Jumaat, November 13, 2015

Menyahut panggilan pulau

Salam Jumaat 13 November, Friday the 13th. Adapun hari ini fikir saya mahu menyambung kembali cerita perjalanan Jawa Timur yang sudah ditinggalkan lebih 2 minggu. Lihat Daulah Melayu di Jawa Timur - Antara penggambaran sekitar pesantren dan majlis hol Wali Songo. Namun apabila difikirkan balik, lebih elok saya melepaskan dahulu satu cerita daripada perjalanan spontan beberapa hari lalu. Biar dibuka dengan satu posting yang dibuat di Facebook Isnin 10 November 2015 jam 1.16 pagi...


HARI YANG TENANG SELEPAS LEBIH DUA BULAN AGAK TERTEKAN

Salam. Terbitnya buku pertama saya sejak tahun 2011, buku ke-8 secara keseluruhan iaitu "Mencari Diri dan Erti : Menjejak Salasilah Kesultanan yang Hilang" pertengahan September lalu adalah suatu yang sangat menggembirakan. Apa lagi beberapa hari selepas itu saya berpeluang muncul secara langsung di kaca televisyen bersama wakil penerbit untuk bercakap tentang buku. Namun di sebalik tabir, sejak itu saya agak tertekan. Ini kerana sejurus sebelum buku ini terbit, saya diminta agar dapat menyiapkan satu manuskrip buku baru lain selewatnya pertengahan November untuk diterbitkan bulan Disember.

Itulah buku yang mahu membuka siri baru yang dipanggil "Siri Pemikiran Merah Silu". Buku "Mencari Diri dan Erti" yang merupakan pertama daripada pengembangan siri trilogi asal "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007) pula adalah pembuka "Siri Pengembaraan Merah Silu". Ketika itu tekanan tidaklah begitu teruk kerana ada tempoh 2 bulan untuk melakukannya. Tetapi apabila masa semakin suntuk sedangkan saya asyik menghadapi masalah untuk mendapatkan rentak penulisan yang elok, saya mula jadi sangat semacam dan ini terasa memuncak 2 minggu kebelakangan.

Ahad malam Isnin baru saya mendapat rentak yang cukup cantik sehingga dapat menyiapkan hampir satu bab penuh. Hal ini menyebabkan saya rasa cukup selesa untuk bertandang ke pejabat penerbit petang tadi, sejurus selepas menghadiri mesyuarat untuk projek dokumentari "Daulah Melayu" dalam kawasan perniagaan yang sama. Dalam tempoh sebulan kebelakangan saya segan untuk bertandang malah untuk berhubung pun tidak. Ini kerana saya belum dapat menyatakan perkembangan yang bermakna tentang penulisan buku tersebut.

Ketika bertandang itulah saya dapat tahu bahawa buku pembuka siri Pemikiran itu baru dialih kembali tarikh penerbitannya kepada bulan Mac. Memang asalnya buku ini mahu diterbitkan untuk Pesta Buku Antarabangsa KL bulan April. Tarikh menyampaikan manuskrip pun ditunda kepada Januari. Sebagai ganti, buku kedua siri Pengembaraan pula mahu diterbitkan Disember.

Ini adalah satu perkembangan yang sangat melegakan kerana manuskrip untuk buku kedua siri itu bukan sahaja sudah lama siap, ia sudah sampai ke peringkat almost final pdf, sekadar perlukan semakan akhir daripada saya. Setelah disemak boleh terus masuk kilang dan print. Sebetulnya banyak perkembangan menarik dan melegakan berlaku hari ini. Sehingga saya terasa cukup sihat dan kuat, setelah lama terasa semacam dan kurang semangat. Antara perkembangan yang muncul hari ini adalah rasa spontan untuk ke Pulau Besar. Dengan selesainya luahan ini bolehlah saya berehat sebelum menyahut panggilan pulau.


Sekitar jam 11.40 pagi iaitu 10 jam setengah selepas membuat posting tersebut, saya pun bersedia untuk meninggalkan rumah. Sebelum keluar saya sempat melihat perkembangan terbaru di FB. Ketika itulah ia secara automatik mengingatkan tentang satu gambar yang diambil tepat 2 tahun lalu, gambar yang diambil di jalan yang terletak antara Putrajaya dan Cyberjaya. Terus tergerak untuk meninggalkan posting berikut...


MENYAHUT PANGGILAN PULAU

Macam tau2 je aku ada plan nak singgah area Cyberjaya/Putrajaya sat lagi. Sesungguhnya segalanya telah disusun Allah Ta'ala. Nak keluar ni pun sebab nak menyempurnakan desakan kuat yang muncul pagi semalam agar masuk ke Pulau Besar. Insyaallah selepas masuk waktu Zuhur singgah dahulu di Masjid Kampung Hulu, tengah bandar raya Melaka.. .


Seorang kawan terbaca posting tersebut lalu menghubungi saya kerana mahu ke Pulau Besar sama. Dia belum pernah sampai dan sudah menyimpan hajat untuk ke sana buat beberapa lama. Saya pula cuma dapat dihubungi ketika sudah 40 km mengambil Lebuh Raya PLUS ke selatan melepasi bandar raya Shah Alam. Dan memang hajat asal saya mahu ke pulau seorang diri untuk bersendiri bermunajat dan sebagainya. Sebab itu saya tidak membawa keluarga kali ini.

