Sabtu, Oktober 24, 2015

Daulah Melayu di Jawa Timur - Penggambaran spontan di pesantren Pasuruan

Masuk penceritaan hari kedua. Bersambung daripada Daulah Melayu di Jawa Timur -Berkejar ke Surabaya.... Sepatutnya penceritaan ini boleh dibuat malam tadi. Tetapi kami lewat mendapatkan sambungan wi-fi... setelah kredit untuk penggunaan sebelumnya habis lalu perlu ditambah baru. Apabila dah ada wi-fi (saya menumpang hotspot handphone kawan), saya dah nak terlelap. Takpa. Kita sambung je cerita...


Jumaat 23 Oktober 2015 di rumah Kiyai Dhiauddin. Saya tidur lewat kerana mahu menyiapkan artikel Daulah Melayu di Jawa Timur -Berkejar ke Surabaya.... Selepas tidur 2 jam terus bangun untuk bersahur. Ini kerana selepas menunaikan puasa sunat 9 Muharram hari Khamis, saya mahu menyambung untuk 10 Muharram merangkap hari Asyura. Jam 4 pagi waktu tempatan sudah masuk Subuh. Selepas solat berjemaah diimamkan Pak Kiyai beliau memberikan tazkirah berkenaan sejarah kedatangan Islam di Indonesia terutama berkenaan penyebaran dakwah Wali Songo. Apabila masuk waktu untuk sarapan saya sekadar melihat orang lain makan. Ketika gambar ini diambil jam menunjukkan 5.49 pagi. Tapi keadaan di luar, cahaya matahari dan sebagainya hampir menyamai jam 7.45 di Malaysia.


Saya meninjau-ninjau di luar. Sudah diberitahu rumah Kiyai Dhiauddin turut berperanan sebagai pondok pengajian.


Nah. Agak besar rumahnya, 3 tingkat gitu.


Saya pernah bertandang ke rumah beberapa orang ulamak di Indonesia. Memang kebiasaannya rumah mereka lebih besar daripada ada yang ada di sekeliling kerana ia turut berperanan sebagai tempat pengajian.


Jam 10.30 baru saya meninggalkan rumah menuju ke Pasuruan. Ketika itu 5 orang ahli tim kami telah bertolak lebih awal. Saya bertolak kemudian dengan 2 orang ahli kerana kerana kereta yang kami gunakan harus mengangkut 2 orang ahli tim Daulah yang sampai daripada Malaysia pagi Jumaat. Cuma mereka tidak terlibat dengan penggambaran, Tugas mereka adalah bersilaturrahim bersama para ulamak sambil menggali maklumat tambahan.


Setelah beberapa lama sampailah kami ke daerah Pasuruan. Masuk ke satu kawasan kampung kelihatan kain berwarna-warni seperti menyambut.


Sampailah ke pesantren yang menjadi tujuan kami di daerah ini. Di sini akan diadakan satu majlis hol Wali Songo Sabtu malam Ahad.








Ikut rancangan kami 3 wawancara bersama ulamak Indonesia mahu diadakan hari itu.


Tetapi seorang daripada ulamak sibuk dengan persediaan hol. Dua orang lagi pula tidak dapat muncul pada waktu yang ditetapkan. Lalu kami uji dahulu peralatan seperti drone yang mahu digunakan untuk mengambil gambar daripada udara.


Selepas itu kami berehat dalam bilik. Hari itu memang kami banyak terbaring kerana tak tahu apa yang harus dibuat lantaran wawancara tidak dapat dilaksanakan. Nak berjalan atau mencari peluang penggambaran di luar pula kami tiada kenderaan, setakat mengharapkan apa yang disediakan oleh jawatankuasa penganjuran hol. Sedangkan kereta-kereta mereka turut digunakan untuk urusan tetamu penting lain. Tiba-tiba sekitar jam 3.40 petang kedengaran bunyi orang berarak sambil menyanyikan lagu selawat. Memang ada majlis perkahwinan sedang berlangsung di rumah berdekatan. Terus kami keluar dengan kru mendapatkan kamera kerana ini satu peluang spontan rakaman. Tapi kami dah terlewat kerana mereka sudah melangkah jauh ke hadapan.


Nasib baik tidak lama kemudian kumpulan yang berarak itu berpatah balik. Tadi mereka membawa pengantin naik kereta kuda, sekarang mereka kembali dengan kereta kosong. Kami pun mengambil peluang membuat rakaman. Saya sebagai hos Daulah diminta menaiki kereta kuda...


Bergambar sat bersama kumpulan nyanyian selawat.


