Merujuk pada artikel Gambus : Manifestasi Budaya Melayu - Seni yang Terpinggir yang dibuat hampir sebulan lalu. Ini ada cerita berkaitan.
Adapun artikel tersebut menceritakan tentang majlis bertajuk seperti nama artikel iaitu di Muzium Negara 7 April 2015. Majlis itu dianjurkan oleh persatuan gambus Malaysia (saya lupa nama tepat) yang dipimpin rakan lama saya, Raja Zulkarnain. Rakan ini kemudian menghadiahkan buku yang kelihatan lalu meminta saya mengulasnya. Setelah beberapa lama sibuk dengan komitmen lain juga sering dilanda kepenatan yang amat sangat baru pagi tadi saya betul-betul dapat meneliti buku.
Ia diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia tahun 2013. Ia merupakan terjemahan daripada buku berbahasa Inggeris tulisan Raja Zulkarnain yang telah ditulis lebih awal.
Secara rata ia menceritakan apa yang perlu untuk mengenali alat muzik yang kita orang Melayu lebih kenali sebagai gambus. Tetapi nama sebenarnya di tempat asal iaitu di Timur Tengah adalah Oud, sama seperti nama sejenis minyak Attar mahal. Buku ini mengandungi lebih 130 muka surat isi. Alhamdulillah, dengan kuasa Allah SWT saya dapat menamatkan pembacaan sepatah demi sepatah tanpa melompat-lompat sekitar 7 petang.
Ini kerana buku ini banyak dihiasi gambar berwarna-warni.
Kalau tidak membaca pun saya dapat melihat persembahannya sekurang-kurangnya daripada segi layout atau reka letak juga gambar-gambar amat menarik.
Paling banyak teks pada setiap pembukaan muka baru (yang terdiri daripada 2 muka surat seperti dipaparkan di sini) adalah seperti di atas. Namun jangan anggap ia kurang berisi. Buku ini cukup padar dengan segala macam maklumat yang perlu untuk seseorang mengenali alat muzik bernama Oud ini sehingga membawa kepada cara bermain dan teori muzik berkenaan.
Cuma banyak perkara teknikal tentang muzik terdapat di dalamnya. Nasib baik saya ada tahu sikit-sikit kerana dahulu agak 'gila' menimba ilmu permainan solo gitar. Untuk pengetahuan Raja Zulkarnain yang telah saya kenali sejak zaman sekolah menengah di Muar (zaman sekolah rendah ada berjumpa tapi kami lain-lain sekolah yang kadangkala anak muridnya saling bermusuh lalu tidak bertegur sapa) juga dahulu pernah gila main solo gitar. Kami mula menjadi baik apabila selalu bertukar fikiran tentang teknik permainan pemain solo gitar terkenal Barat, Joe Satriani dan Steve Vai sekitar tahun 1986-1987 gitu. Sebelum itu saya lebih meminati Ygnwie Malmsteen.
Namun Raja Zulkarnain mula membuang semua jenis gitar ke tepi apabila bertemu dengan Oud. Sudah ditakdirkan walaupun alat muzik yang kita kenali sebagai gambus ini agak biasa dimainkan pada majlis-majlis di kampung kami di Muar, beliau bertemu dengan Oud ketika merantau menimba ilmu muzik di London.
Sejak itu beliau tidak memandang lagi ke belakang. Raja Zulkarnain telah menimba ilmu permainan Oud (di Barat ada alat agak serupa dipanggil Lute, cuma irama permainan sahaja yang lain menurut cita rasa orang sana) beberapa negara Barat, utama di Timur Tengah. Ilmu itulah yang dibawa ke Malaysia agar tahap permainan Oud/gambus orang kita yang selama ini lebih mengharapkan hafalan sahaja dapat meningkat selari dengan apa yang ada di pusat permainan alat ini di Timur Tengah.
Itu yang masuk banyak bab teknikal, teori muzik dan sebagainya. Habis baca buku terasa nak pasang tali baru pada guitar semi acoustic juga gitar elektrik yang sudah lama tidak dimainkan... masing-masing dah putus tali paling kecil, satu set tali baru untuk setiap gitar dah lebih 3 tahun beli kalau tak salah ingatan tapi masih tak pasang-pasang. Ada rasa macam nak main balik, dah bertahun tak betul-betul main, setakat layan 10 minit dalam tempoh 3 bulan mungkin ada. Tapi nak tukar tali ni pun satu kerja. Nantilah. Tunggu mood lebih kuat datang, insyaallah... :]