Salam Jumaat. Sebelum diselesaikan siri kecil "Daulah Melayu di Melaka" biar dipersembahkan cerita kecil tetapi memiliki makna yang sangat besar. Untuk makluman ia adalah cerita pertama di blogspot ini tentang aktiviti yang dibuat tahun baru 2016. Daripada itu terbit satu aktiviti lebih besar yang insyaallah akan dilaksanakan hujung bulan Januari...
Tengah hari Sabtu 2 Januari 2016 saya dan keluarga keluar menghala ke lebuh raya Karak.
Kami mahu menghadiri satu majlis reunion yang diadakan untuk sejumlah kawan yang pernah bersama menjayakan acara-acara HIKMAH.
Seorang kawan memiliki kediaman di kawasan peranginan Bukit Tinggi. Selama beberapa lama ia disewa orang. Apabila penyewa keluar bulan November lalu rumah kosong beliau tergerak untuk mengadakan perjumpaan bersama majlis barbecue sekali.
Kami turut diajak bermalam. Kata kawan tersebut beliau rindukan pertemuan bersama rakan-rakan HIKMAH. Sejak acara ke-15 diadakan di Beruas 8 Oktober 2015 yang mana saya telah umumkan sebagai acara terakhir HIKMAH buat beberapa lama, kami sudah lama tidak berjumpa. Rujuk artikel Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) di blogspot Acara ke-15 HIKMAH di dewan orang ramai Kampung Banjar, Beruas 8-9 Ogos 2015.
Ternyata kawasannya cantik dan menenangkan. Selepas meletakkan barangan saya tergerak untuk menjelajah menyusuri sungai berdekatan. Lihat artikel Exploring a river at Bukit Tinggi di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Dah puas menjelajah baru join makan-makan. Lihat Outing and barbecue at Bukit Tinggi.
Esok selepas solat Subuh saya berjalan kaki sendirian melihat persekitaran yang telah menjadi penempatan. Lihat Early morning walk at the residential side of Bukit Tinggi.
Sambil berjalan-jalan teringat apa yang berlaku malam sebelum itu. Kami telah mengadakan majlis tahlil diikuti Maulud. Selepas itu setiap seorang daripada kami berkongsi pengalaman bagaimana boleh terlibat dengan aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam terutama bersama HIKMAH. Ketika itulah beberapa orang memujuk saya agar mengadakan acara baru sekurang-kurangnya sekali untuk tahun ini. Antara yang memujuk itu adalah seorang kawan yang datang jauh daripada Aceh.
Adapun saya pernah mengumumkan cuma akan mengadakan acara HIKMAH seterusnya setelah diterbitkan sebuah buku yang dimula ditulis awal tahun 2012. Namun penulisan buku asyik tersangkut akibat gangguan ilham dan aliran pemikiran. Setelah beberapa lama keadaan masih begitu, HIKMAH diasaskan 12 Oktober 2012 lalu mengadakan acara pertama 3 minggu kemudian. Ia dibuat sebagai jalan untuk memecah kebuntuan dalam penulisan. Rujuk cerita dalam artikel HIKMAH - Bagaimana ia bermula, lihat perincian pada pautan pertama disenaraikan.
Siapa sangka ia akan menerima begitu banyak permintaan sehingga 15 acara dapat dibuat dalam tempoh 3 tahun di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh? Sedangkan sampai kini buku tersebut tak siap-siap. Saya pun memberitahu tidak akan membuat apa-apa acara HIKMAH untuk tahun 2016. Saya mahu menyiapkan buku sampai terbit dahulu dan menjangkakan paling awal dapat membuat acara lagi adalah pada tahun 2017.
Kawan-kawan terus memujuk, ada yang menyatakan kerinduan terhadap acara, ada yang percaya akan berlaku peristiwa besar tahun ini yang bakal memberi kesan terhadap kehidupan orang Melayu. Maka itu acara harus diadakan untuk menangani segala kemungkinan. Setelah dipujuk beberapa kali saya pun menyatakan persetujuan. Apabila ditanya bilakah paling lewat HIKMAH harus mengadakan acara agar selari dengan gerak perubahan zaman yang dijangka akan melanda kita semua, mereka mengatakan bulan April. Saya pun menyatakan komitmen akan menjayakan sekurang-kurangnya satu acara HIKMAH dalam tempoh itu. Tempatnya pun dah dapat gerak kat mana elok, cuma memerlukan permohonan rasmi kepada pihak yang bertanggungjawab.
Tengah hari Ahad saya mengajak kawan-kawan bertandang ke rumah rehat ayah angkat saya, penulis buku politik terkenal, Pak Habib @ S.H.Alattas. Bukit Tinggi dan Janda Baik terletak sebelah-menyebelah aje. Eloklah bertandang sat. Lihat Going on to Janda Baik.
Kami pergi tanpa menghubungi beliau yang menetap sepenuh masa di Kuala Lumpur, sesekali sahaja naik ke Janda Baik. Tengok-tengok, setelah beberapa lama kami berlegar-legar melihat apa yang ada, Pak Habib muncul lalu saya perkenalkan kepada kawan-kawan. Rupa-rupanya beliau mendapat gerak hati untuk naik. Kalau ikutkan, beliau mahu berehat di KL sahaja kerana baru 2 hari kembali daripada perjalanan jauh di luar negara.
Adapun bila dah menetapkan fikiran akan mengadakan sekurang-kurangnya satu acara HIKMAH pada tahun 2016 satu lagi lokasi yang terbit dalam fikiran adalah rumah Pak Habib di Janda Baik. mungkin untuk hujung tahun. Isteri saya pun secara berseloroh bertanya kepada beliau apakah boleh kalau kami mengadakan majlis seperti seminar di rumahnya? Pak Habib jawab kalau orang tak kenal dia tak bagi. Tapi untuk saya takda hal...
Selepas masuk Zuhur, Pak Habib mengajak kami berbual-bual di dalam rumah utamanya. Untuk pengetahuan rumahnya terletak di dalam kawasan taman seluas 8 ekar dengan sungai berjeram mengalir di tepi. Dalam kawasan itu ada 7-8 buah rumah juga beberapa pondok rehat, dewan dan surau. Selepas lama berbual-bual tiba-tiba Pak Habib meminta agar acara diadakan di tempatnya dalam tempoh 2 minggu! Mungkin kerana seronok melihat kami datang berbusana tradisional Melayu?
Pak Habib dah lama tahu saya terlibat dengan aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam dengan berpakaian sebegini. Tapi dalam tempoh 2 minggu? Kan terlalu cepat itu? Bukan kami tidak pernah menjayakan acara dalam tempoh sesingkat itu. Cuma saya baru sahaja bertukar fikiran daripada tidak mahu mengadakan apa-apa acara sehingga masuk tahun 2017 menjadi April 2016 sebagai tempoh paling lewat mengadakan acara. Saya cakap 2 minggu tak dapat. Saya tanya balik : "Paling lewat Abah nak kami buat acara bila?". Beliau menjawab dalam tempoh sebulan.
Dengan ini cukuplah diberitahu acara ke-16 HIKMAH akan diadakan di rumah Pak Habib 30-31 Januari 2016. Tentang mengapa tarikh ini dipilih dan hal-hal berkaitan akan diceritakan dalam artikel lain...