong. Kami pun menikmati pemandangan tepian sungai. Lihat artikel Mekong river from our hotel at Kampong Cham blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Kebetulan pemandu tuk tuk yang membawa kami pusing Kampong Cham hari sebelumnya ada di hadapan. Tanpa dipinta beliau menawarkan untuk membawa kami ke warung halal terdekat secara percuma.


Nak jalan kaki pun bukan jauh sangat, setakat 300-400 meter iaitu di warung dalam kawasan pasar tempat kami makan tengah hari Sabtu. Tapi bila dah orang tawar nak bawa secara percuma kami naik ajelah ke situ.


Lagipun dia sebenarnya sudah mendapat bayaran yang boleh tahan lumayan apabila membawa kami berjalan-jalan waktu itu. Dengan membawa kami ke tempat makan secara percuma dia juga boleh mendapat upah untuk mengambil kami apabila keluar dari hotel tengah hari Ahad. 


Sementara itu kam berjalan kaki pusing Kampong Cham. Di tengah perjalanan sejauh 2.5 km itu hingga ke pinggir selatan bandar sebelum kembali ke hotel sempat membeli serbuk kopi tempatan. Lihat Walking around Kampong Cham town.


Di sebelah hotel kami terdapat sebuah hotel lain yang saya lihat adalah bangunan tertinggi di Kampong Cham.


Saya pun mengambil peluang untuk melihat pemandangan sekeliling daripada atas sana. Lihat Views from the tallest building at Kampong Cham. Terasa pemandangan dan keadaan seperti ada persamaan dengan tempat kelahiran saya di Muar. Lihat artikel Views from on top of Muar town... yang ditulis hampir 11 tahun lalu.


Kami check out hotel sekitar jam 11.40 lalu pemandu tuk tuk menghantar ke perhentian bas.


Destinasi kam seterusnya adalah ibu negara Cambodia iaitu Phnom Penh. Kami mahu ke sana dengan bas jam 12.


Sekitar jam 12.18 gitu baru bas sampai.


Masuk jam 12.22 baru ia bergerak.


Lebih 2 jam setengah kemudian bas pun memasuki kawasan pinggiran luar bandar raya Phnom Penh.


Ternyata ia sebuah bandar raya yang besar. Dekat 20 minit kemudian baru hendak memasuki kawasan pusat bandar raya iaitu apabila mengambil jambatan utama menyeberangi Sungai Tonle Sap...







Saya lihat bandar raya Phnom Penh ini boleh tahan hebat. Lihat First impression of Phnom Penh.
.

Namun ia bukanlah destinasi utama kami untuk hari itu. Kami mahu ke tempat lain lebih jauh ke arah selatan dan tenggara menghampiri sempadan selatan Vietnam dengan menaiki kereta api dari Phnom Penh...














Sabtu, Disember 29, 2018

Majlis tahlil ad hoc keluarga Laksamana Raja Mahkota di masjid lama Batak Rabit

Sedar tak sedar kurang 3 hari lagi kita akan memasuki tahun 2019. Perkongsian cerita perjalanan saya dan keluarga ke Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember 2018 baru masuk 3 edisi sahaja sedangkan banyak lagi perkara telah berlaku sejak itu. Sekadar memecahkan dahulu kebuntuan sejak cerita hari ke-3 perjalanan tersebut dipersembahkan 10 hari lalu biar dikongsikan satu cerita. Ia sebenarnya daripada seminggu lalu. Jadilah dalam keadaan saya sibuk dengan perkara-perkara lain selain agak malas menukilkan cerita-cerita baru.


Petang Sabtu 22 Disember 2018, sejurus sebelum masuk waktu Zohor saya bergegas ke masjid lama Batak Rabit di Teluk Intan, Perak.


Masjid yang sudah berusia lebih 150 tahun ini didirikan di atas tanah wakaf keluarga. Di sebelahnya terletak satu kawasan pemakaman atau tanah perkuburan yang dikhaskan untuk ahli keluarga sahaja.


