Artikel untuk majlis ilmu pertama dihadiri saya tahun ini.
Beberapa hari lepas saya mendapat tahu tentang acara yang terpapar di atas mahu diadakan di UPNM iaitu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Setakat yang dapat dilhat ini adalah acara pertama berbentuk seminar dan sebagainya melibatkan sejarah mahu diadakan di mana-mana instirusi pengajian tinggi atau badan yang setarafnya di Malaysia buat tahun baru 2017.
Terasa ia adalah pembuka tahun yang baik untuk seorang pengkaji sejarah yang mahu mendaulatkan Melayu Islam seperti saya. Sampai waktunya iaitu pagi semalam 10 Januari, satu tarikh yang cantik sebenarnya (10 Januari bersamaan 10.01...seperti 1001 malam) saya pun bergegas ke lokasi acara...
Ketika saya mengambil tempat duduk di barisan hadapan dewan sekitar jam 10,36 Profesor Emeritus Dato’ Dr. Wan Hashim Bin Wan Teh yang merupakan dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM.sedang memberikan sedikit kata-kata pengenalan tentang Hang Tuah dan majlis.
Beliau yang merupakan orang lama dalam pengkajian hal-hal mengenai ketamadunan Melayu, pernah memimpin ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu) di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) memberikan gambaran apakah yang akan dipersembahkan oleh ahli-ahli panelis majlis.
Para panelis adalah seperti berikut, Saya sunting sedikit daripada maklumat yang dipanjangkan kepada saya melalui Facebook :-
1. Dr Rohaidah Kamarudin dari Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau disebut akan bercakap tentang dokumen-dokumen dari kerajaan Ryukyu abad ke 15 Masihi (sekarang sebahagian daripada negara Jepun) yang mana terdapat surat-surat dari Laksamana, juga sebilah keris lama Melayu di sana, Turut mahu disebut adalah tentang kunjungan Hang Tuah ke kerajaan Vijayanagar di benua Hindi ataupun India.
2. Prof Emeritus.Dr Hashim Musa, dijangka bercakap tentang kapal Melayu.
3. Dato Paduka Zainal Al-Johan, katanya bekas kor marin Amerika Syarikat.(US) semasa Gulf War atau Perang Teluk dan keturunan Bendahara Melaka.
Mereka didudukkan di atas pentas dari kiri ke kanan sepertimana aturan panelis yang disenaraikan tadi. Di atas kelihatan paparan sebuah buku yang ditulis oleh Rohaidah dan Hashim. Rujuk ulasan saya lebih setahun lalu tentang buku tersebut. Lihat artikel Buku "Hang Tuah : Catatan Okinawa".
Sekitar jam 10.50 Rohaidah pun mengambil tempat. Beliau tidak membuka dengan Ryukyu tetapi dengan berkongsikan beberapa penemuan terbaru membuktikan Hang Tuah pernah menjejakkan kaki di kerajaan Vijanagar.
Ditunjukkan satu video dokumentari sejarah India buatan orang sana yang mana watak bernama Hang Tuah disebut dengan terang pernah menghadap lalu berkhidmat dengan maharaja kerajaan Vijayanagar,
Sesungguhnya cerita ini memang ada disebut di dalam Hikayat Hang Tuah, Namun ramai masih beranggapan hikayat itu adalah dongeng semata-mata. Maka itu untuk membuka mata orang ramai perlu dicari bukti-bukti berkaitan di negara-negara dan tempat yang disebut hikayat pernah dilawati Hang Tuah. Di bawah ini saya letakkan video dokumentari India yang menceritakan tentang Hang Tuah itu,,,
Video ini sebenarnya sebahagian daripada satu siri dokumentari 53 episod tentang sejarah India yang diterbitkan tahun 1988. Ia dibuat berdasarkan buku The Discovery of India tulisan Jawaharlal Nehru, perdana menteri pertama India (berkhidmat 15 Ogos 1947 – 27 Mei 1964). Saya menyemak sendiri secara laju (bukan tengok semuanya daripada mula sampai akhir) video ini lalu mendapati watak yang dikatakan Hang Tuah muncul mulai minit 22:17 dengan perkataan "Hikayat Hang Tuah" disebut dengan jelas walaupun semua dialog adalah dalam bahasa India. Saya mengesan lagi watak Hang Tuah mulai minit 41:26. Cuma kali ini beliau disebut sebagai Laskhman, merujuk pada pangkat dan gelaran beliau iaitu Laksamana...
Kemudian baru Rohaidah menysebut tentang bukti-bukti Hang Tuah pernah melawat negara Jepun. Lebih tepat Jepun yang dimaksudkan adalah kepulauan Okinawa laut belah selatan menghala ke China. Di situ pernah berdiri kerajaan tersendiri Ryukyu sebelum ia diserapkan ke dalam Jepun yang kita kenal hari ini bermula sekitar abad ke-19 gitu.
