Selasa, Mei 10, 2016

Menelusuri Jejak Leluhur : Menyingkap Makna Wasiat Nabi

Merujuk pada artikel Mengambil berkat 1 Syaaban menelusuri jejak leluhur di Pesta Buku KL 2016 yang dibuat semalam. Hari ini biar dikongsikan sedikit isi dan ulasan ringkas tentang buku yang ada diceritakan dalam artikel tersebut.


Ia adalah buku terbaru saya "Menelusuri Jejak Leluhur : Menyingkap Warna Wasiat Nabi", buku ke-2 saya bersama Hijjaz Records Publishing merangkap buku ke-9 keseluruhan sejak saya mula menulis kemudian menerbitkan buku tahun 2006. Buku ini adalah sambungan kepada buku pertama bersama Hijjaz yang terbit setengah tahun lalu. Kedua-dua buku membentuk apa yang dipanggil sebagai Siri Pengembaraan Merah Silu. Lihat artikel lama Mencari Diri dan Erti : Menjejak Salasilah Kesultanan yang Hilang" dah keluar!.


Berikut adalah isi kandungan buku. Anda boleh buka dalam tingkap (windows) baru untuk paparan yang lebih besar dan jelas.






Maaf kerana gambar-gambar ini 'terpusing' ke sisi. Entah kenapa ia jadi begini dengan sendiri apabila dimuatnaik ke blogspot. Perkara ini pernah beberapa kali berlaku sebelum ini tetapi dah bertahun tidak berlaku. Apabila cuba membetulkan berkali-kali tapi masih begini juga hasilnya saya anggap dah begitu yang dikehendaki Allah SWT. Mungkin ada sebab dan makna gambar-gambar tertentu sahaja menjadi begini.





Mungkin Allah SWT hendak kita mencari hikmah atau petunjuk di sebalik cerita yang gambarnya jadi tonggang terbalik begini. Apapun, anda boleh save image, buka dalam Paint kemudian pusingkan balik untuk bacaan sendiri.





Secara rata Bab 1 menceritakan apa yang berlaku dalam perjalanan saya daripada Pulau Pinang ke Medan awal Januari 2014. Untuk makluman, watak utama Muhammad al-Aminul Rasyid dalam novel travelog ini dibuat berdasarkan pengalaman sebenar saya.



Bab 2 baru hendak menyentuh tentang raja yang dikenali sebagai Merah Silu. Nama itulah yang digunakan sekian lama untuk memperkenalkan diri saya kepada khalayak di Internet bermula pertengahan 2006 lalu ia melekat sampai sekarang.


Gambar terbalik lagi. Alahai...





Di sini saya tidak mahu bercerita panjang. Cukuplah menyatakan tajuk utama buku, "Menelusuri Jejak Leluhur" itu diberi kerana cerita dalam buku berlatarbelakangkan perjalanan saya hendak masuk ke Aceh untuk mencari jejak dan sejarah nenek moyang. Cuma disebabkan Aceh sedang darurat akibat perang antara puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dengan TNI (Tentera Nasional Indonesia) orang luar tidak dibenarkan masuk ke Aceh. Sebelum itu pernah wujud perkhidmatan feri dari Pulau Pinang terus masuk ke sana. Disebabkan darurat perkhidmatan ini dibatalkan. Tapi saya bertekad juga untuk pergi lalu harus masuk dahulu ke Medan. Dari Medan cuba pula usaha masuk ke Aceh melalui jalan darat. Singgahlah ke beberapa tempat dalam perjalanan.



Tajuk kecil buku pula menyebut ; "Menyingkap Makna Wasiat Nabi". Ini sebenarnya merujuk pada satu sabda Nabi yang muncul dalam kitab Hikayat Raja Pasai, juga Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.