Ahli keluarga yang dimaksudkan adalah daripada nasab keturunan Laksamana Raja Mahkota, satu jawatan pembesar istana yang dipegang secara turun temurun dalam keluarga kami.


Berdasarkan tradisi lama seluruh hilir Perak bermula dari selatan Kampung Gajah dekat Sungai Terus sana membawa ke perairan Kuala Sungai Perak meliputi Bagan Dato' hingga ke Manjong adalah pegangan Laksamana. Batak Rabit adalah pegangan khas bagi satu cabang keluarga...


Batak Rabit pernah menjadi pusat pentadbiran Sultan Perak yang ke-26, Sultan Abdullah Muhammad Shah II (bertakhta 1874-1875). Secara rasminya baginda masih pemegang takhta sehingga tahun 1887 tetapi ketika itu berada dalam buangan di Pulau Seychelles akibat dikatakan terlibat dalam pembunuhan residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875.


Turut dibuang sama adalah seorang moyang saya, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Anakanda beliau, datuk kepada datuk saya yang dikenali sebagai Orang Kaya Besar Muhammad Arshad berkahwin dengan moyang perempuan saya yang dikenali sebagai Hajah Halijah.


Dikatakan Hajah Halijah ini sangat cantik sehingga anak-anak raja sanggup berperang untuk merebutnya. Ayahnya dikenali sebagai Haji Musa, orang kaya yang memiliki tanah ladang luas saujana mata memandang di sekitar Batak Rabit ini.


Identiti mereka diceritakan sebegitu sahaja dalam keluarga kami. Namun Hajah Halijah dikatakan memiliki dayang-dayang dan rumah besar keluarga kami (sudah lama diruntuhkan) ada singgahsana raja di dalamnya.


Tanah wakaf yang mengandungi masjid lama ini sebenarnya diwakafkan oleh Hajah Halijah lalu diamanahkan kepada anak cucunya. Oh, gambar-gambar ini menunjukkan satu majlis tahlil yang diadakan secara ad hoc pada petang Sabtu itu untuk seluruh keluarga besar Laksamana Raja Mahkota.


Adapun tarikh 22 Disember ini telah dicadangkan sejak bulan Syawal lalu. Tetapi kemudian muncul pelbagai hal menyebabkan ia harus ditunda kepada suatu tarikh yang belum diputuskan lagi.


Beberapa orang saudara mara membuat keputusan untuk meneruskan secara ad hoc. Siapa dapat datang datang le...


Selepas majlis tahlil diikuti ta'aruf iaitu kenal mengenal antara keluarga kami pun menziarahi kawasan pemakaman keluarga.


Di sini turut terletak makam pemegang pertama jawatan Laksamana Raja Mahkota. Dikatakan daripada kerabat diraja Bugis, dipercayai ada kena mengena juga dengan kerabat diraja Aceh, beliau yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam @ Tok Kuala Bidor sebenarnya mangkat dan dimakamkan di Kuala Bidor lebih 5 km dari sini tetapi sudah dialih jasad ke Batak Rabit pada tahun 1950an.





Turut diziarahi makam saudara mara lain. Datuk saya, ayah kepada ayah turut dimakamkan di sini.





Kami juga menziarahi makam Sultan ke-22 Perak, Sultan Abdullah Muhammad Shah I (bertakhta 1851-1857) sambil bertandang ke rumah saudara betul-betul di sebelah makam. Untuk makluman makam ini dan kawasan sekitarnya terletak dalam tanah yang asalnya milik saudara mara kami belaka.


Rabu, Disember 19, 2018

Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Antara tarikan purba kuil Preah Vihear dengan panggilan keMelayuan Kampong Cham

Salam. Malam ini saya ada sedikit kekuatan dan kelapangan untuk menyambung penceritaan perjalanan saya dan keluarga ke Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember lalu, Masuklah kepada hari ketiga perjalanan. Bersambung daripada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Angkor Wat dan kuil-kuil lama di sekitar.