Namun memikirkan bahawa ada elok juga menolong menyempurnakan hajat kawan, saya berpatah balik ke arah kedai miliknya di Kota Damansara untuk bertemu di sana. Beliau muncul bersama seorang anak lalu kami meneruskan perjalanan menaiki keretanya, kereta saya ditinggalkan di kedai. Daripada satu segi kawan itu juga menyempurnakan hajat saya. Ini kerana semasa awal memandu ada terfikir elok gak kalau orang lain memandu, dapat saya berehat dan tidur. Ini kerana terasa amat kepenatan disebabkan pelbagai kerja yang ditangani beberapa hari kebelakangan.


Oleh kerana memang saya sudah terfikir untuk singgah di sebuah masjid baru di Cyberjaya, kami pun singgah di sana. Sudah lebih sebulan saya menyimpan hajat untuk bertandang, setelah mendapat tahu kewujudan masjid yang baru dibuka ini melalui kawan-kawan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Perjalanan diteruskan masuk ke bandar raya Melaka lalu singgah di Masjid Kampung Hulu. Kami sampai sejurus selepas masuk waktu Asar. 


Kami bersolat jemaah di masjid kemudian ziarah ke makam Sheikh Shamsuddin Sumatrani yang terletak berdekatan.


Sampai ke jeti Anjung Batu, tempat mengambil feri ke Pulau Besar sebelum jam 5.30. 


Tapi kena tunggu feri jam 6.30 bertolak. Kami dah terlepas feri sebelum itu iaitu untuk jam 5...


Bergerak ke pulau...


Kali terakhir saya masuk adalah bersama isteri dan anak-anak hampir tepat setahun lalu. Ketika itu kami baru selesai menjayakan acara ke-11 HIKMAH. Lihat Susulan HIKMAH Pagoh - Lawatan ke Bukit Treh dan Pulau Besar. Ketika itu sudah kelihatan tiang-tiang besar eletrik seperti kelihatan dalam gambar. Cuma baru kali ini saya dapat melihat, wayar-wayar eletrik sudah dipasang, sebelum itu baru setakat tiang.


Nampaknya tenaga eletrik daripada tanah besar sudah boleh masuk ke pulau. Selama ini bekalan cuma boleh didapati dengan menggunakan generator.


Walaupun ada van boleh dinaiki untuk sampai ke masjid dan makam Sultanul Ariffin Sheikh Ismail, makam utama di pulau ini saya mengajak kawan dan anaknya berjalan kaki menyusuri pantai. Ini dibuat untuk menziarahi makam Tok Janggut dan makam Tok Putih sebelum ke masjid. Ini saya anggap sebagai adab pembukaan masuk pulau.


Kami sampai ke masjid sejurus sebelum solat Maghrib berjemaah dimulakan. Malam itu kami lebih banyak berehat di masjid akibat hujan lebat. Kami bermalam di bahagian kanan serambi masjid, betul-betul menghadap dan di bahagian kaki makam Sheikh Ismail,


Siang Selasa 11 November baru kami betul-betul boleh berjalan.


Kawan mengajak sewa motosikal scrambler. Katanya supaya kita boleh meliputi banyak tempat dengan cepat. Saya kata lebih elok berjalan kaki. Baru boleh menikmati suasana dengan lebih tenang dan mendalam.


Kami pun berjalan kaki menuju ke kawasan pendalaman. Destinasi pertama adalah Batu Belah yang terletak di puncak bukit tertinggi di Pulau Besar.


Terserempak dengan satu kumpulan yang kelihatan seperti jemaah tabligh mahu ke tempat sama tapi tak tahu jalan. Kami tolong menunjukkan.





Sampai dah Batu Belah. Kali terakhir saya bertandang ke kawasan ini adalah pada 3 tahun lepas. Lihat Dari Pulau Besar ke Akademi Pengajian Melayu - Semuanya ada HIKMAH!


Di atas sebuah batu yang bertenggek di atas Batu Belah saya sempat membersihkan keris dengan limau, satu perkara yang tak terfikir dan tak teringat pun mahu dilakukan dalam masa terdekat. Cuma saya seperti diingatkan daripada arah ghaib untuk melakukan ini. Apa yang terjadi adalah ketika hendak memulakan perjalanan hari itu saya mengeluarkan keris yang tersimpan kemas dalam beg sandang. Tengok-tengok hulunya sudah terkeluar sedikit daripada puting sedangkan pendokoknya dipasang terbalik. Secara logiknya ini cuma boleh berlaku kalau hulu dicabut keluar diikuti pendokok. Kemudian baru pendokok boleh diterbalikkan lalu dimasukkan kembali diikuti hulu.

Adapun hulu keris ini tidak pernah dibuka sejak saya mendapatkannya penghujung 2012. Keris pula sudah lama tidak dimandikan atau dibersihkan dengan limau. Maka saya anggap apa yang berlaku sebagai tanda untuk melakukan dua perkara. Pertama, setelah membetulkan kedudukan pendokok saya memasang kembali hulu keris sambil membacakan selawat yang diijazahkan oleh seorang ulamak berketurunan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Jawa Timur. Lihat Daulah Melayu di Jawa Timur - Antara penggambaran sekitar pesantren dan majlis hol Wali Songo. Kedua adalah mandikan keris le. Saya pun mencari limau nipis. Gerak hati menyuruh melakukan pemandian keris di atas Batu Belah.


Selepas itu saya membawa kawan dan anaknya bertandang ke beberapa tempat menarik lagi di Pulau Besar. Cukuplah bercerita sampai sini ya. Ketika ayat ini ditulis sudah masuk jam 12.20 tengah hari. Cuma artikel telah dipublish seawal jam 10.55 pagi walaupun belum siap. Sekarang ini saya perlu bersiap untuk mengambil anak di sekolah dan keluar solat Jumaat. Biar gambar-gambar sahaja menyambungkan penerangan...