Kemudian baru naik kereta kuda. Maaf ya, saya setakat dapat mengambil gambar daripada sudut pandangan sendiri. Gambar saya beraksi ada diambil oleh orang lain. Tapi cukuplah ini untuk menunjukkan perkembangan cerita.


Dah alang-alang keluar dengan segala macam peralatan kami kemudian mengambil gambar suasana kampung.


Duduklah kru di satu sudut merekodkan segala macam gelagat aksi kehidupan orang kampung hingga masuk waktu Maghrib. Sekurang-kurangnya kami dapat juga mengambil pelbagai gambar yang menarik...



Jumaat, Oktober 23, 2015

Daulah Melayu di Jawa Timur - Berkejar ke Surabaya...

Salam semua. Pada artikel Melangsaikan 'hutang' Raub demi kelangsungan buku yang dibuat lewat hari Selasa saya ada memberitahu akan bertolak ke Surabaya di Jawa Timur, Indonesia untuk penggambaran "Daulah Melayu". Alhamdulillah, saya dan tim produksi kami sudah selamat berada di kota itu, sampai selepas masuk waktu Maghrib tadi. Ni kami sedang menumpang menginap di rumah Kiyai Dhiauddin, seorang ulamak tempatan. Esok akan bertolak ke sebuah pesantren di Pasuruan di mana akan diadakan majlis hol almarhum Sayyid Hussein Jamaluddin Kubro pada hari Sabtu.

Adapun kami dijadualkan kembali ke tanah air pada hari Isnin. Rabu saya mahu menghadiri satu majlis ilmu di Muzium Negara, Sabtu depan pula acara busana dan persilatan di Melaka. Sabtu selepas itu ada majlis zikir besar gabungan tarikat-tarikat muktabar seluruh Malaysia di Putrajaya sedangkan di celah-celah itu saya harus menyiapkan manuskrip untuk buku pertama "Siri Pemikiran Merah Silu" agar dapat diterbitkan bulan Disember. Jadi pada malam ini, sementara ada peluang  dan ruang (saya sedang menumpang wi-fi hotspot kawan) biar diceritakan apa yang terjadi sepanjang hari..


Tengah hari Khamis 22 Oktober 2015, isteri bersama anak menghantar saya ke pejabat produksi "Daulah Melayu" supaya dapat bersama dua orang ahli bergerak daripada sana untuk ke KLIA 2. Seorang lagi bergerak sendiri lalu akan berjumpa di sana. Tengok-tengok t-shirt "Daulah Melayu" dah siap. Terus saya salin baju dan pakai.


Penerbangan dijadualkan berlepas jam 4.15. Maka kami harus berada di lapangan terbang selewat-lewatnya jam 3.15 iaitu sejam lebih awal. Jam 1.45 saya fikir kami sudah sedia untuk bertolak.


Kami ke sana dengan menaiki van syarikat.


Tengok-tengok punya le banyak peralatan dibawa bersama. Masyaallah. Fikir saya sebelum ini kami akan menyewa barangan di Indonesia. Kemudian baru saya dapat tahu lebih murah membawa barangan sendiri daripada menyewa. Peralatan yang diperlukan mengikut piawaian yang telah ditetapkan untuk projek ini mahal harga sewanya sedangkan kami sudah memilikinya. Cuma malas hendak melalui kerenah membawa peralatan merentas sempadan antara negara apalagi menaiki pesawat. Tapi kami tetap harus menghadapinya. Kami cuma pakai krew daripada sana.


Disebabkan ada beberapa hal yang rupanya belum selesai di pejabat jam 2.15 gitu baru kami berlepas. Risau gak takut terlambat sebab saya pernah terkena sekali, sampai lambat lalu tidak dibenarkan menaiki pesawat. Lihat artikel lama Dari Aceh ke Putrajaya : Tidak bergerak walau sezarah sekalipun tanpa izinNya.


Kami sampai ke KLIA2 selepas jam 2.52. Check in belum lagi sedangkan peralatan kami banyak. Lupa nak buat check in awal, bila dah bertolak baru nak buat pakai handphone. Tengok-tengok tak boleh buat check in online untuk penerbangan ke Surabaya. Yang boleh untuk penerbangan kembali ke tanah air...


Bila dah sampai pula nak loading barang ke atas troli pun makan masa 5 minit...



Berkejarlah kami ke kaunter check-in elektronik sebelum pergi ke kaunter fizikal untuk memasukkan barang. Masa mula beratur pun dah jam 3.16. Nasib baik dah kira selamat sebab sempat check-in secara eletronik di luar tempoh sejam sebelum pesawat dijadualkan berlepas. Tengok tu, sampai 3 troli barang. Check kat kaunter tengok-tengok berat barangan kami tak termasuk hand luggage adalah 150kg! Nasib baik kami ada 4 orang kesemuanya dan sudah ditempah untuk masuk barangan 40kg setiap seorang.