Awal pagi Sabtu 24 November 2018. Kami menunggu di hadapan rumah peranginan yang menjadi tempat kami menginap di Siem Reap selama 2 malam.


Kami mahu bergerak ke kuil purba Preah Vihear yang terletak di sempadan utara Cambodia dengan Thailand. Kami telah membeli tiket bas untuk ke bandar terdekat di sana.


Kami dibawa dengan tuk tuk ke stesyen bas yang terletak di luar timur bandar raya Siem Reap.





Ini stesyen basnya. Di Cambodia ini konsepnya syarikat-syarikat bas utama memiliki stesyen sendiri di bandar-bandar.





Selepas jam 8 bas pun sampai lalu kami pun menaikinya.


Walaupun disebut sebagai bas ekspress ia ada mengambil penumpang di beberapa perhentian di sepanjang perjalanan. Bila tempat duduk penuh diberikan pula kerusi-kerusi kecil untuk duduk di bahagian tengah iaitu laluan orang berjalan.


Adapun destinasi kami adalah bandar kecil Sra'aem yang terletak lebih kurang 200 km ke timur laut Siem Reap. 


Dari Sra'aem boleh dapatkan teksi atau sebagainya hingga ke kaki gunung di sempadan Cambodia-Thailand. Di kaki gunung kena beli tiket masuk ke kuil berharga US$10 untuk satu kepala. Kemudian naik bonceng motosikal atau kenderaan 4WD pada kadar US$5 sekepala untuk sampai ke puncak di mana terdapat kuil purba Preah Vihear.


Beginilah rupa bahagian hadapan kuil.


Kedudukan di atas puncak gunung yang bersambung dengan dataran tinggi dalam negara Thailand memberikan pemandangan menakjubkan ke atas dataran rendah yang membentuk sebahagian besar Cambodia...


Namun didapati bas menuju ke arah Kampong Cham di tenggara Siem Reap. Ini adalah jauh mencapah dari laluan ke Sra'aem dan kuil Preah Vihear.


Nasib baik ada seorang pembantu bas boleh bercakap bahasa Melayu. Beliau memberikan jaminan bahawa tiket-tiket yang kami beli daripada ejen ketika hari pertama di Siem Reap memang boleh membawa ke Sra'aem. Cuma kena tukar naik lagi satu bas.


Tempat pertukaran itu terletak di Kampong Thom. Kami harus bertukar naik bas dari Phnom Penh ke Sra'aem. Kebetulan tidak lama selepas sampai ke tempat tersebut bas dari Phnom Penh pun sampai. Kami pun mengalihkan beg-beg ke dalam bas.


Tempat pertukaran itu adalah kawasan rehat bagi syarikat bas yang kami gunakan. Menjadi kebiasaan di Cambodia bas untuk perjalanan lebih 100 km akan berhenti di sekurang-kurangnya satu tempat rehat.


Tetapi kami akhirnya membuat keputusan untuk naik kembali bas ke Kampong Cham. Setelah beberapa lama bas mengalami kerosakan.


Kenapa batalkan niat ke Sra'aem dan kuil Preah Vihear? Kerana dah lari bajet masa. Daripada satu segi kami sudah tersilap membeli tiket. Sepatutnya ada cara dan laluan lain boleh sampai ke Sra'aem dalam tempoh 3-4 jam dari Siem Reap. Sebaliknya kami sampai ke tempat pertukaran pun sudah jam 10.40 iaitu setelah lebih dua setengah jam perjalanan.



Menurut Google Map laluan jauh yang dibuat supaya boleh bertukar menaiki bas dari Phnom Penh boleh dicapai dalam masa kurang 6 jam. Hakikatnya tidak. Kami diberitahu dari tempat pertukaran memerlukan masa 7 jam untuk sampai ke Sra'aem. Kalau begitu dekat jam 4 petang baru sampai. Kat sana kena dapatkan kenderaan lain untuk bergerak lagi 30 km ke pintu masuk ke laluan naik kuil di kaki gunung sedangkan kuil pula tutup jam 5. Memang tak dan. Ertinya kena bermalam di Sra'aem, esoknya baru boleh naik ke kuil Preah Vihear untuk menikmati kesan-kesan purba berserta pemandangan indah. Selepas itu harus tidur lagi di Sra'aem kerana keesokan paginya baru boleh mendapatkan bas menuju ke arah Phnom Penh.


