Rabu, Ogos 10, 2016

Orang Melayu : Asal usul mereka, penghijrahan dan pengembaraan

OK. Ini ada cerita tentang wacana ilmu terbaru...

Lima hari lepas saya mendapat sms daripada nombor yang tidak dikenali. Bunyinya begini, saya taip betul-betul ikut dalam sms ya kecuali tidak dimasukkan simbol-simbol...

"Salam Sdr Merah Silu, didoakan sihat walafiat! 

Sukacita diundang ke majlis syarahan saya berjudul "The Malays, Their Origin, Migration and Travels" di Al-Tabari Conference Room, Level 3, Humanities Building, KIRKHS, IIUM, Gombak, pada hari Isnin 8 Ogos jam 11 pagi. Tk!"

Nombor telefon yang tertera tiada dalam simpanan saya. Saya pun jawab begini : "Wassalam. Siapa ni?"

Setelah beberapa lama keluar jawaban : "Salam Sdr Merah Silu, saya dari USM. Mohon hadir..."



Turut disertakan pada jawaban adalah poster atas, Baru saya tersedar siapakah yang mengundang lalu menjawab : "Wassalam. La... Prof Salleh Yaapar ya? Baiklah, Saya hadir". 

Untuk pengetahuan ini bukan orang sembarangan. Beliau adalah profesor sastera perbandingan dan ombudsman (satu jawatan yang bertanggungjawab menyiasat aduan salah laku dan sebagainya) di Universiti Sains Malaysia, fellow terpilih (distinguished) di Pusat Dunia Melayu dan Tamadun Islam UIA juga pengerusi jawatankuasa pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun apabila ditanya siapakah beliau, dijawabnya sekadar "saya dari USM". Beliau juga pernah memegang kerusi (chair) Pengajian Melayu di University of Leiden, Belanda. Kalau tidak diletakkan poster tentu saya tidak tahu itu adalah beliau lalu belum tentu datang...


Sampai waktunya saya pun bergegas ke lokasi berkenaan... 


Setelah menggagau buat beberapa lama mencari lokasi tepat di kampus UIAM yang besar itu sampailah ke tempatnya...


Saya mengambil gambar ini sejurus masuk bilik persidangan, Kelihatan bilik begitu penuh diisi orang. Rekod dalam kamera menyatakan gambar diambil pada jam 11.28. Mengikut poster syarahan bermula jam 11 bermakna banyaklah juga saya tertinggal... 


Pun begitu, disebabkan yang menyapa saya daripada jauh sebaik sahaja kelihatan di muka pintu adalah orang yang memberikan syarahan, salah seorang ahli akademik terunggul di Malaysia, saya terus diajak mengambil tempat di satu-satunya kerusi kosong yang kelihatam.  Tapi letak paling hadapan dalam bilik membelakangi belasan, mungkin lebih 20 orang cendekiawan bertaraf profesor daripada merata institusi pengajian tinggi tempatan. Dah nak dekat habis syarahan baru tersedar bahawa kerusi yang diisi itu adalah tempat duduk Salleh sendiri sebelum dia bangun mengambil tempat untuk bersyarah di podium. Dia tiada masalah saya mengambil tempat, orang lain apa lagi nak kata walaupun penampilan saya mungkin agak janggal pada kebanyakan orang. Saya memakai t-shirt bertulis "Daulah Melayu", berseluar kain pelekat petak-petak, bersampin, bertanjak dan berkeris tetapi membawa sekali beg rucksack berisi sebuah laptop...

Kalau ada yang kata saya bercerita ini untuk menunjuk-nunjuk hubungan baik saya dengan beberapa orang cendekiawan ternama Malaysia, maka saya kata benar. Ya saya menunjuk-nunjuk. Tetapi bukan untuk mengangkat diri sendiri atau memperkecilkan orang lain. Saya mahu orang-orang tertentu (mohon terasa) yang merasakan diri mereka sangat penting, para pencetus kebangkitan kajian sejarah Melayu tanah air supaya lebih sedar diri dan kedudukan DALAM DUNIA SEBENAR. Jangan dibanggakan sangat 'pencapaian' melalui Internet semata sedangkan di luar sana ramai orang bertungkus-lumus memperjuangkan kebangkitan sejarah sejati dan jiwa anak Melayu di medan laga mengambil risiko boleh hilang kerja malah hilang nyawa. 

Mereka-mereka yang betul-betul berjuang di lapangan ini ibarat para perintis yang membuka jalan hutan, penat-penat menebang pokok menghalau binatang buas, hantu, jin, syaitan dan sebagainya sehingga ada yang terkorban. Antara mereka ada yang sempat menanam benih pohon kebangkitan. Bertahun kemudian pokok sudah besar dan berbuah, Kamu-kamu generasi sekarang cuma perlu petik buah dan agihkan. Tapi kamu pula boleh mendakwa segala perkara sampai naik pokok dan dapat buah itu adalah hasil usaha diri kamu sahaja. Kamu tak nampak atau saja-saja buat tak nampak, tidak mahu mengiktiraf malah memperlekehkan usaha orang-orang awal di medan juang sebenar...



Berbalik pada syarahan, Ketika saya sampai bahagian pertama sedang diperkatakan... 


Disebut bagaimana orang Melayu sudah dikenali di negeri China sejak zaman pemerintahan Dinasti Tang (618-907 Masihi), selari dengan zaman kegemilangan Empayar Srivijaya di Alam Melayu. 


Hal ini ditegaskan melalui fakta bahawa ada cerita popular Cina menyebut tentang seorang pendekar Melayu terkenal yang sangat cekap ilmu bela diri, boleh terbang dan sebagainya. Dalam teks sebenar orang itu disebut berasal dari suatu tempat dipanggil Kunlun sedangkan ramai berpendapat ini tidak lain adalah Tanah Melayu. Pendekar ini menjadi hero dalam satu cerita romantik Cina yang diminati ramai. Ia kemudian diangkat menjadi pelbagai lagi cerita malah komik berkaitan,. Malah dijadikan cerita tontonon di wayang (ke kaca televisyen, tak perasan pula saya). Cuma dalam cerita tidak jelas asal usul pendekar kecuali dikatakan dari Kunlun. 


Syarahan kemudian masuk pada sejarah awal orang Melayu. Ini dibuka sambil menegaskan penolakan terhadap teori-teori lapuk  yang mengatakan orang Melayu berasal dari China. 



Seterusnya saya rasa tidak perlu dihuraikan lagi. Apa yang dikongsikan saya lihat serupa dengan syarahan pertama Salleh yang pernah saya hadiri iaitu di DBP hampir 2 tahun lalu. Cuma ada sedikit penambahan fakta sokongan dan syarahan ini dipersembahkan dalam bahasa Inggeris, seperti kebiasaannya pada majlis-majlis ilmu di UIA, Lihat artikel-artikel lama berikut :-


Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Ke Arah Pencerahan yang Dinantikan




Selain itu anda boleh baca sendiri isi yang tertera pada slaid. Saya ada mengambil gambar sekitar 30 keping slaid. Lihat artikel The Malays : Their Origins, Migration and Travels di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.