Tu pun banyak lagi kerenah. Disebabkan beg barangan penggambaran kami besar-besar dah kena sorong masuk ikut kaunter oversize baggage yang terletak di tempat lain. Selesai itu baru boleh masuk ke ruang pelepasan, check pasport lalu berkejar ke bilik pelepasan Q19 yang terletak jauh amat. Berlari-lari anaklah kami ke sana. Sekitar 100 meter sebelum sampai terdengar pengumuman last call untuk pesawat kami berlepas. Sampai ke pintu masuk yang kelihatan jam kamera saya menunjukkan waktu 3.55 petang. Orang lain semua dah naik pesawat..


Apapun kami sempat berada di dalam pesawat dengan selamat.


Dalam perjalanan saya menjengok-jengok tingkap untuk melihat pemandangan muka bumi di luar. Tapi nak nampak apa-apa, Jerebu di bawah sangat tebal.


Dekat jam 6 waktu tempatan kami sampai ke ruang udara kota Surabaya. Ketika itu sudah gelap. Keadaannya menyamai jam 8 malam di Malaysia.


Alhamdulillah, kami selamat sampai beberapa minit kemudian. Ambil waktu sedikit di tempat pemeriksaan kastam kerana membawa banyak barangan untuk penggambaran. Sempat berbuka puasa (saya puasa sunat 9 Muharram) dengan air minuman yang dihadiahkan kastam.


Selesai itu kami menunggu kedatangan pemandu yang akan membawa ke tempat-tempat yang diperlukan.








Kalau ikut rancangan asal kami mahu bertolak ke Pasuruan terus daripada lapangan terbang. Tetapi disebabkan seorang ulamak besar Surabaya iaitu Kiyai Dhiauddin mengundang kami bermalam di rumahnya terlebih dahulu kami pun ke sana.


Cuma ketika sampai ada majlis ilmu dan kiyai harus melayan ramai orang. Kami pun keluar untuk makan malam.



Apabila kembali lebih sejam kemudian orang ramai sudah tiada. Dapatlah kami berehat. Walaupun diberikan 2 bilik tidur di tingkat atas rumah, rumah yang turut berperanan sebagai pondok pengajian, kami memilih untuk berehat di ruang bawah. Selamat malam... :]


Selasa, Oktober 20, 2015

Melangsaikan 'hutang' Raub demi kelangsungan buku

Dipersembahkan, satu cerita mengenai 'hutang' dan penulisan...


Semalam tengah hari Isnin 19 Oktober 2015 saya membawa keluarga untuk satu perjalanan agak spontan ke Pahang.


Dah lama kami tak buat perjalanan secara tiba-tiba begini. Sejak 2-3 tahun kebelakangan kami biasa merancang untuk membuat suatu perjalanan paling lewat pun seminggu sebelum keluar...


Gerak untuk ke Pahang timbul pada malam sebelumnya. Ia berlaku setelah kesekian kalinya saya tersangkut lagi dalam penulisan untuk buku pertama yang akan membuka siri baru "Siri Pemikiran Merah Silu". Tentang siri dan penulisan sudah disebut beberapa kali di blogspot ini. Sudah banyak perkara dilakukan untuk merungkai kekusutan tapi saya masih lagi tersangkut walaupun hampir semua fakta sokongan yang diperlukan sudah ada dalam tangan.


Sudah menjadi kebiasaan, kalau sangkut dalam penulisan maka ini bermakna harus membuat perkara-perkara lain kemudian baru kembali pada penulisan.


Tapi penulisan buku ini sudah tersangkut begitu banyak kali. Sedangkan saya diminta menyiapkan manuskripnya paling lewat pertengahan November agar buku dapat diterbitkan Disember ini.


Ahad malam Isnin, baru terfikir. Mungkinkah penulisan buku ini  tersangkut kerana ada 'hutang'? Kerana ada perkara patut dilakukan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan tetapi masih belum melakukannya. Saya pun memerah otak dan ingatan untuk mencari jawaban. Setelah beberapa lama baru tersedar - Saya pernah berfikir untuk kembali ke rumah almarhum Nenek di Raub, Pahang, ibu kepada bapa sejak bulan puasa lalu lagi tetapi menundanya kerana muncul hal lain. 