Ah. Memang lari bajet masa kalau begitu sedangkan terdapat banyak lagi tempat mahu disinggahi di Cambodia kemudian masuk ke Thailand sebelum kembali ke Malaysia melalui jalan darat selewatnya 3 Disember 2018. Dah lah perlu menginap 2 malam di Sra'aem nanti nak Kampong Cham seperti dirancang selepas itu pun agak susah dari sana. Maka itu dibuat keputusan naik kembali bas ke Kampong Cham. Nasib baik kerosakan yang rupanya menjadi kebiasaan bagi bas-bas di sana dapat diperbaiki walaupun memakan masa lalu kami pun sampai jam 1.18 petang.


Nampaknya hajat kami mahu melawat kuil Preah Vihear harus ditunda ke suatu waktu yang lain. Sekurang-kurangnya kami lega dah sampai ke Kampong Cham yang memang termasuk dalam destinasi yang dirancang, cuma asalnya ia mahu dijejaki selepas kuil Preah Vihear. Penat wooo 5 jam dalam bas. Kami pun mendapatkan tuk tuk ke hotel. Dalam perjalanan itu dapatlah melihat keadaan Kampong Cham. Lihat artikel Early look at Kampong Cham di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Selepas check in di hotel lalu berehat sebentar kami naik tuk tuk yang sama lalu dibawa ke kawasan pasar.


Di situ ada satu tempat makanan halal. Alhamdulillah, kami pun layan makan tengah hari.


Selepas itu kami meminta agar dibawa ke satu kuil lama bersejarah.


Ia didirikan lebih 800 tahun lalu. Lihat artikel Kuil (Temple of) Nokor Bachey, Kampong Cham di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)
.

Seterusnya kami meminta dibawa melihat masjid-masjid lama berdekatan. Pemandu tuk tuk kami yang beragama Buddha pun membawa menaiki jambatan menyeberangi Sungai Mekong.


Di Kampong Cham inilah kami pertama kali kami melihat sungai sepanjang 4,350 km ini, sungai ke-12 terpanjang di dunia. Walaupun kedudukan belah sini adalah lebih 400 km jauh dari kuala di selatan Vietnam lebarnya mencapai 1 hingga 1.5 km. Lihat Mekong river from the bridge at Kampong Cham.


Kampung-kampung Melayu Islam banyak terdapat di seberang.


Di sini kami sempat menziarahi dua buah masjid termasuk satu yang katanya didirikan di atas tapak masjid lama yang sudah wujud lebih 400 tahun lalu. Lihat Masjid (Mosque of) al-Ikhsan, Kampong Cham diikuti Masjid (Mosque of) ar-Rahmah, Kampong Cham.


Saya sempat melihat pemandangan sungai juga bandar daripada tebing di seberang dan dari atas sebuah menara berdekatan. Selepas itu kami kembali menghala ke bandar. Lihat Mekong river from a part across Kampong Cham town diikuti Views from the French tower at Kampong Cham.


Kami dibawa ke masjid utama yang terletak di selatan bandar Kampong Cham. Lihat Masjid jamek (Main mosque of) Kampong Cham.


Selepas itu kami berehat minum air kelapa dan tebu sambil melihat pemandangan daripada tepian Sungai Mekong. Lihat Mekong river from southern side of Kampong Cham town. Sekarang biar dikongsikan satu cerita tentang asal usul orang Melayu atau lebih tepat, orang Melayu Cham yang menjadi penduduk utama Islam dalam kerajaan atau negara Cambodia/Kemboja yang dikuasai orang bangsa Khmer yang majoritinya beragama Buddha.