Namun ia tidak boleh ditemui dalam mana-mana kitab hadis sahih yang dipegang orang ramai, antaranya Sahih Muslim, Sahih Bukhari dan Sahih Tirmidzi. Maka buku ini cuba menerangkan juga bagaimana ia pula boleh muncul dalam hikayat. Dengan cara meneliti sejarah pergolakan Kekhalifahan Umaiyah dan Kekhalifahan Abbasiyah di Timur Tengah dan bagaimana ia boleh mempengaruhi proses pengumpulan dan pengsahihan hadis...





Lain-lain tak perlulah diceritakan di sini ya. Yang nyata banyak perkara dibincangkan termasuk bab mati dan perjalanan mencari keTuhanan dan Tasawuf. Dapatkan sendiri buku ini dan telaah isinya di kedai-kedai buku utama seperti rangkaian MPH dan Popular Bookstores.



Isnin, Mei 09, 2016

Mengambil berkat 1 Syaaban menelusuri jejak leluhur di Pesta Buku KL 2016

Salam semua. Rabu lalu saya telah membuat artikel bertajuk Ke Pesta Buku KL di Serdang untuk menjernihkan hal buku yang dituduh berunsur Syiah lalu menceritakan apa yang berlaku di pesta buku pada hari itu. Hari ini biar dikongsikan kesinambungan tentang buku...


Pada artikel tersebut telah diceritakan perasaan kecewa apabila buku pertama saya bersama Hijjaz Records Publishing (HRP) iaitu "Mencari Diri dan Erti" merangkap buku ke-8 keseluruhan saya dituduh oleh pihak KDN atau Kementerian Dalam Negeri sebagai berunsur Syiah. Hal ini menyebabkan sesi bedah buku yang sepatutnya berlangsung pagi Jumaat 6 Mei 2016 dibatalkan lalu saya rasa apa perlu pegi lagi ke pesta yang diadakan lebih 70 km jauh dari rumah saya. Kemudian berlaku sesuatu yang mengubah fikiran. Pagi Ahad 8 Mei pun saya pergi lagi ke pesta buku, melalui jalan belakang sama yang diambil pada hari Rabu,..


Terus menuju ke khemah yang diwar-warkan sebagai pentas utama.


Ada sesi bedah buku bersama seorang lagi penulis HRP. Saya memang diundang untuk menghadirinya lalu mahu menunjukkan sokongan kepada penulis juga kepada Hijjaz.


Untuk makluman bila sesi bedah buku saya pagi Jumaat dibatalkan, inilah satu-satunya sesi yang tinggal untuk HRP. Bermula jam 10 pagi, ketika pesta buku secara keseluruhan pun baru dibuka ia juga adalah majlis pertama di pentas utama pesta pada hari itu. Bukan senang hendak menarik ramai pengunjung untuk bersama kerana saya lihat apa yang dipanggil pentas utama ini tidak strategik kedudukannya kerana terletak agak terkeluar daripada laluan orang ramai.


Sesi bedah buku itu tamat sebelum jam 11. Ketika itu saya dapati kaki tangan satu badan terus mula mengatur barangan untuk majlis seterusnya. Rupa-rupanya ada sesi pelancaran buku oleh DBP atau Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya terus tertarik apabila melihat antara buku yang dilancarkan adalah terjemahan kitab Rubaiyat karangan Omar Khayyam ke dalam Bahasa Melayu. Ini kerana kitab tulisan pujangga Parsi (terjemahan Bahasa Inggeris) ini pernah menjadi kegemaran dan salah satu rujukan utama saya ketika baru berjinak-jinak dengan dunia Tasawuf hampir 30 tahun yang lampau.


Ketika majlis bermula jam 11 ramai sudah kelihatan. Memang kebiasaan pada mana-mana majlis pun macam tu apa lagi pada hari Ahad di mana orang ramai lebih suka berehat lama di rumah, nak dekat tengah hari baru keluar. Lagipun DBP sebagai satu badan besar dan berwibawa tentu lebih arif dengan cara-cara menarik orang. Staf mereka pun ramai dan tahun ini saya lihat promosi mereka sangat menonjol, sangat berbeza berbanding penyertaan mereka dalam Pesta Buku KL pada tahun-tahun lepas.