Apa yang diperkatakan tentang Hang Tuah dan Ryukyu adalah lebih kurang serupa dengan apa yang saya lihat dibentangkan oleh beliau dalam satu majlis lain di Kuala Lumpur lebih setahun lalu. Lihat artikel Antara mitos dan sejarah Hang Tuah - Leonardo da Vinci pun ada kena mengena?
Sekitar jam 11.15 sampai giliran Hashim yang merupakan guru Rohaidah untuk membentang. Untuk makluman mereka adalah penulis buku tentang Hang Tuah dan Okinawa (Ryukyu) yang disebut pada awal artikel ini. Dan mereka juga sama-sama pernah membentang dalam majlis di Wisma Sejarah yang disebut sebentar tadi.
Maklumat awal yang saya terima tentang pembentangan menyebut beliau akan bercerita tentang kapal Melayu. Tetapi apabila naik ke pentas ternyata Hashim mahu menambah lagi bukti-bukti tentang kewujudan Hang Tuah, kali ini melalui cerita-cerita tentang pahlawan besar Melayu itu yang tersebar luas di Alam Melayu/Nusantara kita.
Skop pengembaraan/perjalanan Hang Tuah ke merata dunia seperti disebut dalam Hikayat Hang Tuah kemudian mula dikupas beliau.
Disebut juga 7 perkara pada diri dan peribadi Hang Tuah yang melambangkan sifat budiman atau gentleman orang Melayu.
Sekitar jam 11.43 giliran Zainal mengambil pentas dengan menceritakan apa yang beliau ketahui tentang Hang Tuah melalui kajiannya yang tersendiri.
Bercakap terus tanpa bantuan slaid beliau memberitahu bahawa tidak patut lagi keris Taming Sari yang sering dikaitkan dengan kehebatan Hang Tuah diperbesar-besarkan lagi. Kata Zainal sepatutnya yang diperbesarkan adalah keris Tempa Melaka yang dianugerahkan oleh Sultan Melaka kepada Hang Tuah.
Beliau yang menyatakan diri sebagai keturunan keluarga Bendahara Melaka juga menunjukkan alat-alatan yang menurut beliau diwarisi turun temurun dalam keluarga sejak 500 tahun lalu.
Tetapi terus terang saya harus menyatakan di sini. Banyak dakwaan beliau perlu disiasat dengan adil dan teliti. Ini kerana saya tahu sejumlah cerita kurang enak tentang Zainal yang antara lain mempersoalkan apakah barang-barang yang didakwa diwarisi dalam keluarga sejak 500 tahun dahulu adalah barangan asli atau buatan kemudian, barangan yang boleh ditiru orang, boleh dibeli di tempat-tempat seperti Central Market (Pasar Seni) atau sesetengah pasar karat? Selain itu ada dakwaan malah laporan polis dibuat orang melibatkan wang 'dilaburkan' kepada beliau 'belum lagi menjadi'.
Posisi saya tentang semua ini, Zainal memang hebat dalam bercerita hal-hal yang boleh membangkitkan semangat orang Melayu. Tetapi apakah kata-kata beliau selari dengan perbuatan dan amalan diri sendiri? Mereka yang sudah 'terkena' telah menyatakan sebaliknya. Cukup kata-kata saya tentang ini.
Sekitar jam 12.42. Tanpa masuk dalam rancangan asal program, budayawan dan penyair Dr. Ibrahim Ghaffar dipanggil naik ke pentas membaca sebuah sajak.
Nasib baik beliau sentiasa siap siaga untuk melantunkan bait-bait puitis. Pilihan untuk memakai busana tradisional anak bangsa menyerlahkan penampilan. Peribadi dan semangat sejati orang Melayu pun dilaungkan menambah warna acara tentang Hang Tuah ini.
Ibrahim yang juga merupakan seorang pesilat selain aktivis budaya bukan seorang sahaja berpakain begitu. Beberapa orang aktivis termasuk saya turut datang berbusana tradisional Melayu. Dikongsikan beberapa keping gambar yang diletakkan kawan-kawan ke dalam FB...
Kami berbuat begini kerana mahu menampilkan identiti sejati keMelayuan dalam satu majlis yang mahu memperkatakan tentang satu tokoh besar ikon orang Melayu seperti Hang Tuah. Bergambar beramai-ramai bersama hadirin yang majoritinya merupakan pelajar dan tenaga pengajar UPNM.
Kawan-kawan busana bergambar bersama panelis dan lain-lain selepas makan tengah hari. Difahamkan kehadiran kami berpakaian begini agak memeranjatkan namun sangat memuaskan hati pihak penganjur. Alhamdulillah... :)