Setelah beberapa lama sampailah kita ke cerita akhir perjalanan di Pantai Timur. Masuk hari ke-7. Bersambung daripada Beruzlah ke Pantai Timur - Tok Pulau Manis dan legasi lama Terengganu di Kuala Berang.
Pagi Isnin 5 September 2016. Kami telah menginap di rumah kawan dari Kuantan. Ia terletak di satu kawasan bernama Beserah. Kami dapat tahu di situ wujud sebuah masjid lama yang ada sejarahnya yang tersendiri.
Kami pun meminta kawan menunjukkan jalan ke sana. Kami mahu singgah dan lihat apa yang ada. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Tok Senik, Beserah, Kuantan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Nah. Inilah sejarahnya...
Maklumat sejarah itu terpampang di luar makam pengasas masjid lama dan Kampung Beserah. Kami pun menziarahi makam. Lihat Makam (Tomb of) Tok Senik, Beserah, Kuantan.
Sekitar jam 11.20 kami berpisah dengan kawan untuk menyambung perjalanan kembali ke rumah.
Alang-alang dah dekat kami pergi sebentar ke pantai Teluk Chempedak.
Kemudian masuk ke pusat bandar Kuantan.
Setelah mengisi minyak kami mengambil jalan lama ke Gambang.
Setelah beberapa jauh baru masuk ke Lebuh Raya Pantai Timur menghala ke barat.
Gerbang sebelum jambatan menyeberangi Sungai Pahang ini menandakan kami sudah menghampiri bandar Temerloh.
Keluar melalui tol Temerloh, kami masuk ke satu kawasan perkampungan tepian sungai sebelum bandar...
Tujuan utama kami ke sini adalah untuk melawat bengkel ukiran kayu milik seorang kenalan. Lihat artikel Looking for bargain at a woodcraft workshop in Temerloh di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Daripada beliau kami dapat tahu tidak perlu masuk ke bandar Temerloh untuk menikmati hidangan enak ikan patin masak lemak tempoyak yang sangat terkenal di sebelah sini. Sebaliknya singgah sahaja di sebuah kedai makan berdekatan...
Nah layan...
Dari kedai makan kelihatan pemandangan permai Sungai Pahang. Lihat Views from a riverside restaurant at Kampung Bangau Tanjung, Temerloh.
Kami turut menziarahi sebuah makam berdekatan.
Kemudian baru masuk ke bandar Temerloh.
Kami mahu mengambil jalan lama menghala ke Kuala Lumpur.
Setelah beberapa lama sampailah ke Karak. Selepas pekan tersebut baru kami mengambil lebuh raya.
Sampai ke rumah meter kereta menunjukkan ia telah berjalan sejauh 1,100 km. Tetapi itu untuk perjalanan isteri ke Kuala Terengganu sebelum kembali bersama saya ke rumah. Kalau saya sendiri harus sudah berjalan lebih 1,300 km kerana perjalanan dari rumah ke Tumpat lebih jauh berbanding ke KT. Kemudian dari Tumpat ke KT ada lebih 200 km lagi.
Di atas adalah sedikit 'juadah' yang dibawa kembali daripada perjalanan ini. Ia sebenarnya dibeli di bengkel ukiran kayu milik kenalan di Temerloh, tapi bolehlah disebut sebagai 'juadah' dari Pantai Timur kerana dibeli dalam perjalanan kembali dari situ. Ukiran kelihatan antik kerana pernah terbenam dalam lumpur ketika banjir besar Pahang melanda dan menenggelamkan banyak tempat tahun 2015. Kecuali ukiran kalimah Basmallah yang dipasang di pondok hadapan rumah, lain-lain telah diabadikan pada loteng atas rumah. Alhamdulillah... :]