Sampaikan undangan untuk majlis perkahwinan adik sepupu yang merupakan peluang untuk bertemu saudara mara sebelah bapa, peluang yang jarang-jarang muncul bagi saya yang lebih rapat keluarga sebelah ibu pun diketepikan untuk memenuhi komitmen lain dalam tempoh itu. Kembali beraya tahun ini pun tidak malah tahun lepas pun tak balik. Semakan yang dibuat tadi menunjukkan kali terakhir saya menziarahi makam Nenek tidak jauh dari rumah adalah pada Mei 2014. Lihat Perjalanan kecil ke Kelantan : Antara Tanjung Sepat, Gua Musang dan Bachok.

Ah. Bagaimana boleh terlupa semua ini lantaran kesibukan dengan hal-hal lain? Sedangkan buku yang mahu ditulis melibatkan hal Kesultanan Perak dan almarhum Nenek adalah orang yang membuka cerita kaitan keluarga kami, keluarga sebelah bapa dengan kesultanan kepada saya sekitar 14 tahun lalu.


Kebetulan malam itu juga saya dan isteri baru mendapat tahu bahawa sekolah-sekolah di Selangor telah ditutup akibat jerebu teruk. Maka apabila menyedari betapa lama sudah 'berhutang' untuk kembali ke rumah Nenek, saya pun membuat keputusan mahu bertolak ke sana siang Isnin. Sebelum itu saya memikirkan cuma akan kembali ke Raub setelah selesai penulisan buku. Tapi nak tunggu sampai bila lagi sedangkan tulisan asyik tersangkut? Khamis ini pula saya harus bertolak ke Surabaya di Jawa Timur untuk pengambaran dokumentari "Daulah Melayu".  Kami dijadualkan akan berada di sana sehingga Isnin minggu hadapan. Hujung minggu itu ada acara di Melaka, hujung minggu selepas itu di Putrajaya. Kalau terus menunggu bila pula akan ada kesempatan?



Isteri sampai sanggup mengambil cuti emergency leave agar kami dapat pergi ke Raub bersama. Kalau saya pergi dengan anak tanpa beliau terasa tak kena. Teringat bagaimana saya pernah berjumpa Nenek bersendirian hujung 2001 setelah 3 tahun tidak bertandang kerana isteri terdahulu kurang gemar balik ke Raub. Beberapa bulan selepas itu kami bercerai kerana memang sudah lama tidak sehaluan. Apalagi ketika itu saya semakin kalut dalam pencarian diri dan erti menjejaki salasilah keturunan keluarga demi memahami pelbagai perkara yang berlaku dalam hidup, satu perjalanan penuh rintangan yang telah diluahkan dalam siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" yang terbit 2006-2007.

Walaupun antara saya dan isteri sekarang tiada masalah memang terasa tak manis jika ke rumah almarhum Nenek tanpa membawa beliau setelah sekian lama tidak bertandang. Lagipun kami sama-sama mahu menikmati hidangan istimewa ikan keli gulai asam rong yang sudah lebih setahun tidak dikecapi, satu makanan istimewa orang Raub. Maka sampai sahaja ke sana kami terus mencari kedai makan yang ada menghidangkan. 


Nah. Beginilah rupa makan tengah hari kami.


Selepas makan, baru ziarah ke rumah beberapa orang saudara mara sebelum pergi ke makam Nenek.



Selesai itu baru ke rumah peninggalan beliau untuk bermalam, Petang itu sempat mendaki bukit di belakang rumah, satu perkara yang sudah bertahun-tahun tidak dilakukan. Kali ini saya mendaki bersama anak kecil. Lihat artikel Climbing the hill behind my late grandma's house with Johan. di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Kalau tidak kerana membawa anak tentu saya akan masuk lebih jauh ke dalam hutan.

Subuh keesokannya kami kembali ke Lembah Klang kerana isteri harus kembali bekerja. Saya ni lain le, ikut suka hati bila nak bekerja kecuali bila ada hal seperti mesyuarat, majlis dan penggambaran. Adapun kali terakhir kami bermalam di rumah ini adalah lebih 2 tahun lalu. Lihat Sekitar misi memakan ikan keli gulai asam rong sempena cuti Hari Malaysia. Menariknya, apabila saya telah menetapkan fikiran mahu ke Raub lalu bersiap untuk bertolak pagi Isnin, ketika itulah saya mendapat ilham penting bagaimana hendak membuka dan membentuk cerita buku baru. 

Hati ini mengingatkan, jujurlah bercerita. Luahkan apa yang perlu, jangan cuba hendak disembunyikan. Bukan saya tidak jujur sebelum ini tapi fikirnya mahu membuat penulisan buku baru tanpa menyentuh kaitan keluarga dengan Kesultanan Perak. Sekarang, ini tidak dapat dielakkan kalau mahu ilham dan gerak penulisan mengalir cantik. Apapun syukur alhamdulillah kerana sudah ditunjukkan jalan...