Saya mengikut majlis hingga tamat. Selain tertarik kerana terjemahan Rubaiyat dilancarkan, saya mengikutinya sampai habis kerana ia dilancarkan oleh pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Dato' Seri Dr. Md. Salleh Yaapar. Ini kerana beliau adalah salah seorang cendekiawan dan ahli akademik yang baik dengan saya. Kami mula berkenalan apabila saya menghadiri satu syarahan beliau di DBP hampir 2 tahun lalu. Lihat artikel lama Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Ke Arah Pencerahan yang Dinantikan.. diikuti Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Sudah terang lagi bersuluh!


Ketika beliau sampai ke majlis lalu ternampak saya, kami pun bersalaman. "Lama kita tak jumpa," kata Salleh. Kali terakhir kami bertemu adalah apabila saya mewancara beliau untuk dokumentari "Daulah Melayu" di pejabat beliau di DBP (beliau juga ada pejabat di USM Pulau Pinang), kalau tak salah ingatan sudah setahun lalu. Sebaik sahaja melihat muka saya beliau terus bertanya kepada krew : "Kenapa tak beritahu Merah Silu yang datang?". Rupa-rupanya sejak pertemuan pertama diikuti ulasan dalam blogspot Salleh ada mengikuti penulisan dan perkembangan perjalanan saya mencari sejarah.


Apapun selain Rubaiyat, dilancarkan juga sejumlah buku-buku klasik sastera Melayu yang dahulu pernah diterbitkan oleh syarikat Fajar Bakti (kini dikenali sebagai Fajar Oxford). Difahamkan DBP telah membeli hak untuk menerbitkan buku lalu membuat cetakan baru. Satu video pendek pelancaran ditunjukkan selepas ucapan perasmian oleh Salleh. Termasuk dalam koleksi buku ini adalah Hikayat Raja Pasai, kitab utama Melayu yang pernah saya gunakan 15 tahun lalu untuk mencari jejak leluhur saya sebelah bapa yang terkait dengan Aceh.


Majlis pelancaran tamat sekitar jam 11.40 lalu saya mula berjalan-jalan melihat bahagian lain pesta buku.





Masuk ke dewan paling besar kelihatan ramai orang sedang bertumpu ke reruai DBP. OK., saya baru beberapa hari tahu bahawa perkataan reruai lebih sesuai untuk merujuk pada booth terutama untuk buku. Sebelum ini saya sering menyebut gerai buku.


Kelihatan reruai DBP sangat menarik kali ini.


Selang beberapa waktu mesti ada persembahan, bacaan puisi dan sebagainya. Ketika ini ada sketsa cerita Puteri Gunung Ledang, kalau tak salah tentang peminangan oleh Sultan Melaka...








Sambil meninjau ke reruai-reruai lain kelihatan suasana sungguh meriah di merata arah.


Pada saya lokasi Pesta Buku Antarabangsa KL 2016 di MAEPS, Serdang ini sudah cukup bagus. Ia boleh menjadi lebih baik berbanding PWTC di tengah bandar raya KL yang telah menyaksikan PBAKL diadakan di sana buat beberapa tahun. Walaupun ada yang merungut kerana katanya terdapat masalah itu masalah ini pada saya ia boleh diperbaiki dan diatasi nanti. Ini cuma dapat dilakukan dengan baik setelah mendapat cukup maklum balas. Kerana acara baru pertama kali diadakan di kompleks MAEPS yang selama ini dikhaskan untuk ekspo penternakan dan pertanian sahaja. 

