Sabtu, Mac 26, 2016

Daulah Melayu di utara - Sekitar Bayan Lepas dan Lembah Bujang

Alhamdulillah. Sukacita dimaklumkan bahawa sekitar jam 3 pagi semalam iaitu pada malam Jumaat saya berjaya menyelesaikan penulisan sebuah buku baru. Setelah setahun gitu agak gersang daripada segi gerak penulisan tiba-tiba pada 7 Mac muncul satu macam semangat baru berserta aliran fikiran yang mantap lalu dalam tempoh 18 hari buku dapat disiapkan. Yang diperlukan sekarang adalah satu pusingan semakan sebelum buku diserahkan kepada penerbit untuk tindakan seterusnya.

Sebelum dimulakan semakan saya rasa elok dikongsikan satu cerita perjalanan terbaru. Untuk makluman saya telah keluar kawasan 14-17 Mac untuk penggambaran terbaru siri dokumentari "Daulah Melayu" di beberapa tempat di utara. Biar dimulakan cerita...


Hari Isnin 14 Mac rata-rata digunakan untuk membuat perjalanan dari Lembah Klang ke Bayan Lepas di Pulau Pinang.  Tim produksi mengambil saya di rumah sekitar waktu Asar dan kami sampai ke pulau selepas jam 9 malam. Esoknya pagi Selasa kami pun bersedia untuk memulakan penggambaran, Kami bersiap untuk keluar daripada homestay yang digunakan untuk bermalam dalam kawasan Bayan Lepas.




Kami bertolah sebelum jam 8.30 pagi.


Temu janji untuk memulakan penggambaran adalah sekitar jam 10 pagi. 


Dalam 10 minit kemudian kami sudah menghampiri kawasan. Sarapan dahulu di restoran berdekatan.





Selesai itu baru ke tempat penggambaran di USM.


Penggambaran memerlukan saya menemubual seorang pakar DNA yang cukup terkenal dalam persada akademik tempatan.


Selesai segala urusan di USM sekitar jam 2 petang kami pun keluar pulau.


Makan tengah hari lewat di Sungai Petani. Masa ni dah selesai makan, tim produksi semua keluar untuk menghisap rokok. Saya yang tidak lagi merokok sahaja tinggal seorang diri di meja makan.


Selepas itu kami meninggalkan Sungai Petani untuk menuju ke Lembah Bujang. Gambar ini diambil ketika menyeberangi Sungai Merbok sambil kelihatan Gunung Jerai di belakang...


Destinasi kami adalah Muzium Arkeologi Lembah Bujang.


Saya pernah ke muzium tersebut sekurang-kurangnya dua kali sebelum ini. Tetapi baru kali ini  saya betul-betul mengambil perhatian tentang apa yang dipamerkan di dalamnya.


Baru saya sedar terdapat batu-batu daripada tinggalan candi yang ditemui di PUNCAK Gunung Jerai! Tetapi paling saya tertarik adalah kewujudan batu bertulis nama Ibnu Sirdan dengan tarikh 213 Hijrah iaitu bersamaan 829 Masihi. Selama ini saya setakat tahu tentangnya melalui bacaan di buku-buku. Baru sekarang tahu batu tersebut ada dipamerkan di Lembah Bujang. Lihat artikel Muzium Arkeologi (Archeological Museum of) Lembah Bujang dan Tinggalan Candi di luar Muzium Lembah Bujang (Temple remains outside the Lembah Bujang museum) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).