Adapun orang Melayu di Cambodia rata-rata adalah orang Melayu Cham yang berasal daripada kerajaan Champa satu kerajaan lama Melayu yang kini telah 'ditelan' menjadi separuh daripada negara Vietnam. Pemandu tuk tuk memberitahu Kampong Cham adalah tempat pertama orang Melayu Cham mendarat menggunakan laluan Sungai Mekong setelah kerajaan Cham pertama kali mengalami kekalahan besar oleh puak Dai Viet yang berasal daripada selatan China iaitu di sekitar Hanoi sekarang. Dia memberitahu ini berlaku lebih 500 tahun lalu. Memang sejarah ada menyebut kerajaan Champa mula jatuh ke tangan Dai Viet pada tahun 1471 Masihi. Ketika itu kerajaan utama Champa di bahagian tengah Vietnam hancur digasak tentera Dait Viet. Yang tinggal kerajaan-kerajaan bawahannya di selatan yang kemudian ditakluki sedikit-sedikit demi sedikit sehingga hilang langsung nama Champa dalam peta-peta rasmi selepas pertengahan abad ke-19.

Menariknya menurut pemandu tuk tuk kejatuhan Champa berlaku akibat perempuan. Pihak Dai Viet sudah lama mengidam mahu menakluki Champa tetapi tidak berjaya disebabkan pertahanannya yang kuat. Secara simboliknya pertahanan ini terkait dengan pokok-pokok bunga cempaka yang ditanam mengelilingi istana raja. Dai Viet pun memulakan muslihat dengan menghantar seorang perempuan cantik menghampiri istana Champa.

Kehadiran ini pada mulanya disedari oleh panglima-panglima besar Champa. Lalu mereka mula bergaduh disebabkan berebut seorang perempuan. Mendengarkan kekecohan tersebut raja memerintahkan agar perempuan itu dibawa masuk ke dalam istana. Baginda ingin melihat wanita bagaimanakah ini sehingga dapat membuat panglima-panglimanya berbalah.

Ternyata perempuan itu memang sangat cantik sehingga raja pun jatuh hati. Raja pun mengajaknya untuk berkahwin lalu diberikan syarat - Raja mesti membenarkan ahli keluarga dan saudara mara perempuan itu masuk menetap menjadi sebahagian daripada warga istana. Raja pun bersetuju lalu ahli keluarga dan saudara mara dibawa masuk dalam jumlah 50 orang gitu dari kalangan puak Dai Viet. Tidak lama kemudian mereka mendapat kedudukan-kedudukan istimewa dalam istana.

Setelah melahirkan beberapa orang anak baru muslihat seterusnya dilaksanakan. Perempuan cantik yang sudah menjadi permaisuri Champa itu pura-pura sakit. Ada pula tabib bersekongkol menyatakan bahawa beliau sakit kerana terhidup bau bunga cempaka yang mengelilingi pagar istana. Raja dinasihatkan agar memotong semua pokok jika mahu permaisuri pulih. Pada mulanya baginda enggan. Namun lama-lama termakan 'nasihat' tabib dan pujuk rayu isteri lalu habis diratakan semua pokok.

Hal ini rupa-rupanya menimbulkan kemarahan para pembesar baginda termasuk yang beragama Islam. Akibatnya raja dibunuh mereka (ini kata pemandu tuk tuk le) lalu permaisuri naik memangku takhta. Selepas itulah permaisuri bertindak untuk fasa muslihat seterusnya. Pembesar-pembesar raja pula dibunuhnya sementara saudara mara permaisuri daripada kaum Dai Viet mencengkam kuasa. Dalam keadaan itu tentera Dai Viet dari luar masuk lalu dapat mengalahkan Champa dengan mudah. Mereka membunuh segala orang Melayu yang sudah ramai Islam. Sebahagian dapat lari lalu mudik Sungai Mekong dengan beberapa kapal besar.

Penempatan pertama mereka di bumi Kemboja didirikan di Kampong Cham. Daripada situlah mereka masuk ke bahagian-bahagian lain negara. Rasanya cukuplah berkongsi cerita ya. Nak lebih lanjut sila tanya kepada orang lain.