Tentang kedudukan jauh pula, saya sedang bercakap sebagai seorang yang harus memandu lebih 70 km untiuk sampai ke lokasi. Sedangkan PWTC terletak 40 km lebih daripada rumah saya, maka daripada segi jarak lokasi lama itu harus menjadi pilihan utama. Tetapi apabila melihat keadaan pesta  cukup terurus, cukup meriah dan ruangan lebih luas, saya berpendapat elok aje acara terus diadakan di MAEPS. Kalau ada yang merungut tidak berpuas hati semata-mata kerana kedudukannya jauh saya lihat mereka cuma mementingkan kesenangan dan kemudahan diri sendiri sahaja. Bagilah peluang orang di sekitar selatan KL seperti di Kajang, Bangi, Serdang, Putrajaya juga Sepang dan Seremban dapat pergi lebih dekat ke pesta buku. Takkan nak bagi kita kat tengah atau utara KL aje yang mudah?


Sekarang mari kita melihat ke reruai penerbit buku saya iaitu HRP ataupun Hijjaz.


Nah. Buku pertama saya bersama mereka, "Mencari Diri dan Erti" yang dituduh berunsur Syiah itu bukan sahaja elok dipamerkan untuk jualan di rak buku malah ada sekali buku sambungannya "Menelusuri Jejak Leluhur : Menyingkap Makna Wasiat Nabi" di sebelah! Dengan itu biar dikongsikanm update berkenaan yang dibuat di Facebook sejurus sebelum solat Jumaat pada siang 6 Mei...



BUKU "MENELUSURI JEJAK LELUHUR : MENYINGKAP MAKNA WASIAT NABI" SUDAH KELUAR!

Ini ada berita gembira. Sukacita dimaklumkan, buku kedua saya bersama Hijjaz, buku ke-9 keseluruhan bagi saya kini sudah berada di pasaran. Saya dimaklumkan oleh pengarang Hijjaz tengah hari tadi bahawa buku sudah selamat keluar dari kilang percetakan lalu sampai ke stor syarikat petang semalam. Pagi ini ia sudah dibawa ke gerai Hijjaz di Dewan A2, gerai nombor 2019-2020 untuk jualan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 yang akan berlangsung sehingga Isnin hadapan. Dengan ini pembaca dan peminat bolehlah mula mendapatkannya di sana.

Pada mulanya saya sangsi juga untuk berkongsi berita ini lantaran buku pertama saya bersama Hijjaz, "Mencari Diri dan Erti" telah dilarang jualannya oleh KDN atas tuduhan mempromosikan Syiah. Namun pengarang menyatakan takda masalah untuk mempromosi buku kedua malah buku pertama itu sendiri kerana perkara masih dalam siasatan, bukan disabitkan haram. Dengan itu saya juga mengulangi rancangan mahu datang ke PBAKL lagi hari Ahad ini untuk membantu mempromosi buku. Mereka yang mahu mendapatkan tanda tangan saya pada buku mahupun sekadar berjumpa dan berbual bolehlah datang 8 Mei ini. Insyaallah saya akan berada di sana sepanjang hari... 


Oh. Lupa pula nak cakap. Hari Ahad itu tarikhnya bersamaan 1 Sya'aban. Pada tarikh Islam/Hijriah yang berkat ini baru saya dapat melihat buku kedua saya bersama Hijjaz merangkap buku ke-9 keseluruhan, "Menelusuri Jejak Leluhur" dalam keadaan gembira dan lapang dada, setelah beberapa hari sebelumnya agak sedih dan kecewa kerana gangguan yang dibuat KDN. Alhamdulillah, ramai juga datang untuk membeli baik buku satu mahupun buku dua atau kedua-duanya sekali. Cuma saya tidak mengambil gambar, orang lain yang ambil untuk diri mereka.


 Ini adalah salah satu gambar yang dikongsikan seorang pembeli merangkap kenalan di FB.


Di sini ingin saya mengambil peluang untuk mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua yang menyokong. Tanpa anda semua siapalah saya. Semoga kita sama-sama dapat terus berjuang demi kedaulatan Melayu dan Islam pada penghujung akhir zaman. Insyaaallah. Amin. Untuk pengetahuan hari ini Isnin 9 Mei adalah hari penghabisan pesta buku. Masih belum terlambat untuk mendapatkan buku-buku saya juga buku-buku Hijjaz dan lain-lain pada harga diskaun istimewa pesta. Selamat... :]