Jumaat, Februari 19, 2016

Wacana Sejarah Tamadun Selangor di Unisel Shah Alam

Salam pagi Jumaat. Lagi berkenaan ilmu. Daripada 2 hari lalu...


Pagi Rabu 17 Februari, anak bongsu saya Muhammad Alauddin Johan dah genap umur 4 tahun. Saya pula bergegas ke Universiti Selangor (Unisel) kampus Shah Alam untuk satu majlis ilmu.


Ini adalah kali pertama saya menjejakkan kaki ke kampus ini. Difahamkan terdapat lebih 4,000 pelajar dan 5 buah fakulti di sini. Untuk pengetahuan, kampus utama Unisel terletak di Batang Berjuntai, kini dikenali sebagai Bestari Jaya. Saya ke kampus Shah Alam kerana ada Wacana Sejarah Tamadun Selangor : Membongkar Sejarah. Melakar Tamadun.


Saya difahamkan ini juga adalah kali pertama majlis seumpama ini diadakan di sini.


Ketika saya masuk ke dewan sekitar jam 10,15 pembentangan pertama, "Evolusi Bandar di Negeri Selangor - Suatu Kajian Dari Perspektif Sejarah Bandar Kajang' sedang berlangsung.





Diceritakan bagaimana bandar Kajang boleh terbentuk akibat kedatangan ramai orang daripada luar yang bermula pada zaman pemerintahan Sultan ketiga Selangor, Sultan Muhammad Syah 1826-1857.





Secara rata mereka datang akibat aktiviti perlombongan yang sedang berlaku pesat ketika itu. Inilah yang membawa kepada terbitnya bandar Kajang dan hal serupa juga berlaku di beberapa tempat di Selangor malah banyak lagi tempat di Semenanjung Tanah Melayu, misalnya Taiping dan Ipoh di Perak...


Pembentangan berlangsung hampir 45 minit. Rehat sejenak sebelum pembentangan seterusnya dimulakan. Kelihatan dalam gambar daripada kiri, pembentang pertama Cikgu Lee Kim Sin, pengarah pusat warisan Kajang. Beliau pernah menjadi ADUN Kajang buat satu penggal. Di sebelahnya adalah Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir, felo IDE (Institut Darul Ehsan) diikuti Mohd Rohaizat Abdul Wahab, calon PhD di ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu).


Dr Alinor yang merupakan seorang pakar matematik yang peka sejarah kemudian memulakan pembentangan kedua. Tajuknya "Selangor Dalam Teks-teks Eropah Sebelum 1800".


Membentang tanpa slaid, beliau menunjukkan 3 buah buku lama yang dijadikan rujukan. Menurut Alinor, ada kemungkinan Selangor telah diketahui sarjana Eropah seawal tahun 200 Masihi. Ini berdasarkan peta Ptolemy menunjukkan tempat bernama Sabana yang kedudukannya boleh dipadankan dengan kedudukan negeri Selangor. Rujukan jelas pula muncul pada awal abad ke-16. Penulis Portugis, Tom Pires (1512-1515) menyebut nama Calam, merujuk pada Klang. Beliau juga ada menyebut nama Selangor sebagai satu tempat ke utara Klang.


Pembentangan ketiga dilakukan oleh Rohaizat. Tajuk terpampang jelas di atas.


Saya rasa tidak perlu bercerita panjang. Cukuplah dengan membaca slaid.











Di sini dipaparkan kurang separuh daripada slaid yang diambil gambar. Cukuplah untuk memberikan gambaran perjalanan majlis.


Selepas rehat Zuhur dan makan tengah hari pembentangan diteruskan oleh saudara Muhammad Hanafi Jamaludin, seorang intelektual muda. Membawa tajuk "Fasa Awal Pengajian Agama di Selangor : Tinjaun Terhadap Pendekatan Ulama Jawa dan Sumatera) beliau bercerita terus dari kerusi tentang bagaimana institusi sekolah pondok boleh berkembang biak di negeri ini.


Kemudian Alinor naik lagi mengambil podium untuk berkongsi ilmu. Beliau diminta untuk membacakan sedikit isi pembentangan bertajuk "Dialek Jugra, Dialek Asli Selangor" oleh Tarmizi Hasrah, seorang pengkaji muda yang tidak dapat datang kerana muncul hal lain pada saat-saat akhir. Alinor memilih untuk meluaskan perkara dengan mengajak hadirin memikirkan apakah yang menyebabkan boleh muncul pelbagai dialek. Kalau tak salah ingatan, untuk Alam Melayu/Nusantara beliau menyatakan terdapat sekitar 1,200 dialek yang merupakan pelbagai variasi daripada Bahasa Melayu, kebanyakannya di Indonesia. Di Malaysia ada 14 buah dialek yang diiktiraf dan beliau menambah dialek Jugra adalah yang ke-15. 

Katanya, dialek ini pernah dikaji dan diketengahkan oleh Profesor Asma juga Prof Collins (kalau tak salah pendengaran saya). Rasanya Asma itu merujuk kepada Profesor Dr. Asmah Haji Omar, pakar nahu Bahasa Melayu, pemegang kerusi Tamadun Melayu Za'ba dan pengarah Institut Tamadun Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. Collins nampaknya merujuk kepada Profesor James T. Collins, seorang pakar linguistik dari Amerika yang pernah menjadi dekan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Namun menurut Alinor, dialek Jugra ditolak oleh pihak atasan termasuk DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka). 

Lebih penting lagi adalah bagaimana pelbagai dialek itu telah dan dapat memperkasa dan memperkayakan kosa kata bahasa sambil membantu perkembangan ilmu. Alinor turut mengajak hadirin untuk memikirkan bagaimana nama-nama benda dalam suatu bahasa itu boleh muncul. Misalnya kenapa orang Melayu memanggil air sebagai Air, orang Inggeris menyebutnya Water.


Khamis, Februari 18, 2016

Maklumat berguna tentang zaman kehidupan para rasul

OK. Sedikit perkongsian yang terasa harus dilepaskan malam ini, malam Jumaat.


Ini ada sedikti maklumat tentang para rasul yang agak berguna untuk mereka yang suka mengkaji.








Saya ambil gambar-gambar ini semasa bertandang ke Kompleks Seni Islam @ Yayasan Restu di Shah Alam hujung minggu lalu.














Asalnya ia mahu disimpan untuk kegunaan sendiri sahaja... kerana ada maklumat yang boleh membantu melancarkan penulisan sebuah buku baru.











Tetapi apabila melihatnya kembali sebentar tadi timbul rasa agar ia dikongsikan kepada ramai melalui blogspot ini...























Rabu, Februari 17, 2016

HIKMAH Janda Baik -Daripada Maulud tak disangka ke pendedahan tentang penipuan sejarah dan ekonomi yang menjerat umat Islam

Salam semua. Sejak artikel Persiapan akhir untuk HIKMAH di Janda Baik dipersembahkan pada 29 Januari iaitu hampir 3 minggu lalu saya belum membuat apa-apa artikel baru di sini. Sedangkan acara yang dimaksudkan telah selamat diadakan 30-31 Januari. Tengah malam ini, pada ketika anak bongsu saya, Muhammad Alauddin Johan genap umur 4 tahun eloklah dilepaskan cerita...


Sekitar 7-8 jam selepas membuat artikel Persiapan akhir untuk HIKMAH di Janda Baik iaitu pada Jumaat malam Sabtu saya pun bertolak ke lokasi. Sampai ke sana sekitar jam 11 malam lalu merekodkan sedikit keadaan. Lihat artikel di HIKMAH Janda Baik - Menggamit keindahan malam sebelum acara blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).



Pagi selepas Subuh saya dan keluarga berserta ahli urus setia majlis sibuk menguruskan beberapa lagi perkara. Lihat HIKMAH Janda Baik - Mukadimah awal pagi Sabtu,


Alhamdulillah, walaupun sedikit lewat, majlis bermula dengan cantik apabila ramai orang berjubah muncul untuk Maulud.


Ini diikuti sesi pembukaan dengan perasmian majlis dibuat oleh Profesor Dato Dr Othman Yatim, seorang cendekiawan dan tokoh akademik tersohor.


Perasmian diikuti persembahan silat menjadikan permulaan majlis sangat memberangsangkan. Sedangkan sesi Maulud itu sendiri hampir-hampir sahaja tidak jadi disebabkan hal tertentu. Lihat HIKMAH Janda Baik - Gema Maulud yang tak disangka, pembukaan yang sangat memberangsangkan.


Sesi pembentangan pertama dimulakan tengah hari dengan menekankan pentingnya peranan Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW dalam membimbing masyarakat akhir zaman.


Sambil itu berjalan juga aktiviti lain seperti memanah. Lihat HIKMAH Janda Baik - Ahlul Bait Nabi Muhammad SAW sebagai sarana keselamatan ummah.


Sesi pembentangan petang masuk hal penipuan dalam sejarah diikuti penyelewengan sistem ekonomi yang menjerat ummah.


Alhamdulillah. Ramai juga berminat untuk mengetahui lebih mendalam. Lihat HIKMAH Janda Baik - Memahami tipu daya dalam sejarah dan ekonomi untuk bergerak ke hadapan.

OK. Di sini saya menulis ringkas sahaja ya kerana penerangan panjang lebar sudah diberikan dalam artikel-artikel yang dipautkan. Adapun kebelakangan ini saya mengalami kemalasan menulis yang agak kronik. Jadi cukuplah apa yang dipaparkan untuk memberikan kemeriahan pada hari pertama HIKMAH Janda Baik iaitu pada hari Sabtu 30 Januari 2016.